21 Oktober 2021, 20:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Inisiatif pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam ruang lingkup perkhidmatan awam telah melangkah ke satu fasa baharu pada hari ini dengan pelaksanaan Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam Tahun 2021, yang julung-julung kalinya dianjurkan sejak pelaksanaan Program Kursus Munsyi Muda Bahasa pada tahun 2015.

Program Munsyi Muda Bahasa merupakan produk kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memberikan latihan kebahasaan formal dan berperingkat kepada pegawai kementerian di setiap sektor yang dilantik khas untuk menjadi “Perujuk Bahasa” kepada kementerian masing-masing.

Antara bidang tugas Munsyi Muda Bahasa termasuklah membantu agensi kerajaan dalam penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam penyediaan surat, dokumen, laporan rasmi, paparan dan teks ucapan sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik. Pegawai yang ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk digalas sebagai perujuk bahasa bagi membantu usaha memperkembang penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul.

Konvensyen yang dianjurkan bersama oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), JPA dan Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP itu berlangsung seharian dengan objektif utamanya untuk menubuhkan Sektretariat Munsyi Muda Bahasa Sektor Awam (SEMUA) sebagai wadah penyelarasan kegiatan Munsyi Muda Bahasa yang merentas kementerian, jabatan dan agensi.

Majlis perasmian konvensyen telah diserikan dengan kehadiran YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, yang menyampaikan ucapan alu-aluan dan YBrs. Puan Salinah Ismail, Timbalan Pengarah Kanan INTAN, yang menyempurnakan ucapan perasmian yang disaksikan oleh 100 orang Munsyi Muda Bahasa daripada 18 kementerian secara dalam talian.

Sebanyak tujuh resolusi telah dicapai dalam konvensyen itu. Antaranya termasuklah yang meliputi pengiktirafan Munsyi Muda Bahasa, pemerkasaan fungsi Munsyi Muda Bahasa jabatan dan saranan agar elemen penguasaan bahasa Melayu dimasukkan dalam ujian penilaian kompetensi penjawat awam.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.