15 Oktober 2021, 21:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Sebagai warganegara Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang. Begitu juga halnya dalam bidang perundangan dan kehakiman. Pada amnya, bahasa rasmi di mahkamah ialah bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu tetapi jika diperlukan, maka bahasa Inggeris boleh digunakan. Para peguam dan hakim pula perlu fasih dalam kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun begitu, terdapat sejumlah pengamal perundangan yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengadakan Program Bicarawara Perundangan Siri Ke-4 bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Perundangan 2021, yang bertajuk “Penjiwaan dan Pemahaman Bahasa Melayu dalam Kalangan Pengamal Perundangan dan Kehakiman” pada pukul 2.30 petang tadi yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook DBP.

Program ini menampilkan empat orang pembicara, iaitu Tuan Hafez bin Zalkapli (Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Puan Kokila Vaani a/p Vadiveloo (Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Selangor), Tuan Manveer Singh (peguam) dan Tuan Haji Mohamed Hanif bin Khatri Abdulla (peguam).

Para pembicara dan moderator ketika bersiaran secara langsung pada petang tadi.

Menurut Tuan Hafez, pengabaian atau pelecehan dan sikap acuh tidak acuh terhadap bahasa Melayu oleh pengamal perundangan boleh dilihat dengan jelasnya dalam Akta 156, iaitu Akta Profesion Undang-undang 1976. Mereka yang lulus bahasa Melayu boleh diberi pengecualian tetapi bagi yang tidak lulus, mereka perlu menjalani ujian lisan oleh Lembaga Kelayakan bagi jawatan dalam bidang perundangan.

Tambah beliau lagi, pengamal perundangan perlu membuat banyak kajian dan pembacaan dalam bahasa Melayu bagi menajamkan lagi penguasaan mereka dalam bahasa Melayu.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu di mahkamah juga perlu diperluas lagi kerana masih boleh dipelajari dan diperbaiki sekiranya pengamal perundangan tidak fasih berbahasa Melayu. Jika bahasa Melayu digunakan secara meluas di mahkamah, maka mahu tidak mahu, mereka akan lebih berusaha untuk fasih berbahasa Melayu dan lebih cekap dalam menguasai bahasa kebangsaan.

“Mereka juga boleh merujuk buku Istilah Undang-undang, hasil terbitan DBP sebagai rujukan. Banyak orang yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan yang tepat bagi mentafsirkan sesuatu dan tidak sesuai dijadikan bahasa pengantara di mahkamah. Hujahan ini tidak tepat kerana jika ruang dan peluang tidak diberi kepada bahasa Melayu, bagaimanakah laras undang-undang dalam bahasa Melayu itu akan berkembang?” ujarnya lagi.

Sementara itu, Puan Kokila Vaani pula berkata, bahasa Melayu bukanlah bahasa untuk orang Melayu sahaja. Semua warga Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan fasih. Bagi pengamal perundangan bukan Melayu, hal ini menjadi satu cabaran untuk bertutur dan menyediakan hujahan dalam bahasa Melayu dengan baik. Namun begitu, sudah terbukti bahawa banyak pengamal perundangan bukan Melayu telah berjaya menyediakan hujahan yang sangat baik dalam bahasa Melayu termasuklah hakim bukan Melayu.

Menurut beliau, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di mahkamah juga telah menjadi inisiatif oleh pengamal perundangan bukan Melayu untuk mempelajari bahasa Melayu dengan lebih baik. Selain itu, sikap memperlekeh bahasa Melayu perlu ditolak atau diperbetulkan. Bahasa Melayu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mahkamah dan hujahan dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan.

Bagi Tuan Manveer Singh pula, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sangat penting digunakan di mahkamah. Sekiranya pengamal perundangan hendak bertutur dalam bahasa Inggeris di mahkamah, maka mereka perlu meminta kebenaran. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu di mahkamah. Beliau juga mengharapkan agar semua pengamal perundangan menjadikan amalan menggunakan bahasa Melayu di mahkamah sebagai satu budaya. Untuk mahir berbahasa Melayu bagi yang bukan Melayu, mereka perlu perbanyakkan bertutur dalam bahasa Melayu dan meluaskan pergaulan dengan orang Melayu.

Pembicara keempat, iaitu Tuan Haji Mohamed Hanif pula menyatakan bahawa peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Malaysia. Katanya, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang memandaikan pengamal perundangan dalam bidang guaman dan kehakiman. Oleh itu, para pengamal perundangan perlu prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dalam meluhurkan dan menjunjung bahasa Melayu.

“Terdapat juga inisiatif yang dibuat oleh firma-firma guaman yang mengupah jurubahasa dan penterjemah bagi melatih peguam untuk berbahasa Melayu dengan baik dan fasih. Selain itu, para pengamal perundangan juga perlu tegas terhadap penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dan sentiasa mengamalkan bahasa Melayu di mahkamah. Mereka juga seharusnya banyak menulis dan menterjemahkan buku undang-undang ke dalam bahasa Melayu”, ujarnya lagi.

Demikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu penjiwaan dan pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan pengamal perundangan dan kehakiman. Yang turut hadir ialah Tuan Johan Radzi bin Ahmad Zahar (peguam) yang bertindak sebagai moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.