11 November 2021, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

KUALA LUMPUR − Walaupun hanya tiga minit, rakyat Malaysia pastinya sangat berbangga apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland.

Ucapannya itu membuka lembaran baharu dalam perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dan wajar dilaksanakan oleh pemimpin lain juga. Dengan modal yang kecil untuk membayar khidmat terjemahan, negara sebenarnya memperoleh faedah yang amat besar. Demikian ulasan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, semasa mengikuti ucapan Menteri KASA di Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu 2021.

Tahniah dan syabas kepada pemimpin yang mengangkat bahasa negara di forum antarabangsa, selaras dengan semangat mendukung maruah dan kedaulatan negara. Perihal pemimpin negara berucap dalam bahasa negara masing-masing telah lama diamalkan oleh pemimpin negara lain seperti Republik Rakyat China, Jerman, Rusia, Perancis, Indonesia dan yang lain. 

Menurutnya lagi, selain soal imej negara, akan ada lonjakan lain daripada usaha mengangkat bahasa negara pada peringkat dunia, seperti pelancongan, perdagangan dan pendidikan.

Sebagai contoh, pengalaman saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di negara China atas nama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Jabatan Pendidikan Malaysia di Beijing telah berjaya mengembangkan bahasa Melayu di negara itu. Kini 15 buah universiti di China menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun dan program Diploma Bahasa Melayu selama tiga tahun dan jumlah itu akan bertambah secara berterusan.

Tambahnya lagi, DBP dalam Sasaran Kerja Utama sejak lebih 20 tahun lalu telah meletakkan sasaran menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Usaha itu belum tercapai kerana banyak bergantung pada keputusan dan pelaksanaan oleh kerajaan.

Dengan perkembangan kini, beliau positif bahawa bahasa Melayu dapat ditingkatkan pada peringkat antarabangsa. Menteri Luar Negara, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, dalam kunjungan ke DBP pada 6 Oktober 2021 telah mengisytiharkan Program Diplomasi Kebudayaan yang antara lain untuk menggerakkan bahasa, persuratan dan kebudayaan negara pada peringkat dunia melalui peranan kedutaan-kedutaan utama Malaysia di dunia, dengan kerjasama DBP.

“Negara kita tanggungjawab kita. Bahasa kita tanggungjawab kita,” katanya lagi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi