10 November 2021, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI – Bahasa merupakan asas jati diri manusia. Tanpa bahasa, manusia tidak dapat membentuk jati diri dan tidak dapat membina tamadun. Nilai bahasa kita berdasarkan acuan kita sendiri termasuklah kurniaan bahasa oleh Allah SWT. Pelbagai tamadun manusia tumbuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan bahasanya (Yunani, Islam dan sebagainya).

Menurut YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, fungsi bahasa dalam pengembangan dan pembentukan tamadun manusia dalam pembentukan “keluarga Malaysia” termasuklah sebagai asas pembentukan konsep diri manusia melalui akal pemikiran. Bahasa sebagai asas pengilmuan manusia termasuklah kepentingan bahasa sebagai alat penyebaran dan pengembangan ilmu kepada khalayak. Bahasa juga sebagai perantaraan perhubungan sosial termasuklah tingkah laku dan pembentukan adab sebagai alat yang mengawal fungsi sosial manusia.

Tambah beliau, bahasa juga menjadi perantaraan pewarisan tamadun melalui pembinaan dan penakatan tamadun termasuklah melalui karya undang-undang, bahasa diplomasi, bahasa perdagangan, politik, metafizik, ketatanegaraan, pantun, syair, gurindam dan sebagainya.

Bahasa Melayu turut berfungsi sebagai alat yang mengangkat ilmu historiografi (persejarahan) termasuklah dalam Hukum Kanun Melaka dan undang-undang, Kitab Ilmu Bedil, Hikayat Hang Tuah, surat-surat Sultan Kedah dan sebagainya yang membuktikan kecemerlangan dan kebitaraan bahasa Melayu. Warkah dan surat perjanjian juga ditulis dalam tulisan Jawi dan bahasa Melayu.

 

YBhg.Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika bersiaran secara langsung.

Bahasa Melayu yang diwarisi hingga kini terbentuk dalam era kebudayaan MelayuIslam. Bentuknya yang baku (dalam hal bentuk kata dan susunan ayat) jauh berbeza daripada bahasa Melayu pada zaman kuno yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan kini tidak difahami lagi oleh orang Melayu.

Islam telah mewariskan tulisan yang memungkinkan berkembangnya agama dan tradisi ilmu di seluruh alam Melayu. Fahaman kebangsaan dengan pengertian umat Melayu Islam terbentuk dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa ilmu dan lain-lain. Bahasa baku penting sebagai tonggak tamadun bangsa dan negara. Antara wasiat Hassan al-Bana termasuklah perlunya bahasa baku dipertahankan kerana ilmu perlu diolah dalam bahasa yang baku dan baik.

Menurut beliau lagi, peranan bahasa Melayu sebagai tonggak zaman baharu pula menyaksikan sejarah bahasa Melayu dalam pembinaan dan penakatan tamadun di alam Melayu termasuklah di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Cambodia, Filipina.

Antara isu bahasa Melayu ialah kelunturan dan pelunturan bahasa Melayu, iaitu bermula sejak zaman penjajahan, iaitu bahasa Melayu diturunkan martabatnya sebagai bahasa vernakular. Manakala dalam senario semasa pula, bahasa Melayu telah mengalami kemerosotan dalam aspek taraf dan mutu termasuklah dalam dampak globalisasi serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Dalam pengisian gagasan “keluarga Malaysia” oleh Perdana Menteri Kesembilan, peranan bahasa Melayu sebagai asas jati diri rakyat Malaysia perlu ditingkatkan dan diperluas. Sementara itu, bagi merealisasikan bahasa Melayu sebagai “Bahasa Jiwa Bangsa”, beberapa langkah diadakan termasuklah melalui perancangan taraf bahasa Melayu, perancangan korpus atau sistem bahasa seperti ejaan, sebutan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa; serta melalui pembinaan negara. Langkah pemartabatan bahasa Melayu juga telah diadakan melalui program diplomasi kebudayaan pada peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Demikianlah penerangan menarik daripada YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang bersiaran secara langsung melalui aplikasi Zoom dan Facebook Jabatan Muzium Malaysia dalam Seminar Kebangsaan Alam dan Tamadun Melayu: “Memperkasakan Warisan, Sejarah, Adat dan Jati Diri Bangsa Melayu” anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia pada pukul 9.00 pagi tadi. Yang turut hadir ialah Dr. Junaini Kasdan, selaku moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.