Oleh Kho Thong Eng
2 Disember 2021, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peribahasa ialah satu daripada khazanah bahasa dan sastera bangsa yang tidak ternilai. Pada zaman dahulu, manusia memerhatikan keadaan dan kejadian yang berkaitan dengan pelbagai unsur persekitaran untuk menghasilkan peribahasa. Dengan cara itu, sesuatu gambaran, pesanan atau teguran dapat disampaikan secara lebih halus dan berseni, tanpa menjatuhkan air muka orang atau menimbulkan konflik.

Bagaimanakah kita menyelitkan peribahasa dalam ayat? Hal ini bergantung pada jenis peribahasa, tujuan ayat dan struktur ayat yang berkenaan.

Jika kita hendak menjelaskan maksud peribahasa atau merujuk peribahasa sebagai fokus ayat, tanda petik atau tanda pengikat kata perlu kita gunakan. Dalam hal ini, peribahasa yang berkenaan menjadi penerang frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Maksud “kaki bangku” ialah orang yang tidak pandai bermain bola.

Analisis ayat:

Subjek: maksud “kaki bangku”

Frasa Nama (FN): Inti FN + Penerang FN (peribahasa)

Predikat: orang yang tidak pandai bermain bola

Frasa Nama  (FN)

Kata pemeri/perangkai: ialah

  1. Peribahasa “genggam bara api, biar sampai menjadi arang” harus kita  jadikan sebagai amalan.

Analisis ayat:

Subjek: peribahasa “genggam bara api, biar sampai menjadi arang”

Frasa Nama (FN): Inti FN + Penerang FN (peribahasa)

Peribahasa: genggam bara api, biar sampai menjadi arang

Predikat: harus kita jadikan sebagai amalan

Frasa Kerja (FK)

  1. Sikap rajin “bagai lebah menghimpun madu” merupakan prasyarat untuk berjaya.

Analisis ayat:

Subjek: sikap rajin “bagai lebah menghimpun madu”

Frasa Nama (FN): Inti FN + Penerang FN (KA + peribahasa)

Peribahasa: bagai lebah menghimpun madu

Predikat: prasyarat untuk berjaya

Frasa Nama (FN)

Kata pemeri/perangkai: merupakan

Jika kita mengaitkan sesuatu keadaan dengan peribahasa dalam ayat, ayat itu harus ada klausa bebas dengan satu frasa keterangan (peribahasa), atau satu klausa bebas dengan satu klausa subordinat (peribahasa). Dalam hal ini, tanda petik atau tanda pengikat kata tidak perlu kita gunakan. Selain itu, susunan ayat yang berkenaan boleh kita songsangkan. Walau bagaimanapun, predikat klausa bebas tidak boleh dipisahkan daripada peribahasa yang berkenaan. Hal ini dikatakan demikian kerana predikat klausa bebas itu dihuraikan oleh peribahasa yang menyusulinya. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia tidak berilmu bagai katak di bawah tempurung.

4b.  Tidak berilmu bagai katak di bawah tempurung dia.

4c.  *Bagai katak di bawah tempurung dia tidak berilmu.

Analisis ayat:

Klausa bebas:  dia tidak berilmu  (FN + FK)

Frasa keterangan:  peribahasa  (Frasa Sendi Nama)

bagai katak di bawah tempurung

(sendi nama + kata nama + frasa sendi nama)

5a.  Dia kebingungan bagai rusa masuk ke kampung.

5b.  Kebingungan bagai rusa masuk ke kampung dia.

5b.  *Bagai rusa masuk ke kampung dia kebingungan.

Analisis ayat:

Klausa bebas: dia kebingungan (FN + FK)

Klausa subordinat: peribahasa (klausa pancangan keterangan)

bagai rusa masuk ke kampung

(kata hubung keterangan + FN + FK)

Jika frasa keterangan “bak kata peribahasa” diselitkan dalam ayat 3 dan 4 di atas, frasa itu harus kita letakkan di antara dua tanda koma sebagai maklumat tambahan. Penyisipan frasa “bak kata peribahasa” memberikan unsur personifikasi kepada peribahasa yang berkenaan. Oleh itu, tanda petik harus kita gunakan. Sila lihat contoh yang berikut:

6a. Dia tidak berilmu, bak kata peribahasa, “bagai katak di bawah tempurung”.

6b.  Dia kebingungan, bak kata peribahasa, “bagai rusa masuk ke kampung”.

Jika klausa bebas dalam ayat 5a dan 5b dihilangkan, ayat yang tertinggal tergantung, dan tidak gramatis. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  *Bak kata peribahasa, “bagai katak di bawah tempurung”.

6b.  *Bak kata peribahasa, “bagai rusa masuk ke kampung”.

Jika peribahasa dinyatakan oleh pihak tertentu, seperti orang tua-tua, tanda petik harus ditambah pada peribahasa yang diujarkan itu. Hal ini bertepatan dengan cara penulisan cakap ajuk dalam ayat.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Menurut kata orang tua-tua, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian  tiada gunanya.”

Ada kalanya kita menggunakan kata hubung keterangan musabab untuk merangkaikan klausa bebas dengan peribahasa. Dalam hal ini, tanda petik tidak diperlukan. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Kita harus bersatu kerana bersatu teguh bercerai roboh.

8b.  Kita harus bersatu kerana orang tua-tua mengatakan bahawa bersatu

teguh, bercerai roboh.

8c.  Kita harus bersatu kerana peribahasa mengatakan bahawa bersatu

teguh, bercerai roboh.

8d.  Kita harus bersatu kerana menurut peribahasa; bersatu teguh, bercerai roboh.

Analisis ayat:

Klausa bebas: kita harus bersatu

Klausa subordinat: kerana bersatu teguh, bercerai roboh

Kata hubung keterangan musabab: kerana

Peribahasa: bersatu teguh, bercerai roboh

Dalam peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh, kata hubung keterangan syarat seperti jika dan subjek kita telah digugurkan. Selain itu, kedua-dua rangkaian kata itu digabungkan dengan tanda koma.

Dari segi konvensi antarabangsa bagi penggunaan tanda petik tunggal (‘ … ’) atau tanda petik ganda (“ … ”), yang penting ialah jika kita memulakan penulisan dengan satu bentuk tanda petik, bentuk tanda petik yang terkurung oleh pasangan tanda petik yang pertama itu harus berbeza daripadanya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!