22 Oktober 2021, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SABAH–Bahasa sukuan merupakan aset dan khazanah yang penting kepada negara. Bahasa sukuan merupakan lambang jati diri dan alat komunikasi komuniti. Sehubungan dengan itu, kesedaran peri pentingnya bahasa etnik harus dipulihara dan dilestarikan oleh semua pihak termasuk masyarakat umum.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Menurut Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, program yang berkaitan dengan bahasa etnik masih diteruskan oleh DBP Cawangan Sabah menerusi Unit Pembinaan Bahasa Sastera yang bertanggungjawab melaksanakan usaha pelestarian bahasa sukuan di Sabah melalui Pelan Strategik DBP 20212025, iaitu Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Khazanah Ilmu Terpelihara.

Antara usaha DBP tersebut termasuklah memperkaya kosa kata dalam bahasa etnik melalui aktiviti perkamusan agar dapat digunakan sebagai sebahagian daripada bahasa kebangsaan. Bagi mengetengahkan bahasa sukuan di serata dunia, DBP memasukkan entri bahasa sukuan yang telah mantap ke dalam Kamus Dewan Perdana, iatu kamus terbaharu DBP yang mengandungi lebih daripada 120 ribu kata masukan.

Bidang perkamusan dalam bahasa sukuan diperluas kepada bahasa sukuan lain, antaranya termasuklah Kamus Bahasa LotudMelayu Dewan, yang akan diterbitkan secara dalam talian melalui laman rasmi DBP www.prpm.dbp.gov.my. DBP juga mengusahakan Kamus Bahasa DumpasMelayu Dewan, dengan kerjasama Persatuan Dumpas Sabah dan Kamus Bahasa LundayehMelayu Dewan.

Antara usaha DBP yang lain termasuklah melalui bidang peristilahan. Contohnya, sejak tahun 1980-an, DBP Cawangan Sabah telah melaksanakan projek pengumpulan dan pendokumentasian kosa kata bahasa sukuan di Sabah dalam skala kecil tetapi dengan hasrat untuk memberikan manfaat kepada masyarakat. Beberapa Glosari Budaya Malaysia termasuklah istilah bahasa sukuan di Sabah telah diterbitkan seperti istilah seni anyam dan seni ukir.

Kini, melalui laman web DBP, sebanyak 6810 entri bahasa sukuan Sabah daripada pelbagai etnik seperti Kadazandusun, Murut Tahoi, Bisaya, Rungus, Kimaragang dan Bajau dapat diakses oleh masyarakat. Usaha ini masih diteruskan melalui Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan Sabah untuk bahasa Dumpas, Lundayeh, Bonggi, Kimaragang dan Rungus. Pendokumentasian secara dalam talian ini dapat memberikan manfaat kepada pelbagai pihak secara akses di hujung jari.

Dr. Jeannet Stephen, Ketua Kluster, Borlls Universiti Malaysia Sabah (kiri) dan Puan Dinoza Mahruf sebagai moderator (kanan).

Sementara itu Dr. Jeanet Stephen, Ketua Kluster, BorIIS Universiti Malaysia Sabah berkata, proses pelestarian bahasa etnik mengambil masa yang lama dan langkah demi langkah perlu diteruskan untuk mengekalkan bahasa warisan ini. Antara objektif pelestarian itu termasuklah menambahkan lagi penutur bahasa etnik terutamanya dalam kalangan generasi muda. Semoga badan atau persatuan etnik dapat memanfaatkan Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal 20222023, dengan memastikan generasi muda komuniti penutur bertambah dari semasa ke semasa.

Puan Rita Lasimbang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF).

Bagi Puan Rita Lasimbang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) pula, KLF sentiasa menyokong dan mempromosikan bahasa ibunda bahasa Kadazandusun. Aktiviti KLF dikategorikan kepada dua bidang yang saling melengkapi, iaitu melalui pemeliharaan bahasa ibunda dan pendidikan bahasa ibunda.

Antara aktiviti KLF termasuklah memberikan latihan kepada guru sekolah rendah dan menengah dalam aspek bahasa Kadazandusun, bengkel penghasilan bahasa dan bacaan Kadazandusun, pertandingan menulis novel, demonstrasi bercerita dalam bahasa Kadazandusun, pemeliharaan dan pendokumentasian kesenian lisan, humius (puisi bahasa Kadazan), pendokumentasian adat perkahwinan tradisi Kadazandusun, latihan pendokumentasian kesenian lisan dalam kalangan generasi muda, dan kempen menggunakan bahasa ibunda di rumah.

Demikianlah antara penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel dalam Webinar Bahasa Etnik Sabah Hari Etnik Sabah yang berjudul “Bahasa EtnikBahasaku, Nadi Budayaku”, bersempena dengan hari kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-68, yang diadakan secara langsung pada pukul 9.00 pagi tadi melalui saluran Facebook Live (Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah) dan YouTube Live (Sabah Gov Official). Yang turut hadir ialah Dinoza Mahruf, selaku moderator.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!