15 November 2021, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan) 1995 memperuntukkan tujuan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Seksyen 5 (2) akta tersebut memperuntukkan maksud “untuk menggalakkan” termasuklah memberikan arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan. Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan pembina dan perancang bahasa, sastera dan penerbitan diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan tugas membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan di Malaysia.

DBP telah diamanahkan oleh kerajaan untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dengan melaksanakan pelbagai program memartabatkan bahasa kebangsaan yang bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra rakyat Malaysia, memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui kegiatan kebahasaan dan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai satu daripada asas pembinaan negara bangsa dan tamadun bangsa.

Bagi mencapai tujuan tersebut dengan lebih berkesan, pelbagai program kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan telah dilaksanakan untuk memenuhi kehendak pelbagai peringkat masyarakat. DBP telah menjadi sebuah institusi yang bergerak sederap dan selangkah dengan hasrat kerajaan melalui gagasan “Keluarga Malaysia”. Satu daripada usaha asas dan dasar yang mesti diutamakan dalam melestarikan gagasan “Keluarga Malaysia” adalah dengan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Tugas dan peranan DBP semakin berat apabila kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara mengalami beberapa fasa pasang surutnya terutamanya dalam mendepani cabaran globalisasi yang didominasi oleh bahasa Inggeris dan beberapa perubahan pesat berlaku dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan budaya.

Perkembangan ekonomi yang positif juga mendorong kemunculan pelbagai jenis perniagaan. Bagi tujuan mempromosikan perniagaan, media paparan diletakkan di hadapan premis perniagaan supaya masyarakat dapat mengetahui produk yang diniagakan. Hal ini selari dengan dasar bahasa kebangsaan yang menyatakan fungsi bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi dalam iklan, papan tanda, penamaan sama ada dalam bentuk media elektronik mahupun media cetak.

Dalam keghairahan masyarakat merancakkan peluang ekonomi, mereka menjadi rakus sehingga mengabaikan penggunaan bahasa yang baik dan betul. Kesalahan dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada media paparan seperti papan tanda, papan iklan dan nama jalan di tempat-tempat awam sangat membimbangkan. Dalam hal ini, soal salah atau betul penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan premis perniagaan, papan iklan luar, gegantung, kain rentang,  mahupun penamaan bangunan dan kediaman bukan menjadi pertimbangan utama peniaga dan pengiklan.

Dalam hal tersebut, mereka hanya mementingkan bahasa yang digunakan pada visual iklan yang dianggap dapat difahami oleh pelanggan. Justeru, terdapat segelintir peniaga dan pengiklan yang mencampuradukkan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin atau menjadikannya “bahasa rojak” pada papan premis perniagaan mereka. Situasi ini menimbulkan polemik dan pendebatan dalam kalangan masyarakat dan pemimpin.

Walaupun tanggungjawab untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat awam di bawah pihak berkuasa tempatan, DBP tetap melaksanakan dan melipatgandakan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu. DBP sentiasa mengawasi penggunaan bahasa kebangsaan yang digunakan di sektor awam, sektor swasta dan di tempat awam. Program pemantauan bahasa dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan yang mencakupi papan iklan premis perniagaan, papan iklan luar, gegantung, kain rentang, penamaan bangunan dan jalan, pusat beli-belah dan lain-lain.

Berdasarkan dapatan pemantauan dan aduan kesalahan bahasa yang ditular oleh khalayak luar, surat teguran akan dikeluarkan kepada pihak yang melakukan kesalahan bahasa supaya kesalahan tersebut dibaiki. Antara teguran yang pernah dibuat oleh DBP ialah penggunaan nama Jalan Central Spine Road, penggunaan bahasa rojak pada Facebook Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, penggunaan nama program dalam bahasa Inggeris “Merdeka Community Bonding” oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan penggunaan perkataan bahasa Inggeris “Exit” pada papan tanda jalan.

Pihak yang mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul pula diberi surat penghargaan. Hasilnya, antara program dan pihak yang mendapat penghargaan daripada DBP termasuklah Segmen Bahasa Melayu melalui Fly FM, Segmen Mawi Jawi (Radio Zayan) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana mengarahkan pengiklan menurunkan papan tanda yang mengandungi kesalahan bahasa.

Pemantauan bahasa menekankan dua aspek utama, iaitu tahap penggunaan bahasa dan mutu penggunaan bahasa. Tahap bahasa akan melihat kepada tiga aspek yang berikut, iaitu penggunaan bahasa kebangsaan sepenuhnya, penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa lain sepenuhnya dan penggunaan bahasa yang bercampur (bahasa Melayu dan bahasa lain). Pada peringkat mutu penggunaan bahasa pula, aspek yang dipantau ialah ejaan, tanda baca, penggunaan bahasa, pembentukan kata, binaan ayat, sebutan (jika berkaitan) dan kesantunan bahasa.

Dari tahun 2018 hingga tahun 2020, Bahagian Penguatkuasaan, DBP telah melaksanakan sebanyak 108 pemantauan bahasa kebangsaan di sektor awam, sektor swasta dan di tempat awam. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 72 surat teguran telah dikeluarkan supaya pihak berkenaan membuat penambahbaikan. Selain itu, Bahagian Penguatkuasaan turut melakukan program Ziarah Bahasa kepada agensi yang dipantau untuk membuat teguran dan menjalinkan hubungan kerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, antaranya termasuklah di Primeworks Studios Sdn. Bhd, Astro Holdings Berhad, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dan Ripple Media Prima (Rangkaian Radio Media Prima).

Bahagian Penguatkuasaan juga mengurus Aduan Pengguna Bahasa. Dari tahun 2016 hingga tahun 2021, Bahagian Penguatkuasaan telah menerima sebanyak 41 aduan. Aduan ini diterima melalui e-mel, telefon, surat, aplikasi WhatsApp dan Sistem Pantau Tegur Bahasa. Hasil daripada aduan tersebut, sebanyak 41 surat teguran telah dikeluarkan untuk penambahbaikan dan tiga (3) surat penghargaan diberikan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul, contohnya Ikea.

Sehubungan dengan itu, DBP akan terus kekal relevan dan berperanan dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Hal ini sejajar dengan Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Tanggungjawab memperkasakan bahasa kebangsaan bukan semata-mata terletak di bahu DBP, malah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat Malaysia termasuklah individu, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Sektor kerajaan seharusnya terus memperhebat dan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan tanpa meminggirkannya, begitu juga dengan sektor swasta. Keluarga Malaysia juga perlu menanamkan sifat megah akan kebangsaan dan tidak memandang rendah terhadap keupayaan bahasa sendiri.

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi