Oleh Jeniri Amir
15 Oktober 2021, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perdana Menteri Malaysia pada awal bulan Oktober 2021 mengakui bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang menampakkan impak yang baik.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keadaan sekarang kelihatan agak tenang bukan sahaja di luar tetapi juga di dalam Dewan Rakyat yang bersidang pada setiap hari Isnin hingga Khamis.

“Di luar lebih tenang tetapi serangan terhadap kerajaan seperti dahulu sudah berkurangan. Walaupun pembangkang, saya dah beritahu mereka, kekal sebagai pembangkang. Mereka kecam kerajaan itu kerja mereka, kita perlu semak dan imbang kepada kerajaan,” kata beliau lagi.

Beliau menjelaskan bahawa keadaan sekarang menampakkan sikap saling menghormati yang semakin tinggi dalam kalangan ahli Parlimen.

Terdapat perubahan yang ketara dari segi sikap dan bahasa yang digunakan oleh ahli Parlimen selepas termeterainya perjanjian berkenaan. Sesungguhnya, hal itu merupakan “angin segar” dalam politik negara. Sebelum ini, keadaan di dalam Dewan Rakyat kecoh dan kadangkala tidak terkawal. Ada wakil rakyat yang gagal mengawal emosi malah kelihatan emosional.

Sesetengah wakil rakyat dan pemimpin politik negara ini bukan sahaja tidak memperlihatkan sikap mulia tetapi menggunakan bahasa Melayu rendah. Mereka menghamburkan kata-kata kesat, kasar, dan tidak sopan ketika berucap atau bangun mencelah.

Kini, kelihatan tidak terdapat gangguan dan jarang-jarang kita dengar wakil rakyat yang menggunakan bahasa yang tidak sopan dan kesat. Hal ini satu petanda positif dan budaya atau amalan ini harus terus dipupuk dan diamalkan di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

Pada Ogos 2018, dalam satu pertemuan dengan budayawan di Petaling jaya, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menegur sikap sesetengah perwakilan di Parlimen yang menggunakan bahasa Melayu secara cacamarba.

“Bukan sahaja penggunaan yang tidak betul, malah ada yang menggunakan kata-kata kesat dan tidak sopan. Hal ini tidak patut berlaku. Malulah jika anak-anak kecil melihat dan mendengar pertuturan sebegini,” ujarnya. Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak meremehkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Itulah sebabnya pada Julai 2020, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim mencadangkan agar ahli Dewan Rakyat yang tidak menjaga bahasa dan kelakuan ketika persidangan perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan pada masa sama perlu memberikan penjelasan mengapa mereka tidak boleh dikenakan denda atas perilaku masing-masing.

Dewan Rakyat perlu mewujudkan Tatacara Piagam Kelakuan Baik untuk ahli Parlimen ketika bersidang termasuk dari segi peraturan bahasa. Hal ini demikian kerana kita tidak boleh membiarkan ahli Dewan Rakyat yang gagal mengawal emosi ketika bersidang sehingga ada yang sanggup menggunakan kata-kata kesat sesama sendiri ketika bersidang.

Selain itu, tatacara itu juga bagi mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sewenang-wenangnya dan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Mereka perlu menghormati bahasa Melayu ketika berbahasa di dalam Dewan, sesuai dengan taraf Dewan dan kedudukan mereka sebagai Yang Berhormat.

Tambahan pula, ada yang menggunakan gelaran negatif kepada lawan politiknya tanpa mempedulikan perasaan individu yang menjadi sasaran. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan reputasi, memperlekeh dan menyerang pihak lawan tanpa mengendahkan tatapelakuan dan kesannya. Perbuatan sedemikian bukan sahaja merimaskan rakyat, tetapi mereka sebenarnya menghantar mesej yang tidak baik kepada rakyat, terutama kepada golongan muda dan pelajar sekolah.

Antaranya seperti “kepala bapakau”, “samseng” dan “monyet”, yang bukan sahaja boleh menyinggung perasaan orang lain tetapi memperlihatkan bahasa yang tidak sesuai sama sekali digunakan oleh mereka yang bergelar Yang Berhormat. Kata-kata kesat, mencarut dan penggunaan gelaran menghina, negatif dan mengejek membangkitkan kemarahan individu atau parti yang menjadi sasaran.

Ingat, pada zaman media baharu, pemimpin politik tidak lagi boleh lepas cakap atau bercakap sesuka hati.

Sebelum kemunculan media sosial, apa-apa yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hampir tidak diketahui oleh rakyat, apatah lagi Dewan dianggap sebagai tempat yang elitis dan mulia – yang sukar didampingi dan didekati rakyat biasa.

Rakyat hanya tahu isu yang dibangkitkan dan kejadian di dalam Dewan, termasuk kekecohan dan sikap wakil rakyat yang suka menjerit dan menggunakan kata-kata kesat apabila dilaporkan oleh media arus perdana.

Wakil rakyat bukan sekadar menjadi pemimpin dalam bidang politik. Mereka seharusnya menjadi suri teladan dan contoh terbaik dari segi penggunaan bahasa Melayu. Seyogia diingatkan, pemimpin adalah seperti ular, jika kepala mematuk, ekor akan membelit.

Rakyat akan mengikut pemimpin yang memperlihatkan contoh yang baik, termasuk dari segi penggunaan bahasa. Bukan tidak ada istilah, kata-kata dan ungkapan pemimpin politik yang cepat popular dan digunakan dengan meluas oleh rakyat kerana wibawa dan kehebatan bahasa pemimpin terbabit pada suatu ketika dahulu.

Ya, kalau wakil rakyat dan ahli Parlimen tidak menggunakan bahasa yang baik, bagaimanakah mereka hendak menegur dan menasihati rakyat?

Tentulah prinsip kepemimpinan melalui teladan tidak akan dapat diterapkan. Jangan sampai ada ahli Parlimen yang serupa dengan bidalan Melayu, iaitu seperti ketam mengajar anak berjalan betul.

Tidak ada alasan untuk wakil rakyat kita tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kita berbangga kerana ada dalam kalangan ahli Parlimen muda daripada bukan Melayu yang begitu komunikatif dan efektif dari segi penggunaan bahasa.

Bahasa mereka terpelihara dari segi penggunaan perkataan, tatabahasa, sebutan dan struktur ayat. Pemikiran mereka jelas dan teratur. Mereka berjaya menggunakan bahasa Melayu tinggi dengan idea bernas, sekali gus mengangkat darjat serta menaikkan imej dan reputasi mereka sebagai pemimpin.

Pemimpin politik seharusnya memperlihatkan keupayaan tinggi dalam penggunaan bahasa. Hanya dengan menguasai bahasa Melayu pada tahap terbina dan tahap tinggi mereka dapat membentangkan buah fikiran, hujah dan pandangan dengan baik.

Bagaimanakah mungkin seseorang pemimpin politik dapat membentangkan fakta, hujah dan wacana dengan berkesan jika tahap penguasaan bahasa Melayunya begitu rendah dan lemah?

Bagaimanakah mungkin dia dapat mempengaruhi khalayak jika bahasa Melayunya lemah? Tentu dia akan gagal berkomunikasi dengan baik dan gagal meyakinkan rakyat. Hal ini satu kerugian dari segi politik. Dalam komunikasi politik, keberkesanan dalam penggunaan bahasa amatlah penting.

Sebelum ini, kita dapat melihat bagaimana terdapat segelintir wakil rakyat yang terkial-kial mengungkapkan diri dalam bahasa Melayu walaupun sudah berada di dalam Dewan untuk puluhan tahun. Tidakkah mereka berusaha untuk memperbaik bahasa Melayu?

Adakah bahasa Melayu terlalu sukar? Tidakkah mereka sedar bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa utama sebagai alat komunikasi dan perbahasan di dalam Dewan?

Ahli Parlimen perlu dilihat berupaya menguasai kosa kata, frasa, peribahasa, metafora dan unsur jalinan komunikasi yang lain. Penggunaan alat-alat hujahan atau dalil yang sesuai, didukung oleh teknik retorik dan stilistik yang sesuai  pasti akan memungkinkan pengucapnya menyampaikan hujah dengan berkesan.

Seharusnya, mana-mana ahli politik yang mahu mengukir kejayaan dalam bidang politik di negara ini perlu menguasai bahasa Melayu. Mereka perlu rajin membaca bahan bacaan yang berkualiti tinggi dalam bahasa Melayu termasuklah majalah dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hakikatnya, mereka memainkan peranan untuk mengangkat wibawa bahasa itu. Dalam usaha untuk mengangkat bahasa berkenaan, ahli politik terbabit juga mengangkat dan mengukuhkan etos dan wibawanya sebagai pemimpin.

Ahli Parlimen dan semua pemimpin politik sepatutnya bertanggungjawab dalam memberikan contoh terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa  Melayu. Bahasa yang sopan dan berkualiti tinggi dapat menjadikan pemimpin politik suri teladan dalam penggunaan bahasa Melayu. Biarlah ahli politik kita turut dikagumi, dihormati dan disanjungi kerana kehebatannya menggunakan bahasa Melayu.

 

Dr. Jeniri Amir − Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.