14 Oktober 2021, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Semangat cinta akan bahasa Melayu perlu diterapkan dalam diri generasi muda kerana mereka bakal meneruskan agenda negara dan memulihara warisan bangsa. Menurut YBhg. Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Pengasas Akademi DR HAR yang bertindak sebagai moderator, bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diguna dan diterima pakai oleh banyak penduduk dalam sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa dan loghat lain. Bahasa kebangsaan negara ini ialah bahasa Melayu yang merupakan identiti negara ini. 

Bagi generasi muda pula, mereka ditakrifkan berumur antara 10 tahun hingga 25 tahun (menurut PBB) dan jika di Malaysia, mereka berumur antara 18 tahun hingga 30 tahun. Anak-anak muda perlu menjulang bahasa Melayu walaupun bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bersinergi.

Tambahnya lagi, rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu perlu ditanam dalam diri generasi muda. Mereka juga perlu menjadikan bahasa Melayu “hidup” bersama dengan teknologi yang ada. Bahasa Melayu perlu dipertahankan supaya tidak menjadi bahasa kasar dan kesat yang digunakan untuk memaki hamun manusia lain.

Selain itu, bahasa Melayu juga bernilai tinggi kerana mempunyai banyak perbendaharan kata. Namun begitu, pada masa ini, bahasa Melayu tidak digunakan secara meluas terutamanya dalam urusan pentadbiran dan perkhidmatan awam dan hal ini sangat tidak wajar. Oleh itu, agensi pentadbiran perlu menggerakkannya dan juga perlu ada kesedaran untuk menggunakan bahasa Melayu ataupun dwibahasa semasa menyampaikan mesej kepada masyarakat.

YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran (Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka) ketika bersiaran secara langsung.

Sementara itu, YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran, iaitu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula berkata, tahap pembacaan pada zaman dahulu berbeza daripada sekarang. Pembacaan bagi bahan bacaan berbahasa Melayu dalam kalangan anak muda kini banyak mendapat cabaran hebat melalui pelbagai permainan dunia digital. Hal ini menyebabkan tahap pembacaan mereka semakin berkurang khususnya dalam bahasa Melayu.

Menurut beliau, perubahan zaman yang mencabar melibatkan sistem pendidikan seperti pertukaran dasar oleh kerajaan di sekolah juga banyak memberikan kesan terhadap penghayatan pembacaan dalam bahan bacaan berbahasa Melayu dalam kalangan anak muda. Contohnya, pengenalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kemudiannya program Dual Language Programme (DLP). Kini sekolah kebangsaan mewajibkan pula mata pelajaran Bahasa Inggeris selain daripada Bahasa Melayu dan juga bahasa elektif yang lain seperti Bahasa Arab, Bahasa Iban dan lain-lain. Begitu juga dengan trend ibu bapa kini yang suka menghantar anak ke sekolah swasta ataupun ke sekolah antarabangsa.

Tambahnya lagi, terdapat tanda yang jelas tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda yang mula “mencair” dan kelihatan tidak penting yang ditambah pula dengan penggunaan gajet tanpa batasan. Hal tersebut menjadikan mereka bersikap individualistik dan agak terkapai-kapai dalam mencari identiti bahasa sendiri.

Namun begitu, 59 peratus generasi muda merasakan jati diri mereka agak luntur tetapi tahap jati diri terhadap bahasa Melayu sangat tinggi, iaitu 70 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa mereka masih lagi mempertahankan jati diri bahasa Melayu kerana ingin dikenali sebagai rakyat Malaysia yang mesti pandai berbahasa Melayu. Rasa bangga dalam diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang megah berbahasa Melayu masih ada.

Tambah beliau lagi, DBP mempunyai dana untuk membantu penerbit luar untuk menerbitkan lebih banyak bahan bacaan dalam bahasa Melayu. DBP tidak menganggap penerbit luar sebagai saingan tetapi lebih kepada usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu dengan memperbanyak penerbitan bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Hal ini bagi memasyarakatkan ilmu untuk memandaikan bangsa Malaysia dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa negara.

Hal yang sama turut dipersetujui oleh Dr. Nur Aisyah Zainordin, iaitu Pakar Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang juga Pengasas IMAN Media Group. Menurutnya, faktor pengukuh kecintaan terhadap bahasa Melayu adalah melalui pembacaan bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Dari sudut berkomunikasi dan menyampaikan mesej kepada masyarakat, rakyat perlu menggunakan bahasa Melayu. Istilah dalam bahasa Melayu juga perlu diperbanyak. Usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris bermaksud bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu bersinergi, iaitu saling melengkapi dan memerlukan.

Bahasa juga perlu dilihat sebagai medium penyampaian ilmu dan idea kepada masyarakat. Selain itu, bahasa Melayu juga perlu dikorporatkan, dibudayakan dan diintegrasikan dalam bidang penerbitan. Diskusi kebudayaan dalam bahasa Melayu juga perlu diperbanyak kepada golongan muda.

Sementara itu, Encik Kiridaren Jayakumar (CEO The Bibliophile Bookshop) menegaskan bahawa antara strategi yang boleh diketengahkan untuk meningkatkan penghayatan generasi muda terhadap bahasa Melayu adalah dengan banyak menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Syarikat perniagaan juga perlu ada kesedaran untuk menggunakan bahasa Melayu dalam pengiklanan seperti pada papan iklan. Bahasa Melayu sering tidak dianggap sebagai bahasa ekonomi tetapi masih ada juga syarikat yang menggunakannya sebagai bahasa komersial. Oleh itu, bahasa Melayu perlu diketengahkan dari sudut ekonomi bagi tujuan pengkomersialan.

Selain itu, karya-karya luar juga perlu banyak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan permainan digital yang boleh diperkenalkan dalam bahasa Melayu supaya semua bangsa boleh belajar bahasa Melayu. Kita perlu membudayakan bahasa kebangsaan sebagai suatu cara hidup bagi golongan muda.

Demikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu bahasa kebangsaan dan generasi muda dalam menanam rasa kecintaan terhadap negara dalam  Wacana Cinta Malaysia EP3: Bahasa Kebangsaan dan Generasi Muda Malaysia, anjuran Akademi DR HAR yang bersiaran secara langsung pada pukul 9:30 malam tadi menerusi Facebook Akademi DR HAR.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.