Oleh Kho Thong Eng
28 Oktober 2021, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nama merupakan rekaan manusia yang arbitrari untuk merujuk sesuatu bahan, alat atau perkara. Dalam hal ini, kepelbagaian nama tempat yang dihasilkan merupakan manifestasi imaginasi dan kreativiti manusia yang amat menakjubkan. Hal ini cukup menarik untuk kita renungi dan dalami.

Dari segi nama bagi tempat tinggal, kita ada nama seperti istana, rumah sebuah, banglo, rumah berkembar, rumah teres, rumah pangsa, pangsapuri, pondok atau teratak, rumah tradisional, rumah kampung, rumah bertiang dan rumah panjang. Konsep rumah juga dapat diperluas untuk meliputi tempat penginapan yang sementara seperti rumah tumpangan dan rumah inap desa.

Dari segi tempat makan, kita ada nama seperti restoran, kafe, warung, kedai makan, gerai dan kantin. Dari segi premis perniagaan, kita ada nama seperti pasar basah, pasar minggu, pasar tani, pasar malam, pasar raya, pasar raya besar, kedai runcit, kedai borong dan gedung beli-belah. Dari segi tempat bersukan, kita ada gelanggang bola, arena boling, gimnasium, stadium luncur ais, padang sasar, kolam renang, padang golf, velodrom dan litar lumba kereta.

Selain nama tempat yang sudah biasa kita kenali, ada juga nama tempat yang diperluas untuk merujuk institusi khas atau perkara lain. Sebagai contoh, kata rumah juga berkaitan dengan rumah persinggahan yang merupakan tempat bagi bekas penagih dadah di Pusat Serenti untuk mendapat rawatan dan bantuan lanjutan sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat. Selain itu, konsep rumah dapat dikaitkan dengan negara.  Bukankah kerajaan kita sedang mempromosikan  Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)?

Selain rumah, ada kalanya bahagian rumah seperti anjung dan serambi juga dikaitkan secara kreatif dengan fenomena lain. Kata anjung bererti “bahagian sisi atau tengah rumah yang ditinggikan” dan serambi bererti “selasar panjang yang bersambung dengan ibu rumah tetapi biasanya rendah sedikit”. Sebagai contoh, Aceh pernah diberi nama jolokan sebagai serambi Mekah kerana merupakan tempat persinggahan bagi bakal haji membuat persediaan sebelum menyambung perjalanan ke tanah suci. Selain itu, sambungan bangunan yang dijadikan tempat makan berbumbung yang terbuka dinamakan sebagai anjung selera atau serambi selera. Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut menyediakan anjung kasih sebagai rumah penginapan sementara untuk golongan yang kurang berkemampuan yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.

Kata medan sering dikaitkan dengan medan perang. Walau bagaimanapun, kata tersebut juga dapat dikaitkan dengan tempat makan, iaitu sebagai medan selera. Kata arena sering dikaitkan dengan aktiviti sukan, iaitu arena sukan atau arena boling. Sekarang, kata tersebut juga dikaitkan dengan bidang politik yang menampilkan percaturan dan persaingan yang hebat, iaitu sebagai arena politik. Kata taman bukan sahaja berkaitan dengan taman bunga tetapi mungkin juga merujuk taman perumahan, taman rama-rama, taman tema, taman tema air, taman rekreasi, taman permainan dan taman hidupan liar. Selain itu, terdapat juga konsep seperti bandar dalam taman dan sekolah dalam taman. Kata gedung yang sering dikaitkan dengan gedung beli-belah juga mungkin merujuk perpustakaan sebagai gedung ilmu.

Bentuk muka bumi seperti dataran, lembah dan puncak juga dapat digunakan untuk merujuk benda lain. Kata dataran bererti kawasan yang datar, lembah ialah tanah rendah di kaki gunung atau bukit, manakala puncak bererti bahagian yang tertinggi bagi bukit, gunung, menara dan pokok. Sekarang kata dataran dapat diperluas untuk meliputi hal seperti dataran merdeka, dataran siswa atau dataran ilmu. Kata lembah dapat dijadikan metafora untuk menjadi lembah kemiskinan, dan kata puncak dapat dijadikan metafora sebagai puncak kejayaan dan puncak kegemilangan. Kata tebing, bukan setakat merujuk tebing sungai tetapi berkaitan dengan tebing batu dan tebingan sungai.

Dengan perubahan zaman, kata laman yang merupakan versi percakapan bagi kata halaman dapat dikaitkan dengan laman web atau laman sesawang. Kata kios bukan hanya bererti kios minyak, tetapi juga termasuk kios maklumat atau kios elektronik. Kata sarang bukan sekadar bererti sarang burung, sarang tebuan atau sarang anai-anai, tetapi mungkin merujuk sarang tikus, sarang ular, sarang penjenayah dan sarang penagih dadah, iaitu tempat yang banyak terdapat hidupan atau anasir negatif tertentu. Kata balai bukan setakat merujuk balai masyarakat atau balai orang ramai, tetapi termasuk balai polis, balai bomba dan balai orang kenamaan. Dari segi binaan yang berbentuk menara, kita bukan sahaja ada rumah api, malahan kita ada serombong tinggi, menara kawalan, menara tinjauan dan menara berkembar.

Selain peluasan maksud kata, ada kalanya terdapat kata-kata baharu untuk menandakan ciri-ciri perbezaan yang halus. Sebagai contoh, kita menggunakan kata kilang untuk kilang papan tetapi kata loji untuk loji jana kuasa nuklear dan loji perawatan air. Dari segi tempat untuk perahu atau kapal berlabuh, kita ada kata-kata seperti jeti, pangkalan, dermaga dan pelabuhan, malahan sekarang sudah ada istilah seperti pangkalan data, pangkalan tentera dan pelabuhan darat.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi