1 November 2021, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SEREMBAN −Peneguhan sikap dalam kalangan masyarakat terhadap penggunaan bahasa hendaklah diberi tumpuan dalam pengisian program sambutan DBK 2021-2030. Pemupukan sikap tersebut tidak harus dipandang ringan kerana dibimbangi bahawa bahasa yang kurang diungkapkan dalam apa-apa jua suasana akan menghilangkan kewibawaan jati diri bangsa dan bahasa Melayu yang disanjung selama ini akan hilang akarnya.

Menurut YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun lagi, beliau menyokong penuh usaha untuk memartabatkan bahasa ini dan turut menyeru semua masyarakat agar menggunakan bahasa kebangsaan kerana bahasa tersebut yang menyatukan semua bangsa di Malaysia.

Program DBK ini perlulah diadakan secara berterusan kerana usaha menanam rasa megah terhadap bahasa kebangsaan bukanlah sifatnya bermusim. Sesungguhnya, peranan dan hak kepentingan bahasa kebangsaan serta sumbangannya dalam mewujudkan masyarakat yang berbudaya tinggi dan memiliki minda kelas pertama amatlah penting.

Demikianlah antara pesanan dan amanat yang disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, yang merasmikan pelancaran majlis tersebut. Yang turut mengiringi beliau ialah YB Dato’ Dr. Razali Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, merangkap Pengerusi PPANS; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco); Tuan Haji Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP; Puan Hajah Jamilah Haji Katis, Pengarah PPANS; dan Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Program DBK dilaksanakan untuk melahirkan bangsa Malaysia dan rakyat Negeri Sembilan yang mengamalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seterusnya memupuk masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama dan meningkatkan kesedaran serta kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.

Antara pengisian program yang mewarnai majlis itu termasuklah Majlis Pelancaran Buku Sajak-sajak Pilihan Dharmawijaya, nukilan Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya) yang turut dihadiri oleh anak Allahyarham, iaitu Encik Asrul Effendi Kamaruzzaman, Penolong Kurator, Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Selain itu, berlangsung juga Majlis Penyerahan Pinjaman Buku Berkelompok kepada empat institusi penjara di bawah Jabatan Penjara Negeri Sembilan, iaitu Penjara Seremban, Penjara Mantin, Penjara Gemas, dan Penjara Jelebu.

Pelbagai program DBK telah berlangsung dari bulan Mei hingga bulan November 2021. Antaranya termasuklah Bengkel Penulisan dan Pendeklamasi Sajak, Pertandingan Penulisan dan Mendeklamasi Sajak, Forum Semarak Bahasa: Uniknya Dialek Negeri Sembilan, Program Sembang Bahasa “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul” bersama-sama Sasterawan Negeri Sembilan (Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin), Bengkel Pengkaedahan Jawi dan Pertandingan Bercerita Kanak-kanak. Kesemua aktiviti ini telah mendapat penyertaan dan penglibatan yang sangat membanggakan daripada semua pihak.

Majlis Pelancaran Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Negeri Sembilan 2021 telah berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dengan beberapa jabatan dan agensi, iaitu DBP Wilayah Tengah, PUSPANITA Cawangan Negeri Sembilan, dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Majlis pelancaran tersebut diadakan di Perpustakaan Negeri, Seremban 2 pada pukul 10.30 pagi tadi.

 

Majlis Pelancaran Buku Sajak-sajak Pilihan Dharmawijaya, nukilan Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya).
YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, ketika berucap dan merasmikan Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2021.
YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun bersama-sama Sasterawan Negeri Sembilan, iaitu Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin dan Tuan Haji Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP (kiri).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.