1 Oktober 2021, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI − Bahasa kebangsaan sebagai bahasa mahkamah telah termaktub dalam undang-undang negara. Menurut Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan. Sehubungan dengan itu, dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan bahasa kebangsaan, undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan hasrat dan niat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan tercapai.

Menurut Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam, iaitu Pensyarah Kanan dari Fakulti Undang-undang dan Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), undang-undang yang dikanunkan perlu dikuatkuasakan dengan sewajarnya. Peruntukan hukuman perlu dimasukkan dalam undang-undang seperti dalam isu kedudukan bahasa kebangsaan yang diabaikan dan tidak diutamakan oleh masyarakat. Perbuatan seperti menghina, memperlekehkan dan memperkecilkan kewibawaan bahasa kebangsaan juga perlu dijadikan sebagai satu kesalahan.

Selain itu, kuasa budi bicara yang dinyatakan dalam undang-undang juga perlu dikaji semula kesesuaiannya pada masa ini. Pengecualian yang diberi kepada Sabah dan Sarawak dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan juga harus mempunyai suatu tempoh masa tertentu.

Undang-undang juga perlu memastikan bahawa mutu atau kualiti penggunaan bahasa kebangsaan diutamakan penyampaiannya dalam masyarakat.

“Semua masyarakat perlu cakna untuk membaiki mutu bahasa Melayu ke tahap yang lebih baik dari semasa ke semasa. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa. Oleh itu, semua orang bertanggungjawab untuk memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan dan diperkasakan. Kepimpinan negara dan institusi perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kedudukan bahasa kebangsaan lebih jelas dan terpelihara dalam kerangka undang-undang Malaysia. Selain, itu, undang-undang tersebut juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan di Malaysia,” ujar beliau.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan wadah perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan perlu dinilai secara khususnya dalam kerangka undang-undang negara. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan bahasa yang terpelihara dalam kerangka undang-undang di Malaysia. Bahasa kebangsaan juga merupakan identiti bangsa dan sebagai lambang kepada negara Malaysia.

“Lambang” dalam konteks ini bermaksud simbol yang menjadi identiti kepada negara Malaysia. Dalam konteks bahasa Melayu, undang-undang merupakan punca kuasa yang menunjukkan martabat sesuatu bahasa yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam undang-undang negara. Oleh itu, dalam konteks Malaysia, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu didaulatkan dan dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia. Undang-undang ini mempunyai peruntukan khusus yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa kebangsaan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan ialah dalam Perkara 152, yang memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia  ialah bahasa Melayu. Perlembagaan Persekutuan telah mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Terdapat pelbagai undang-undang yang mempunyai peruntukan tentang bahasa kebangsaan. Yang paling penting (selain Perlembagaan Persekutuan) ialah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32). Akta ini bagi menyatukan undang-undang yang berhubung dengan penggunaan bahasa kebangsaan dan mengandungi 11 peruntukan sahaja. Dalam peruntukan ini, bahasa kebangsaan sebagai bahasa di Parlimen, bahasa mahkamah dan bahasa rasmi negara.

Dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Maksud rasmi tersebut bererti apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak yang berkaitan dengan Kerajaan. Maka dalam konteks urusan rasmi, sejajar dengan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa perkhidmatan awam dalam urusan rasmi seperti dalam penulisan surat rasmi, dokumen perjanjian, urusan mesyuarat dan penganjuran majlis.

Semua sektor kerajaan juga wajib menggunakan bahasa Melayu seperti dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020, yang berkaitan dengan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran awam. Pegawai awam dan ketua jabatan bertanggungjawab untuk mematuhi pekeliling ini. Oleh itu, mana-mana pegawai awam yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi adalah melanggar pekeliling perkhidmatan ini. Menurut pekeliling ini juga, semua pegawai awam wajib melengkapkan dirinya dengan pengetahuan bahasa Melayu yang baik dan betul termasuklah dalam konteks ejaan, sebutan dan penulisan.

Selain itu, semua institusi pendidikan juga wajib menggunakan bahasa Melayu dan pengecualian hanya melibatkan sesuatu kursus tertentu atau sebahagian kursus tertentu sahaja.

Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

Demikianlah antara penerangan oleh Profesor Madya Dr. Ramalinggan Rajamanickam, Pensyarah Kanan dari Fakulti Undang-undang dan Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, semasa menyampaikan ceramah dalam program Wacana ATMA (Bil. 13/2021), iaitu “Bahasa Kebangsaan dalam Kerangka Undang-undang Malaysia”, yang bersiaran secara langsung menerusi pautan webex dan Facebook ATMA, UKM, pada pukul 10.00 pagi tadi. Yang turut hadir sebagai moderator ialah Encik Muhammad Muzaffar Mohd Yazid, iaitu pelajar prasiswazah Fakulti Undang-undang, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.