14 Disember 2021, 19:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dengan kehangatan Pertandingan Debat Diraja 2021, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang telah pun bermula pada 11 Disember – 20 Disember 2021. Pertandingan debat ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu debat dalam bahasa Melayu dan debat dalam bahasa Inggeris yang diadakan secara dalam talian. Bagi peringkat akhir dan acara kemuncak pula akan diadakan secara bersemuka di Hotel Zenith, Putrajaya, pada 20 Disember 2021. Sebanyak 44 pasukan menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua daripadanya ialah Institut Pendidikan Guru (IPG).

Bahang pertandingan semakin memuncak dan pasukan yang layak ke peringkat seterusnya telah pun diumumkan. Penganjuran pertandingan ini terus menjadi tumpuan dan liputan media. Kobar semangat yang ada pada diri peserta dalam menyemarakkan serta menyebarkan kempen mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui arena debat ini telah menarik perhatian Pengurusan Tertinggi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan memberikan sokongan penuh kepada penganjuran pertandingan ini.

Menyedari peri pentingnya meningkatkan promosi aktiviti atau program pengembangan bahasa yang semakin dinamik dan digemari oleh kalangan mahasiswa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan DBP telah bekerjasama dengan menganjurkan Wacana Khas Debat Diraja 2021, yang berlangsung pada hari ini yang bermula pada pukul 2.30 petang, melalui Studio Pesona DBP.

Wacana yang bertajuk “Bahasa Citra Negara Berdaulat” telah dikupas dengan menarik dan berkesan oleh ketiga-tiga orang panel yang diundang, iaitu Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merangkap Pengerusi Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan Yahya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Puan Julia Alani Henry, Ketua Bahagian Buku Sastera, DBP, dan pemudah caranya pula ialah Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa, UPNM.

Para panel jemputan ketika bersiaran secara langsung.

Dalam perkongsiannya, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin menjelaskan bahawa MADUM akan sentiasa memberikan sokongan dan terus menjadi landasan kepada pembangunan bakat mahasiswa dalam arena debat yang akan melahirkan mahasiswa yang bijak berkomunikasi yang bersifat holistik.

Prof. Ts. Dr. Muhd Zu Azhan Yahya pula menegaskan bahawa elemen pertahanan sesebuah bangsa itu juga bermula daripada citra negara yang berdaulat yang mempunyai bahasa negara yang unggul dan arena debat berupaya melahirkan warganegara sedemikian.

Melalui wacana ini, para panel turut bersepakat dalam mengatakan bahawa syarat untuk meletakkan sesebuah negara sebagai sebuah negara berdaulat itu mestilah dipaksikan oleh bahasa kebangsaan negara yang dihormati oleh semua pihak. Melalui wacana ini juga, perkongsian daripada Puan Julia Alani Henry diharapkan dapat memberikan panduan kepada peserta yang akan bertanding ke peringkat yang seterusnya.

Para panel juga berharap agar para peserta dapat mengamalkan budaya berkomunikasi yang berkesan dan dengan penggunaan bahasa yang baik, bersemangat berpasukan yang tinggi dan bersemangat tinggi dalam mencintai bahasa kebangsaan apabila menjadi seorang pemimpin pada masa hadapan. Mereka juga menyatakan bahawa para peserta pertandingan debat pada kali ini amat bertuah kerana pertandingan ini yang paling berprestij berbanding dengan pertandingan debat yang lain.

DBP turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat yang telah bersama-sama menjayakan pertandingan ini dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan. Bahasa citra, negara berdaulat!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.