Oleh Kho Thong Eng
18 Oktober 2021, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penggandaan merupakan satu daripada proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Proses yang lain ialah pengimbuhan, pemajmukan dan pembentukan akronim. Proses penggandaan meliputi kata kerja, kata kerja, kata adjektif dan sesetengah kata tugas. Melalui proses penggandaan, terhasillah kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia melawati tempat-tempat bersejarah.

1b.  Mereka berlari-lari di pantai.

1c.  Keadaan kelas itu riuh-rendah.

Dalam ayat 1a, terdapat kata nama ganda penuh, iaitu tempat-tempat. Dalam ayat 1b, terdapat kata kerja ganda separa, iaitu berlari-lari. Dalam ayat 1c, terdapat kata adjektif ganda berentak, iaitu riuh-rendah.

Proses penggandaan dapat menyampaikan maksud jamak. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Rumah-rumah di sana cantik.

2b.  Rumah di sana cantik-cantik.

Dalam kelompok ayat 2, kata nama ganda rumah-rumah dan kata adjektif ganda cantik-cantik membawa erti bahawa rumah yang dimaksudkan bersifat jamak.

Penggandaan dapat juga mendukung makna umum. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Tiada apa-apa di dalam almari itu.

3b.  Siapa-siapa boleh masuk.

3c.  Pilih mana-mana yang awak suka.

3d.  Dia mungkin datang bila-bila.

Dalam ayat 3a, 3b dan 3c, kata ganti nama tanya ganda apa-apa, siapa-siapa dan mana-mana membawa maksud umum. Dalam ayat 3d, kata tanya ganda bila-bila juga membawa maksud umum atau “sebarang”.

Ada kata ganda yang membawa maksud “berulang-ulang” atau “berpanjangan”.  Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia melambai-lambaikan tangannya.

4b.  Dia muntah-muntah selepas makan.

4c.  Dia tertanya-tanya tentang hal itu.

4d.  Keputusan itu ditunggu-tunggu.

Dalam kelompok ayat 4, kata ganda melambai-lambaikan, muntah-muntah, tertanya-tanya dan ditunggu-tunggu bererti” berulang-ulang” atau “berpanjangan”.

Ada kalanya penggandaan menghasilkan kata yang mempunyai maksud “menyerupai rupa atau keadaan” dalam kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Langit-langit bilik itu sudah kotor.

5b.  Anaknya suka makan gula-gula.

5c.  Tupai-tupai dipaku pada tiang itu.

5d.  Orang-orang dipacakkan di sawah.

Dalam kelompok ayat 5 di atas, kata ganda langit-langit, gula-gula, tupai-tupai dan orang-orang membawa maksud menyerupai rupa atau keadaan pada kata dasar yang berkenaan.

Walau bagaimanapun, terdapat kata ganda semu yang hanya merupakan nama khusus sesuatu benda atau hidupan, dan tidak mendukung maksud “menyerupai”. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Seekor sibur-sibur hinggap pada hujung rumput itu.

6b.  Kisi-kisi dipasang untuk mencegah kecurian.

6c.  Usahanya hanya sia-sia.

6d.  Dia menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dalam kelompok ayat 6 di atas, seluruh kata ganda sibur-sibur, kisi-kisi, sia-sia dan alu-aluan merupakan entiti tersendiri yang mendukung maksud khusus.

Ada kata ganda yang membawa maksud “demi”. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Satu benda ditimbangnya.

7b.  Dia menimbang benda itu satu-satu.

7c.  Dia menimbang benda itu satu demi satu.

Ada kata ganda yang membawa maksud “sahaja” atau “hanya”. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Itulah satu kajian telah dijalankan.

8b.  Itulah satu-satunya kajian yang telah dijalankan.

8c.  Itulah kajian yang satu sahaja yang telah dijalankan.

Penggandaan mungkin membawa maksud “santai”. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Mereka duduk-duduk di serambi.

9b.  Dia tidur-tidur untuk melepaskan keletihan.

9c.  Dia berbaring-baring sambil menonton televisyen.

Penggandaan juga menghasilkan adverba terbitan atau keterangan yang menghuraikan kata tertentu dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia benar-benar takut.

10b.  Dia telah berfikir masak-masak.

10c.  Dia berjuang (secara) bermati-matian.

10d.  Dia ditipu hidup-hidup.

10e.  Dia bertindak (secara) terburu-buru.

Penggandaan yang bergandingan dengan awalan se- membawa maksud “betapa pun” atau “walaupun begitu”. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Sepandai-pandai manusia, ada kalanya tersilap juga.

11b.  Sehandal-handal pemain itu, ada kalanya dia kalah juga.

11c.  Sejahat-jahat orang itu, ada juga kebaikannya.

Penggandaan yang bergandingan dengan apitan ke-…-an mendukung pelbagai maksud. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Bajunya kekuning-kuningan.

12b.  Gadis itu kemalu-maluan.

12c.  Dia berlagak ketuan-tuanan.

Dalam ayat 12a, kekuning-kuningan bererti “agak kuning”. Dalam ayat 12b, kata kemalu-maluan bererti “sangat malu”. Dalam ayat 12c, kata ketuan-tuanan bererti “seperti tuan”.

Ada kalanya penggandaan mendukung maksud kesangatan. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Dia datang pagi-pagi.

13b.  Dia balik malam-malam.

14a.  Gua itu gelap-gelita.

14b.  Keadaannya kacau-bilau.

Dalam ayat 13a, kata pagi-pagi bererti “awal pagi”, manakala dalam ayat 13b, kata malam-malam bererti “jauh malam”. Dalam ayat 14a, gelap-gelita bererti “sangat gelap”, dan dalam ayat 14b, kata kacau-bilau bererti “sangat kacau”.

Penggandaan mungkin mendukung maksud “ketidakpastian”. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Jangan-jangan dia tidak datang.

15b.  Saya bimbang kalau-kalau dia sakit.

Ada kata ganda yang membawa maksud “berbagai-bagai jenis”. Sila lihat yang contoh berikut:

16a.  Dia suka makan buah-buahan tempatan.

16b.  Dia menghidangkan kuih-muih.

16b.  Dia tabah walaupun menghadapi geruh-gerah.

Ada kata ganda yang menegaskan maksud pada kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:

17a.  Dia berjalan perlahan-lahan.

17b.  Segala-galanya sudah selesai.

17c.  Itulah kejayaan yang pertama-tamanya.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.