Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSERDANG −Konsep jati diri penting sebagai asas dan akhlak bagi pembentukan jati diri individu, masyarakat dan negara. Pembentukan jati diri kebangsaan pula merujuk hak asasi dan menjadi agenda utama sesebuah negara untuk membina identiti tulen yang menjadi teras dan lambang keunggulan sesebuah negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi teras dalam pembentukan jati diri negara.
Menurut YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu (LBM), merangkap Profesor Universiti Islam Malaysia, rakyat Malaysia mestilah fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini bertepatan dengan konsep jati diri, iaitu yang merujuk ilmu sejarah dan memahami perlembagaan, akta dan undang-undang negara, serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara. Selain itu, setiap warga juga perlu menghormati amalan budaya Melayu yang berteraskan warisan dan budaya Melayu serta menghormati nilai murni budaya berbilang bangsa.
Tambahnya lagi, bangsa Eropah menjadi hebat yang akhirnya menjadi satu tamadun yang besar selepas mempelajarai bahasa asing. Dalam konteks Malaysia, semua orang perlu mencintai jati diri mereka dengan mencintai bahasa Melayu. Namun begitu, untuk menjadi bangsa yang teguh jati diri, kita perlu menambah ilmu dalam pelbagai cara dengan mempelajari pelbagai bahasa. Dengan cara itu, bahasa dan budaya negara akan dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, masyarakat juga perlu mengubah sikap dan perangai mereka yang suka menggunakan bahasa rojak. Masyarakat perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak jati diri negara ini. Setiap warga perlu sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa untuk berkomunikasi dan bahasa ilmu dengan rasa bangga. Sementara itu, bahasa lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa lain perlu diperkasakan sebagai bahasa antarabangsa.
Sementara itu, menurut YBhg. Prof. Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin (Pengarah Institut Penyelidikan Matematik [INSPEM] UPM), jati diri melambangkan identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat keutuhan yang dibanggakan. Pembinaan negara merupakan konsep asas untuk memastikan negara mengambil peranan yang efektif dalam masyarakat dunia. Setiap rakyat berperanan untuk menggembleng sumber dan meningkatkan produktiviti bagi memastikan kejayaan tanah air. Setiap warganegara juga mempunyai kewajipan patriotik untuk memastikan dirinya berperanan dalam pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, gagasan dan cabaran dalam pengukuhan jati diri rakyat Malaysia perlu disekalikan dalam kerangka pembinaan negara.
Menurutnya lagi, cabaran bahasa lebih kepada cabaran budaya. Bahasa perlulah sesempurna mungkin dalam menyampaikan ilmu. Masyarakat tidak boleh menggunakan bahasa Melayu secara cacamarba atau menggunakan bahasa rojak. Banyak anak muda kini yang menggunakan singkatan perkataan sehingga sukar difahami dan mencemarkan bahasa Melayu seperti dalam perbualan harian, melalui sistem pesanan ringkas atau Whatsapp. Hal ini akan merosakkan keindahan bahasa Melayu dan mereka perlu mengubah kebiasaan ini.
Demikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu gagasan dan cabaran dalam pengukuhan jati diri rakyat Malaysia. Yang turut hadir ialah Dr. Rahimah Hamdan (Ketua Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM) selaku moderator dalam Forum Gagasan dan Cabaran dalam Pengukuhan Jati Diri Rakyat Malaysia. Forum ini diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 Peringkat Universiti Putra Malaysia, yang dianjurkan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.00 pagi tadi menerusi pelantar Zoom Meeting dan FB Live Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.