11 November 2021, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR  Umumnya pantun merupakan wahana pernyataan emosi serta perasaan seseorang terhadap seseorang yang lain seperti rasa cinta, kasih sayang, dendam, marah, hati budi, harapan yang kecewa dan sebagainya. Kekuatan luar biasa pantun boleh merangsang perasaan dan emosi seseorang.

Pantun juga boleh dipelbagaikan dan dipopularkan. Yang penting, pantun sebagai medium komunikasi yang perlu diangkat darjat dan martabatnya yang bukannya terhad dalam urusan peminangan dan nikah kahwin sahaja. Yang lebih signifikan, pantun mengandungi mutiara nasihat dan pengajaran, peringatan agama, tunjuk ajar, perilaku dan panduan hidup yang berguna. Secara langsung, memperagakan daya akal budi manusia Melayu yang sangat tinggi dan berharga yang harus dipertahankan.

Menurut YBhg. Profesor Dato’ Dr. Anis Yusal Yusoff, iaitu Mantan Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, yang juga Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), pelbagai kaedah digunakan dalam usaha untuk membudayakan integriti dalam kalangan rakyat Malaysia. Katanya lagi, ada yang belajar daripada hasil melihat sesuatu berbanding dengan mendengar. Hal tersebut memerlukan kaedah yang berbeza. Sebagai contoh, ada yang belajar sambil mendengar lagu, belajar secara experiential learning dan kaedah lain.

Hari ini kita memilih pantun sebagai medium untuk mendidik masyarakat. Bukan setakat mendidik masyarakat sahaja, malah kita berharap pantun menjadi medium untuk membina bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti. Mengapa tidak pantun digunakan dalam perbahasan oleh wakil-wakil rakyat kita di Parlimen? Hal ini bukan perkara mustahil. Yang penting, kita harus yakin bahawa pantun ialah puisi yang boleh digunakan dalam komunikasi bagi menyampaikan hasrat dan maksud dalam bahasa ringkas tetapi penuh bermakna. Pantun merupakan warisan budaya yang wajib kita pertahankan.

Beliau turut berpandangan bahawa pantun merupakan satu cara untuk masyarakat berbahasa. Katanya lagi, pada zaman dahulu pantun ini berbentuk lisan, justeru tiada nama pencipta dan tarikh ciptaannya. Pantun bukanlah dikatakan pantun jika tidak dilafazkan untuk menyampaikan sesuatu seperti emosi, kiasan, pesanan dan pengajaran. Maka pantun harus hidup kerana rangkap pantun direka dengan spontan.

Tidak kira sama ada tujuan pantun itu untuk mendidik, menyindir atau memuji, kualiti pantun orang dahulu sangat tinggi. Pembayangnya juga mempunyai makna yang mendalam dan mengandungi fakta yang jelas serta bukan setakat kena pada irama dan bunyi sahaja. Begitulah hebat dan halusnya laras bahasa orang Melayu dahulu.

Demikianlah ucaptama menarik yang berjudul “Memperkasakan Pantun sebagai Medium untuk Membina Bangsa Malaysia yang Bermaruah dan Berintegriti” oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Anis Yusal Yusoff di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, pada hari ini. Beliau turut merasmikan pelancaran Buku Antologi Pantun-Teguh Integriti Kukuh Pertiwi, terbitan pertama Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM).

Yang turut hadir ialah Puan Norhesni Ismail, Pengerusi Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka; Encik Muhammad Sa’edi Abdul Maad, Penasihat Kehormat, Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka; YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, yang juga Pengarah ATMA, UKM; serta YBhg. Dato’ Haji Chuari Selamat, Penasihat Projek Buku Antologi Pantun.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi