21 Oktober 2021, 22:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI–Bulan Bahasa Kebangsaan mula digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu agensi kerajaan yang diberi amanah untuk memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan sejak tahun 1960-an. Gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang disusuli dengan beberapa gerakan lain seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita dan Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta masih relevan dan terus dilaksanakan untuk memacu perkembangan bahasa menurut keperluan zaman. Kini, antara keperluan yang mendesak termasuklah melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Dalam usaha menyuburkan karya ilmu, daya hidup tamadun menjadi faktor yang penting. Daya hidup tamadun sesuatu bangsa banyak bergantung pada perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang. Beberapa asas falsafah dan kesejarahan telah dibincangkan dan disusuli oleh beberapa cadangan operasional untuk merealisasikan daya hidup tamadun melalui usaha penyuburan ilmu dalam kaitannya dengan pemerkasaaan tamadun Melayu.

Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan ketika bersiaran secara langsung pada petang tadi.

Globalisasi sebagai fenomena sejagat memberikan kesan kepada tamadun sedunia. Pola globalisasi sehala (dari Barat ke Timur) perlu diubah dengan mewujudkan pola globalisasi dua arah (Barat ke Timur dan Timur ke Barat), salah satunya melalui sumbangan persuratan tamadun Timur. Keterbelakangan dalam bidang ilmu menjadi salah satu sebab yang menjejaskan daya hidup tamadun. Usaha pemerkayaan khazanah ilmu penting untuk daya hidup dan penakatan Melayu, termasuklah sebagai penyumbang globalisasi seimbang.

Demikianlah antara penerangan menarik oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika menyampaikan ucap utamanya dalam Webinar “Bahasa Melayu dalam Pelestarian Budaya Keilmuan”, bersempena dengan Program Bulan Bahasa 2021, anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama ATMA, UKM, menerusi aplikasi Webex pada pukul 2.30 petang tadi, manakala YBrs. Profesor Madya Dr. Yazrina Yahya, Timbalan Pengarah AKEPT pula menyampaikan ucapan penutupan program.

YBrs. Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya, Timbalan Pengarah AKEPT.

Sementara itu, sesi perbincangan dalam format Sidang Meja Bulat yang bertemakan “Bahasa Melayu dalam Pelestarian Budaya Keilmuan” bagi program Bulan Bahasa 2021 turut diadakan yang terbahagi kepada tiga bidang, iaitu sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan serta industri dan produktiviti.

Sidang ini dipengerusikan oleh Profesor Dr. Mariyam Jameelah Ghazali, Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli dan Dr. Salvinder Singh. Sidang meja bulat ini menghimpunkan ahli akademik dalam setiap bidang yang menjadikan program ini sebagai platform kepada tokoh, ahli atau pakar bidang untuk membincangkan hala tuju dan peranan bahasa Melayu dalam pelestarian budaya keilmuan. Pandangan mereka itu kemudiannya dirumuskan dan dibentangkan kepada pihak AKEPT untuk diserahkan kepada pihak berkepentingan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!