Oleh Kho Thong Eng
13 Oktober 2021, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata dalam bahasa Melayu meliputi empat golongan yang utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Dalam hal ini, kata nama, kata kerja dan kata adjektif dapat menjadi inti frasa endosentrik, manakala frasa sendi nama merupakan frasa eksosentrik.

Walaupun penggolongan dan pembahagian golongan kata sudah jelas, ada kalanya terdapat perkataan dalam golongan kata tertentu yang dapat berfungsi seperti anggota golongan kata yang lain.

Ada beberapa patah kata yang tergolong sebagai kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata sendi nama. Contohnya, kata kerja melalui dan menerusi dapat berfungsi seperti sendi nama dengan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia melalui jalan itu.

1b.  Dia menghubungi kawannya melalui Internet.

1c.  Dia menghubungi kawannya dengan Internet.

2a.  Jarum menerusi kain itu.

2b.  Dia menghubungi kawannya menerusi Internet.

2c.  Dia menghubungi kawannya dengan Internet.

Dalam ayat 1a, kata melalui merupakan kata kerja transitif yang bermaksud “melintasi dan berlalu di” tetapi dalam ayat 1b, kata kerja melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan (ayat 1c).

Dalam ayat 2a, kata menerusi merupakan kata kerja transitif yang bermaksud “menembus pada” tetapi dalam ayat 2b, kata kerja menerusi berfungsi seperti kata sendi nama dengan (ayat 2c). Walau bagaimanapun, dalam ayat 1b dan 2b, kata melalui dan menerusi tetap merupakan kata kerja.

Kata kerja mengenai dapat berfungsi seperti kata sendi nama tentang. Namun begitu, kata itu tetap merupakan kata kerja, bukan kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Tembakannya mengenai sasaran.

3b.  Dia bercakap mengenai hal itu.

3c.  Dia bercakap tentang hal itu.

Dalam ayat 3a, kata mengenai merupakan kata kerja transitif yang bermaksud “kena pada” tetapi dalam ayat 3b, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang (ayat 3c).

Kata kerja mengikut dan menurut dapat berfungsi seperti kata sendi nama pada. Namun begitu, kata itu tetap merupakan kata kerja, bukan kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Ali mengikut ibunya ke pasar.

4b.  Mengikut pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.

4c.  Pada pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.

5a.  Ali menurut kata ibunya.

5b.  Menurut pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.

5c.  Pada pendapat Ali, projek itu mendatangkan faedah.

Dalam ayat 4a, kata mengikut merupakan kata kerja transitif yang bermaksud “pergi bersama-sama dengan” tetapi dalam ayat 4b, kata kerja mengikut berfungsi seperti kata sendi nama pada (ayat 4c). Dalam ayat 5a, kata menurut merupakan kata kerja transitif yang bermaksud “mematuhi” tetapi dalam ayat 5b, kata kerja menurut berfungsi seperti kata sendi nama pada (ayat 5c).

Kata kerja menjelang, menemui dan menghadap dapat berfungsi seperti kata sendi nama kepada pada alamat surat tak rasmi. Namun begitu, dalam hal sedemikian, kata menjelang, menemui dan menghadap tetap merupakan kata kerja, bukan kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia menjelang jirannya.

6b.  Dia menemui kawannya di pasar.

6c.  Rumahnya menghadap ke laut.

7a.  Menjelang sahabatku yang kini berada di Ipoh.

7b.  Menemui sahabatku yang kini berada di Ipoh.

7c.  Menghadap sahabatku yang kini berada di Ipoh.

7d.  Kepada sahabatku yang kini berada di Ipoh.

7e.  Surat ini kepada sahabatku yang kini berada di Ipoh.

Dalam ayat 6a, kata menjelang merupakan kata kerja yang bermaksud “mengunjungi”. Dalam ayat 6b, kata menemui merupakan kata kerja yang bermaksud “bertemu dengan”. Dalam ayat 6c, kata menghadap merupakan kata kerja yang bermaksud “menghala”.

Walau bagaimanapun, dalam ayat 7a, 7b dan 7c, kata kerja menjelang, menemui dan menghadap semuanya berfungsi seperti kata sendi nama kepada (ayat 7d). Hal ini dikatakan demikian kerana sebenarnya dalam ayat 7a, 7b, 7c dan 7d, subjek ayat seperti surat ini telah digugurkan (ayat 7e).

Selain itu, dalam kelompok ayat 7 di atas, frasa sendi nama ke hadapan juga dapat berfungsi seperti kata sendi nama kepada. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Ke hadapan sahabatku yang kini berada di Ipoh.          

8b.  Kepada sahabatku yang kini berada di Ipoh

Ada kata kerja transitif yang dapat berfungsi seperti kata pemeri. Contohnya ialah kata merupakan. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Pegawai polis itu merupakan diri sebagai tukang sapu.

9b.  Dia merupakan guru.

9c.  Dia ialah guru.

9d.  Dia guru.

Dalam ayat 9a, kata merupakan merupakan kata kerja transitif yang bermaksud “menukarkan rupa” tetapi dalam ayat 9b, kata kerja merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah (ayat 9c). Hal ini dikatakan demikian kerana kata merupakan boleh digugurkan, sama seperti kata pemeri ialah, tanpa menjejaskan struktur ayat dengan pola Frasa Nama + Frasa Nama (ayat 9d).

Ada kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata adjektif, iaitu dapat diiringi oleh kata penguat. Hal ini meliputi kata kerja tak transitif, kata kerja transitif dan kata kerja pasif. Sila lihat contoh yang berikut:

i. Kata kerja tak transitif

10a.  Dia sangat berilmu.

10b.  Dia sangat terkejut.

10c.  Dia sangat pandai.

ii. Kata kerja transitif

11a.  Perkara itu amat menakutkan (saya).

11b.  Perkara itu amat menakutkan Ali.

12. Dia sangat memerlukan bantuan.

iii.  Kata kerja pasif

13a.  Pantai itu sangat terkenal.

13b.  Pantai itu sangat masyhur.

Dalam ayat 10a dan 10b, kata kerja berilmu dan terkejut dapat didahului oleh kata penguat sangat, sama seperti kata adjektif pandai (ayat 10c).

Dalam ayat 11a dan 11b, kata kerja transitif emotif menakutkan dapat didahului oleh kata penguat seperti amat, sama seperti kata adjektif. Dalam hal ini, objek kata ganti diri orang pertama seperti saya boleh digugurkan.

Dalam ayat 12, kata kerja transitif memerlukan dapat didahului oleh kata penguat seperti sangat. Dalam hal ini, objek seperti bantuan tidak boleh digugurkan.

Dalam ayat 13a, kata kerja pasif terkenal dapat berfungsi seperti kata adjektif masyhur dan didahului oleh kata penguat seperti sangat (ayat 13b). Bagi semua ayat contoh di atas, kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata adjektif tetap tergolong sebagai kata kerja, bukannya kata adjektif.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi