Oleh Jeniri Amir
17 November 2021, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia mempunyai lebih daripada 6500 bahasa. Tidak mungkin semua bahasa berkenaan atau semua bahasa negara yang mewakili pertubuhan utama dunia dapat digunakan dalam mesyuarat dan persidangan rasminya. Justeru, beberapa bahasa rasmi perlu ditetapkan untuk digunakan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggotai oleh pelbagai negara anggota yang mempunyai latar belakang bahasa, budaya dan ideologi politik masing-masing.

PBB mempunyai ibu pejabat di New York dan pejabat utamanya di Geneva, Switzerland; Nairobi, Kenya; dan Vienna, Austria. Sebanyak 193 anggota PBB mewakili warga di seluruh dunia yang menggunakan ratusan kalaupun tidak ribuan bahasa, termasuk bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara terbabit.

Walau bagaimanapun, PBB hanya mempunyai enam bahasa rasmi untuk tujuan mesyuarat, persidangan dan dokumen rasmi. Dalam persidangan atau mesyuarat rasmi di PBB, wakil negara anggota hendaklah bercakap dan berkomunikasi dalam satu daripada bahasa rasmi berkenaan atau menyediakan interpretasi daripada bahasa yang digunakan dalam satu daripada enam bahasa rasmi itu. PBB kemudiannya menyediakan interpretasi daripada bahasa rasmi itu kepada lima bahasa rasmi lain.

Tidak dinafikan bahawa disebabkan oleh sejarahnya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia, iaitu dituturkan oleh 1.132 juta orang. Ini diikuti oleh bahasa Mandarin (1.117 juta), Hindi (615 juta), Sepanyol (534 juta), Perancis (280 juta), Arab (274 juta), Bengali (265 juta), Rusia (258) juta dan Portugis 199 juta.

Kini jumlah penutur bahasa Melayu dalam pelbagai dialek di seluruh pelosok dunia ialah sekitar 300 juta orang. Hal ini menjadikan bahasa Melayu berada dalam kategori tujuh bahasa utama di dunia dari segi jumlah penutur, selain bahasa Arab, Rusia, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin. Daripada sekitar 7000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia, sebanyak 25 bahasa yang disifatkan sebagai sangat berpengaruh. Yang menariknya, bahasa Melayu disenaraikan di tangga ke-10.

Bukankah kedudukan ini lebih daripada memadai untuk kita berasa bangga dan yakin akan keupayaan bahasa Melayu? Jadi, tidak ada sebab untuk kita bersikap rendah diri di peringkat antarabangsa, sejauh yang berkaitan dengan penggunaan bahasa itu. Baru-baru ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berucap dalam bahasa Melayu pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland.

Tindakan beliau itu menerima pelbagai reaksi dengan ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengecam. Kita sudah dapat mengagak bahawa akan ada yang mengkritik dan mengecam. Mereka ini ialah golongan yang berfikir bahawa adalah hina untuk bercakap dalam bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Golongan ini  menganggap bahawa cuma bahasa Inggeris bahasa yang hebat.

Mereka yang bercakap dalam bahasa Inggeris dianggap bijak dan pintar manakala yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai orang yang tidak ada kelas. Tanggapan dan kesendengan pemikiran sedemikian sudah lama bertapak dalam pemikiran golongan tertentu di negara ini, termasuklah dalam kalangan orang Melayu. Hal ini sesuatu yang malang.

Hakikatnya, kepandaian dan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa tidak semestinya menggambarkan kepintaran dan keintelektualan seseorang. Ada sebab lain bukan bahasa Inggeris digunakan oleh seseorang wakil negara dalam forum sedemikian, termasuklah keinginan untuk mengangkat darjat bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Ya, apakah masalah dan hinanya jika seseorang itu menggunakan bahasa Melayu dalam forum antarabangsa jikalau perkara itu dibenarkan? Seyogia diingatkan, bukan hanya bahasa Inggeris dibenarkan untuk digunakan dalam persidangan itu. Banyak perwakilan lain juga yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Di UNFCCC COP-26, banyak pemimpin negara dunia yang tidak menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap, termasuklah Presiden Korea Selatan, Presiden Indonesia, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Thailand, Presiden Perancis, Perdana Menteri Kanada dan Canselor Jerman yang menggunakan bahasa mereka sendiri. Menteri dari Malaysia bukan satu-satunya wakil yang tidak menggunakan bahasa Inggeris. Maksudnya, tidak berbahasa Inggeris bukan sesuatu yang aneh atau janggal di pentas antarabangsa.

Sebaliknya, tindakan yang tidak berusaha untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa adalah sesuatu yang merugikan. Bahasa kebangsaan perlu ditonjolkan di hadapan khalayak dunia bagi memperlihatkan keunikan dan kehebatan bahasa itu.

Malangnya, segelintir warga siber mengkritik keputusan Tuan Ibrahim menggunakan bahasa Melayu kerana  hal ini menunjukkan beliau tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka yang mengkritik tindakan menteri itu menggunakan bahasa kebangsaan jelas tidak mempunyai semangat nasionalisme bahasa dan kebanggaan terhadap bahasa itu.

Mereka yang menyifatkan tindakan menteri itu menggunakan bahasa Melayu sebagai tidak wajar hanya memikir dan menilai perkara itu dari sudut pandangan yang sempit. Komen rakyat Malaysia yang masih mendewa-dewakan atau mengagung-agungkan bahasa asing terutama bahasa Inggeris adalah menjengkelkan. Mereka masih lagi terperangkap dalam kepompong pemikiran yang menganggap bahawa hanya mereka yang mampu berucap dalam bahasa Inggeris ialah orang yang hebat dan pintar. Mereka ini belum lagi dapat membebaskan diri daripada acuan yang ditinggalkan oleh penjajah.

Perjuangan memartabatkan bahasa perlu dilakukan bukan sahaja dalam negara dan di rantau ini tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Persidangan dan forum antarabangsa termasuklah di PBB ialah tempat dan kesempatan terbaik untuk melakukannya. Justeru, semua pihak perlu menyokong dan menyambut baik keputusan yang diambil oleh Tuan Ibrahim itu yang menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu selama sekitar tiga minit. Tindakan menteri terbabit bukan sahaja berani  tetapi terpuji sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kita perlu akui bahawa langkah yang diambil oleh pemimpin itu adalah tepat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bangga bahawa ada pemimpin yang berani dan nekad untuk menggunakan bahasa kebangsaan sekali gus mampu menjunjung martabat dan kedaulatan bahasa rasmi negara. Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghargai usaha Menteri Alam Sekitar dan Air tersebut yang berucap dalam bahasa Melayu pada persidangan itu. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyifatkan ucapan Tuan Ibrahim berkenaan sebagai lembaran baharu dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dan digunakan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim berbahasa Melayu ketika berucap di UNFCCC COP-26.

Episod itu begitu bermakna bagi rakyat Malaysia yang cinta dan bangga akan bahasa Melayu. Kita perlu mempunyai pemimpin yang berani dan yakin untuk mengucapkan diri dalam bahasa kebangsaan di pentas dunia. Inilah cara terbaik untuk mengangkat darjat bahasa kebangsaan di mata dunia. Kalau bukan pemimpin kita yang melakukannya, siapa lagi yang dapat kita harapkan? Kita tidak harus hanya berkokok di kampung halaman. Pentas terbaik untuk memperlihatkan keupayaan dan martabat bahasa kebangsaan ialah di pentas dunia.  Inilah yang telah dilakukan oleh Tuan Ibrahim. Dan tindakan beliau itu perlu diberi penghargaan, pujian dan sokongan rakyat Malaysia yang cinta dan sayang akan bahasa itu.

 

 

Dr. Jeniri Amir − Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.