Oleh Nazri Hussein
5 Oktober 2021, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh Nazri Hussein

 

“Jamal. Hantaran kurang baik. Kim Hyun Moo berhadapan dengan Kamaruddin. Terlepas Kamaruddin. Kyum Moo ditarik oleh Kamaruddin dan Kamaruddin menerima kad kuning. Kad kuning yang pertama dalam pertandingan akhir ini. Pemain Malaysia, iaitu bek kiri Malaysia, Kamaruddin Abdullah diberi kad kuning oleh pengadil, Abdul Wahab al-Bani dari Kuwait, yang mengadili pertandingan ini kerana menarik baju Kim Hyun Moo. Jong Duk akan menendang bola. Empat minit setengah berbaki. Bola dapat pula kepada Hassan. Masih lagi Hassan. Jung Jung mengejar bola dan memberikannya kepada James. Peluang untuk James dan gol!”

 

Ulasan sukan oleh pengulas sukan terkenal, Allahyarham Zulkarnain Hassan ketika siaran langsung dalam perlawanan bola sepak akhir kelayakan Olimpik antara pasukan negara dengan Korea Selatan empat dekad silam akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sukan tanah air. Bukan sahaja kerana perlawanan itu mencipta sejarah tersendiri apabila Malaysia layak ke sukan Olimpik Munich buat kali pertama tetapi cara dan gaya ulasan pengulas sukan itu dianggap kemas, tersusun, beretika serta menggunakan laras bahasa Melayu yang baik.

Penggunaan bahasa oleh pengulas sukan tanah air pada setiap kali berlangsungnya siaran sukan sama ada secara langsung atau siaran tertunda sering menjadi isu dalam kalangan peminat sukan tempatan mahupun rakyat secara keseluruhannya sejak akhir-akhir ini. Antara perkara yang sering dibangkitkan ialah penggunaan bahasa rojak, kesalahan tatabahasa yang jelas ketara, pemilihan frasa kata yang salah serta sebutan yang tidak betul sehingga sukar difahami.

Selain itu, antara kesilapan lain yang sering dilakukan oleh pengulas sukan termasuklah kelemahan membina ayat yang baik dan berstruktur dalam ulasan, nada suara yang kurang meyakinkan serta sebutan yang mengelirukan. Senario ini jika dibiarkan sudah tentu akan memberikan impak negatif yang bukan sahaja kepada pengulas sukan, bahkan yang turut menerima tempiasnya ialah rangkaian siaran televisyen yang mengendalikannya.

Kemunculan para pengulas sukan baharu dan masih mentah dalam dunia pengacaraan di rangkaian televisyen memberikan senario yang baik dan amat dialu-alukan bagi kerjaya yang mencabar ini. Akan tetapi, persoalan yang sering bermain di bibir peminat sukan tanah air mutakhir ini, bagaimanakah bentuk dan gaya ulasan itu mampu memberikan kefahaman dan kepuasan kepada penonton? Kepuasan itu bukan kerana pasukan yang disokong berjaya mencipta kemenangan tetapi yang paling penting mendapat kepuasan daripada gaya ulasan sukan yang santai dan bersahaja. Sudah tentu, aspek pertuturan dan penggunaan bahasa menjadi fokus utama kerana kedua-dua perkara inilah yang sering menerima teguran dan kritikan daripada masyarakat.

Connor McNamara, pengulas sukan bola sepak di rangkaian televisyen BBC ketika ditemu ramah oleh pemberita NME, Nick Levine, pernah menyebut bahawa aspek yang paling sukar ketika membuat ulasan sukan ialah tumpuan terhadap acara sukan yang sedang berlangsung serta bagaimana situasi itu digambarkan melalui bahasa dan penggunaan kata-kata yang sesuai, tepat dan betul. Inilah cabaran yang paling besar bagi pengulas sukan sewaktu penonton pula bertindak sebagai hakim yang pada bila-bila masa sahaja menanti setiap kesilapan daripada ulasan pengulas sukan khususnya dalam aspek laras bahasa yang digunakan.

Sudah tentulah sebagai pengulas sukan, sama ada yang masih baharu atau sudah berpengalaman tetap tidak dapat lari daripada kesalahan dan kekhilafan penggunaan struktur ayat dan tutur kata yang mengganggu tumpuan penonton ketika sedang berada di hadapan skrin televisyen mahupun di corong radio. Hal ini sudah tentu memerlukan ketelitian dan kecaknaan yang lebih terutama dalam soal laras bahasa yang digunakan oleh para pengulas sukan sewaktu membuat ulasan sesuatu pertandingan sukan baik pada peringkat tempatan mahupun yang bertaraf antarabangsa.

Kita sedia maklum bahawa dalam ulasan secara lisan, pengulas sukan sewajarnya perlu bijak menggunakan frasa kata yang merujuk dunia kesukanan itu sendiri seperti penggunaan kata tendangan, balingan, sepakan, hantaran, tandukan dan banyak lagi untuk sukan seperti bola sepak. Bagi acara hoki pula sudah tentulah perkataan yang biasa digunakan pula termasuklah seperti kata pukulan, menghayun, memukul, menghalang, menyangkut dan sebagainya. Seorang pengulas sukan yang berwibawa sudah tentu dapat membezakan kata kerja dalam setiap ulasan sehingga memberikan impak positif kepada penonton atau pendengar.

Begitu juga dengan istilah lain seperti atlet, pemain, pengadil, penalti, dan jaringan gol perlu dipastikan menepati ciri dalam setiap struktur ayat yang meniti di lidah para pengulas sukan. Dalam hal ini, istilah yang digunakan pula perlu menepati daftar istilah yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagaimana yang pernah diterbitkan dalam naskhah khas bersempena dengan berlangsungnya Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada tahun 1998. Perbendaharaan kata inilah yang sepatutnya menjadi rujukan oleh setiap pengulas sukan ketika ingin membuat sebarang ulasan sebagai persediaan awal sebelum memulakan pengacaraan.

Kemahiran berbahasa merupakan aspek utama yang mampu menyerlahkan keabsahan seseorang pengulas sukan sama ada berpotensi atau sebaliknya. Dalam situasi kini, banyak pengulas sukan khususnya yang baru diketengahkan gagal mempamerkan ulasan yang menarik, kemas dan berwibawa kerana kelemahan dalam pertuturan. Dalam sejarah pengacaraan sukan negara, sudah pasti kita tidak akan lupa dengan nama-nama hebat pada suatu waktu dahulu seperti Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang, Datuk Rahim Razali, Allahyarham Jamaluddin Alias, Allahyarham Mustadza, Abdullah Hasyim dan Sherkawi Jirim. Keupayaan mereka mengendalikan dunia pengacaraan sukan sama ada secara langsung ataupun lintas langsung dalam bahasa kebangsaan dianggap sebagai ikon yang mencetuskan fenomena yang akan sentiasa dikenang dalam sejarah sukan negara.

Contohnya, Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang yang popular dengan gelaran “The Voice of Malaysian Sports” merupakan pengacara sukan popular yang paling digemari oleh peminat sukan tanah air. Kepetahannya menitipkan frasa kata dalam struktur ayat yang lengkap, padu dan kemas menjadikan segmen sukan yang dikendalikannya sentiasa dinanti-nantikan. Apatah lagi dengan lenggok dan gaya sebutan yang lunak, indah serta pemilihan frasa yang kreatif membuatkan pendengar atau penonton terus terpaku di hadapan kaca televisyen atau corong radio.

Antara ungkapan menarik yang pernah beliau ungkapkan semasa mengendalikan ulasan perlawanan akhir Piala Thomas antara Malaysia dengan Indonesia termasuklah frasa seperti “Pukulan Rashid Sidek memaku lantai gelanggang”. Kata-kata spontan inilah yang memberikan aura dan daya tarikan di sebalik bahasa yang puitis dan indah dalam sesuatu pengacaraan sukan sehingga mampu memberikan impak besar kepada keutuhan dan keperkasaan bahasa kebangsaan yang sememangnya merupakan bahasa pengantar rasmi di negara ini. Sudah tentu kita akan terus merindui ulasan klasik daripada para pengulas sukan terdahulu yang sememangnya matang dan bijak serta fasih dalam menuturkan kata-kata serta mempunyai intonasi yang meruntun kalbu.

Antara kata-kata indah yang terus dikenang oleh para peminat pengulas sukan bersuara emas itu termasuklah ungkapan, “Pasukan Pahang berjaya membelah Banjaran Titiwangsa” semasa diberi tugasan mengulas perlawanan akhir Piala FA yang melibatkan pasukan Pahang pada tahun 2006. Begitu juga dengan sebabak ulasan yang begitu sinis kata-katanya dalam lafaz bahasa yang berbunyi, “Walaupun stadium di Palestin sering dibom tetapi bola sepak mereka tidak pernah mati” sewaktu mengendalikan siaran bola sepak yang melibatkan Malaysia dan Palestin.

Pada era baharu dengan kemunculan pelbagai saluran sukan daripada rangkaian televisyen swasta seperti Astro Arena sudah tentu nama pengulas sukan yang masih muda muncul dengan pelbagai cara dan gaya pengacaraan. Apatah lagi kaedah ulasan moden yang menggabungkan antara pengulas sukan sebenar dengan pengulas sukan jemputan (komentar) yang terdiri daripada mantan atlet atau pemain legenda yang telah bersara daripada lapangan sukan tertentu. Hal ini sudah tentu memberikan kesan negatif terhadap mutu pengacaraan itu sendiri memandangkan pengacara tangkap muat yang dipilih itu pula tidak berbakat serta ulasan yang disampaikan pula lemah, tidak menarik selain frasa ungkapan lisan yang digunakan pula cacamarba hingga mengelirukan penonton yang mendengar.

Dalam dunia pengacaraan sukan era terkini, Haji Zainal Abidin Rawop dianggap antara pengulas sukan yang paling menonjol kerana mempunyai kemahiran berbahasa yang baik serta kebijaksanaannya mengulas menggunakan frasa ayat yang sederhana, betul dan tepat selain mengekalkan ragam intonasi yang berbeza-beza mengikut situasi bagi menyeimbangkan emosi dan perasaan penonton yang sedang memberikan tumpuan terhadap aksi sukan yang sedang berlangsung.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan keturunan, sudah tentulah pengulas sukan yang terdiri daripada pelbagai bangsa berperanan besar dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui ulasan sukan yang menarik dan berwibawa. Pengacaraan sukan secara lisan sudah tentu mempunyai cabaran dan halangan yang besar memandangkan waktu siaran yang terhad selain menjadi fokus perhatian jutaan penonton yang menanti-nantikan “bilah” bahasa yang diungkapkan oleh pengacara sukan.

Sewajarnya tugasan pengulas sukan perlu dipertanggungjawabkan kepada mereka yang benar-benar mempunyai bakat berbicara, berkemahiran dalam berbahasa serta bijak mengawal senario dengan kepelbagaian kaedah ulasan yang tidak menjemukan para penonton. Elakkan sama sekali penggunaan kosa kata yang kasar dan biadab, berbahasa secara panjang lebar, mengungkapkan istilah yang sensitif serta berbahasa rojak hingga menghilangkan kefahaman sebenar dalam bahasa ibunda.

Alangkah tenangnya hati dan perasaan tatkala berada di hadapan skrin televisyen sambil menonton siaran sukan kegemaran kita dengan ulasan menarik dan bahasa yang indah dari lidah para pengulas yang bijak menyampaikan ulasan yang mesra, santai dan menyegarkan halwa telinga. Inilah peranan besar yang perlu dimainkan oleh para pengulas sukan demi memartabatkan bahasa kebangsaan agar dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat di tanah air kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.