24 November 2021, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Karya yang baik dengan bahasa yang santun dapat dipancarkan melalui akal budi seni. Akal budi seni merupakan pancaran yang lahir dari hati budi seorang insan yang disampaikan melalui bahasa. Orang Melayu mempunyai banyak khazanah seni bahasa yang berharga seperti pantun, peribahasa, gurindam dan sebagainya.

Rektor ASWARA, Prof. Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim ketika merasmikan program webinar.

Menurut Zefri Ariff dari negara Brunei Darussalam, bahasa yang baik dan berkesan perlu untuk seseorang itu berkomunikasi dengan baik. Bahasa yang indah pula dapat memperkatakan suatu ekspresi yang ada kaitannya dengan seni. Seni berbahasa dapat memberikan gambaran atau ekspresi jati diri seseorang insan dalam konteks komunikasi. Tanpa bahasa, seseorang itu tidak dapat berada di luar lingkungannya kerana bahasa memainkan peranan yang penting sebagai alat komunikasi. Begitulah intimnya perkaitan antara jati diri dengan seni berbahasa yang memperlihatkan setiap bait-bait kata yang diucapkan itu dapat memberikan cerminan terhadap akal budi seni seseorang. 

Lima perspektif yang dapat dilihat dalam konteks jati diri seseorang melalui bahasa ialah kesedaran berilmu, kesedaran berbahasa, kesedaran berbangsa, kesedaran bernegara dan kesedaran beragama.

Manakala SPN. Marhalim Zaini, iaitu S.SN. M.A dari Indonesia pula berkata, fenomena seni pada hari ini berkait rapat dengan teknologi digital. Apabila datangnya pandemik COVID-19, para pengkarya yang kreatif pantas mengambil inisiatif untuk berkarya dan menyampaikannya kepada masyarakat dengan menggunakan teknologi digital seiring dengan keadaan semasa dunia yang dilanda pandemik COVID-19.

Pada hari ini, banyak karya seni kita terhasil melalui medium teknologi digital. Namun begitu, dapat dilihat bahawa karya yang dihasilkan ini tidak melupakan sumber tradisi alam Melayu yang melambangkan jati diri orang Melayu termasuklah penggunaan bahasa yang indah. Oleh itu, kita perlu menonjolkan dan memperkenalkan semula tradisi seni Melayu kepada generasi muda kerana banyak dalam kalangan mereka tidak lagi mengenali tradisi seni budaya Melayu lama termasuklah puisi, pantun, drama dan sebagainya.

Kini, ruang media sosial menjadi medium yang sangat berkesan untuk memberikan artikulasi yang lebih jelas kepada penonton tentang mitos, tradisi lama, hikayat lama dan sebagainya khususnya kepada generasi baharu.

CG Karmain Abbas dari Singapura pula berpendapat, seseorang itu perlu menggunakan cara yang kreatif untuk berbahasa supaya setiap bait-bait kata yang diucapkan itu santun dan sopan. Pendekatan berbahasa menggunakan cara yang betul dan santun dapat menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada penerima ketika berkomunikasi.

Fazleena Hishamuddin dari Malaysia pula menambah, seseorang yang berkomunikasi itu dapat dipancarkan melalui dua cara, iaitu secara bersemuka dan maya atau teknologi digital seperti penggunaan WhatsApp.

Bahasa berinovasi dan terakam mengikut generasi. Bahasa tumbuh mengikut peredaran masa. Bagi generasi muda pada hari ini, mereka lebih suka berkomunikasi dengan menggunakan singkatan perkataan dan mengelakkan diri daripada menulis perkataan secara penuh dengan tatabahasa yang betul dan tepat. Hal ini amat membimbangkan kerana akan merosakkan keindahan bahasa Melayu.

Para panel jemputan ketika bersiaran secara langsung.

Demikianlah antara penjelasan menarik daripada panel jemputan dalam Webinar 1: “Bahasa Terindah dalam Karya Seni (Tradisional dan Kontemporari)”, yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.00 pagi tadi. Program ini dirasmikan oleh Rektor ASWARA, Prof. Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim. Yang turut hadir ialah Encik Azrie Izham Hamzah dari Malaysia selaku moderator.

Pusat Pengajian Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menganjurkan siri webinar pada 24 dan 25 November 2021 secara langsung dalam talian menerusi FB LIVE Aswara yang menampilkan perkongsian ilmu daripada tokoh akademik dari dalam dan luar negara serta penggiat industri kreatif tanah air. Program ini ialah lanjutan daripada siri “Akal Budi Seni: Liuk Kata” bersempena dengan Wave Festival 21.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.