5 November 2021, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menerima lawatan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Saifuddin Abdullah bagi membincangkan program kerjasama antara Wisma Putra, DBP dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam usaha mengantarabangsakan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan negara.

Dalam sidang media yang diadakan selepas beliau bermesyuarat bersama-sama DBP dan ITBM, Dato’ Saifuddin Abdullah menekankan peri pentingnya bahasa Melayu diangkat sebagai antara bahasa terbesar dunia yang semakin bertambah jumlah penuturnya pada saban tahun. Oleh itu, beliau berhasrat untuk merancakkan lagi perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan negara luar.

KLN,Dato’ Saifuddin Abdullah
“KLN akan memfokuskan promosi Diplomasi Kebudayaan ” – Dato’ Saifuddin Abdullah

Maka itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) akan memfokuskan promosi Diplomasi Kebudayaan melalui pejabat perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil), menerusi Program Pengantarabangsaan Bahasa dan Persuratan Melayu. Pihak KLN juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menasihati kementerian dalam hal ehwal diplomasi kebudayaan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kesenian dan Kebudayaan (ARCA). Menurut beliau, program tersebut merupakan kerjasama yang julung-julung kalinya diadakan antara KLN dengan DBP dan ITBM.

Antara usaha yang akan diambil termasuklah mengemas kini kursus bahasa dan budaya Malaysia dengan lebih sistematik khususnya di Malawakil di seluruh  negara. Kelas bimbingan secara kecil-kecilan telah pun bermula di beberapa kedutaan Malaysia di Indonesia, Thailand, China dan Rusia.

Tambah beliau lagi, usaha ini tentunya akan diteruskan dengan lebih sistematik dengan adanya sedikit dana tambahan. Selain itu, Malaysia juga akan menawarkan Kursus Bahasa Melayu kepada pegawai diplomatik negara-negara yang terlibat, yang bakal bertugas di Malaysia. Atase Kebudayaan yang  meliputi soal pendidikan bahasa dan kesusasteraan juga akan ditempatkan di kedutaan-kedutaan utama. Walau bagaimanapun, perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut dengan kementerian lain terlebih dahulu.

Saya berharap pada peringkat kami di KLN, sebelum akhir tahun ini, semua usaha ini akan dapat diselesaikan dan terma rujukan untuk duta-duta dan semua pejabat Malawakil dapat kami sediakan.

“DBP menyambut baik cadangan dan usaha KLN dalam mengantarabangsakan bahasa dan kesusasteraan Melayu” – Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Tambah Dato’ Saifuddin Abdullah lagi, sebelum ini pihak DBP telah mengadakan kerjasama dan aktiviti kebahasaan dan persuratan Melayu yang merentas negara. Antaranya termasuklah Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Sehubungan dengan itu, beliau mahukan kerjasama itu diperkasakan bagi menyebarluaskan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

Cadangan yang diutarakan Dato’ Saifuddin Abdullah mendapat respons positif daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang menyokong penuh cadangan tersebut sambil menyatakan bahawa pihak DBP akan memberikan kerjasama penuh kepada KLN demi menjayakan hasrat pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu.

Yang turut hadir dalam sidang media yang diadakan di Menara DBP ialah Ketua Eksekutif ITBM, Encik Sakri Abdullah, Dr. Ahmad Idham Ahmad (Pegawai Tugas-tugas 1), dan warga pengurusan tertinggi DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.