17 November 2021, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Soal bahasa Melayu ialah soal maruah dan jati diri rakyat Malaysia yang wajib diletakkan di tempat yang tinggi sepanjang masa dan di mana-mana sahaja. Sehubungan dengan itu, perkara ini harus ditanamkan dalam pemikiran setiap ahli masyarakat tentang peri pentingnya penyuburan bahasa Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.

Pemimpin negara yang membina negara mesti menguasai bahasa Melayu dengan baik supaya bahasa ini dapat mencernakan pelbagai idea yang luar biasa daripada pelbagai kaum, bangsa dan etnik atau dari pelbagai daerah. Kegagalan mengungkapkan idea tersebut melalui bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat baik dari segi agama, sains dan politik menandakan kegagalan membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Situasi bahasa Melayu pada hari ini dapat dilihat dari segi hubungan masyarakat dengan bahasa dan situasi kedudukan bahasa Melayu semasa yang seperti melukut di tepi gantang. “Tatkala Bahasa Mengalir di Muara Merdeka” ialah muara merdeka yang merupakan suatu perlambangan. Muara ialah suatu daerah atau lembangan pada peringkat akhir sesebuah sungai. Muara juga ialah pertemuan di antara air laut dengan air sungai. Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan yang mengaitkan bahasa dengan masyarakat pada hari ini.

Demikianlah antara penerangan menarik oleh Dr. Muhaimin Sulam, Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), menerusi Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM): Tatkala Bahasa Mengalir di Muara Merdeka, yang disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.30 pagi tadi.

 

Dr. Muhaimin Sulam ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

Menurut beliau, bahasa Melayu harus bersedia menghadapi cabaran yang datang dari pelbagai pelosok sebagai bahasa yang mampu menyatukan idea-idea yang mantap, dengan makna yang dapat difahami oleh semua pihak.

Konsep bahasa Melayu dalam hubung kait untuk mengakrabkan lagi “Keluarga Malaysia” dapat dilihat dari segi pelaksanaannya. Pelaksanaannya dalam kalangan masyarakat dari segi penggunaan bahasa Melayu masih lagi pada tahap yang kritikal yang memerlukan sokongan daripada semua pihak supaya konsep “Keluarga Malaysia” ini benar-benar merupakan satu konsep yang kukuh dan teguh khususnya dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum.

Walaupun ada pelbagai reaksi daripada masyarakat berhubung dengan ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air, iaitu Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan bahasa Melayu di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland, janganlah kita terlalu bersikap negatif. Hal ini merupakan satu kemajuan dalam perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Kita harus melihat perkembangan positif ini sebagai satu nilai yang sangat berharga dalam perkembangan bahasa Melayu tanah air.

Ujarnya lagi, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa negara dan bukannya bahasa untuk orang Melayu sahaja. Bahasa Melayu ialah bahasa nasional yang dimiliki oleh semua warganegara Malaysia tidak kira apa-apa kaum sekali pun.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.