Oleh Kho Thong Eng
12 November 2021, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui bahawa kata-kata dalam bahasa Melayu dikategorikan sebagai kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas. Dalam hal ini, kebanyakan kata sudah tergolong dalam kategori masing-masing. Walau bagaimanapun, ada segelintir kata yang tidak begitu jelas golongan katanya.

Ada pihak yang mengkategorikan kata seperti “begitu”, “begini” dan “demikian” sebagai kata adverba jati. Namun begitu, hal ini perlu kita pertimbangkan semula. Seperti yang kita ketahui, dalam bahasa Melayu terdapat kata ganti nama tunjuk umum, iaitu “ini” dan “itu”. Penggunaannya adalah seperti yang berikut:

1a.  Benda ini milik saya.

1b.  Ini milik saya.

2a.  Benda itu mahal.

2b.  Itu mahal.

Dalam kelompok ayat 1, “ini” dan “itu” berfungsi sebagai penerang inti frasa nama atau kata penentu belakang. Kata-kata tersebut dapat menggantikan inti frasa nama.

Kata “begini”, “begitu” dan “demikian” pula merupakan kata ganti nama tunjuk cara. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.      Cara begini adalah betul.

3b.      Beginilah cara yang betul untuk memasak gulai.

3c.      Cara yang betul begini.

4a.      Cara begitu adalah betul.

4b.      Begitulah cara yang betul untuk memasak gulai.

4c.      Cara yang betul begitu.

5a.      Cara demikian adalah betul.

5b.      Demikianlah cara yang betul untuk memasak gulai.

Kata ganti nama tunjuk cara “begini”, “begitu” dan “demikian” dapat berfungsi sebagai adverba jika menghuraikan kata adjektif atau kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Cara yang begini cekap harus dicontohi.

6b.  Berlari begitu amat memenatkannya.

6c.  Berlari demikian amat memenatkannya.

Dalam ayat 6a, kata “begini” berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata adjektif “cekap”. Dalam ayat 6b, kata “begitu” berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja “berlari”. Dalam ayat 6c, kata “demikian” juga berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja “berlari”.

Bagaimanakah pula halnya dengan kata-kata seperti “serentak”, “langsung” “sekali gus” dan “julung-julung kali” yang juga sering digolongkan sebagai adverba? Kata-kata tersebut dapat menjadi penerang inti dalam frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Tindakan serentak membuahkan hasil.

7b.  Penglibatan langsung lebih berkesan.

7c.  Langkah sekali gus sudah dirancang.

7d.  Rundingan julung-julung kali telah diadakan.

Dalam hal ini, kata-kata seperti “serentak”, “langsung” “sekali gus” dan “julung-julung kali” patut digolongkan sebagai kata adjektif cara kerana menghuraikan kata nama yang menjadi inti frasa nama. Kata adjektif cara begini dapat berfungsi sebagai adverba jika menguraikan kata kerja atau frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Mereka bertindak secara serentak.

8b.  Mereka ke sana secara serentak.

9a.  Mereka terlibat secara langsung.

10a.  Mereka bertindak sekali gus untuk mengatasi masalah.

11a.  Mereka mengadakan mesyuarat itu julung-julung kali.

Dalam ayat 8a, kata “serentak” menghuraikan kata kerja “bertindak”. Dalam ayat 8b, kata “serentak” menghuraikan frasa sendi nama “ke sana”. Dalam ayat 9a, kata “langsung” menghuraikan kata kerja “terlibat”. Dalam ayat 10a, frasa “sekali gus” menghuraikan kata kerja “bertindak”. Dalam ayat 11a, frasa “julung-julung kali” menghuraikan frasa kerja “mengadakan mesyuarat”.

Ada pihak yang beranggapan bahawa kata adjektif mesti dapat diiringi oleh kata penguat seperti “sangat”, “”sekali”, dan “benar”. Namun begitu, sememangnya ada kata adjektif yang tidak boleh atau tidak biasa digandingkan dengan kata penguat. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Jawapannya betul.

12b.  Jawapannya salah.

12c.  Pakaiannya putih.

12d.  Meja itu bujur.

12e.  Kereta baharu kawannya rosak.

12f.   Kisah lampau jangan dikenang.

12g.  Gasing leper itu sudah pecah.

12h.  Tayar kempis harus dibaiki.

12i.   Begnya berwarna ungu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi