Oleh Nelawati Ngadul
16 Disember 2021, 19:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

KUALA LUMPUR Bahasa Melayu merupakan alat penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Demikianlah rumusan program Bicara Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum yang bersiaran secara langsung pada pagi tadi melalui media sosial DBP. Program anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum ini menampilkan para panel yang mapan dan mampan dalam bidang masing-masing, iaitu Dr. Lim Swee Tin, Suwanlerd Pro Poul, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Zainal Abidin Suhaili dan Datuk Jasni Matlani.

Menurut penerima Anugerah SEA Write pada tahun 2000, Dr. Lim Swee Tin, sistem pendidikan satu aliran sebelum wujudnya sekolah vernakular, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Menengah Persendirian Cina telah memperlihatkan nilai dampak bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan. Tambahnya lagi, barisan ahli panel yang diundang dalam program Bicara Bahasa dan Sastera yang bertajuk “Bahasa dan Sastera Milik Bersama” ini secara tidak langsung adalah ekpresi kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kita memiliki dan menguasai asas yang sama dalam bahasa, iaitu bahasa Melayu dan hal ini .

Bagi diri penulis terkenal dari Sabah yang juga penerima Anugerah SEA Write pada tahun 2015, iaitu Datuk Jasni Matlani, beliau bersetuju bahawa pemerkasaan karya, terutama dalam kalangan penulis Sabah dan Sarawak boleh dilakukan melalui penggunaan bahasa kebangsaan.

Sebagai rakyat, kita harus memperkasakan lagi bahasa kebangsaan sesuai dengan kehendak perlembagaan.

Selain itu, permintaan dunia terhadap bahasa Melayu kini semakin bertambah. Tidak dinafikan bahawa hal ini membuktikan kebolehpasaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Demikianlah menurut Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, seorang penggiat sastera yang sering terlibat dalam kegiatan sastera di luar negara.

Dalam dunia sastera khususnya pula, para penulis harus sedar dan faham akan fungsi serta peranan masing-masing agar megah akan bahasa kebangsaan dan akhirnya tiada lagi situasi yang memaparkan rakyat negara ini yang tidak mahir atau faham akan bahasa Melayu. Hal ini dikupas dengan baik oleh penerima Anugerah SEA Write pada tahun 2017, iaitu Zainal Abidin Suhaili atau nama penanya, Abizai.

Tambah Suwanlerd Pro Poul, seorang penggiat sastera berketurunan Siam pula, masyarakat pelbagai kaum, khususnya masyarakat Siam Malaysia harus menyokong dan mendukung aspirasi ini kerana kita ialah warga Malaysia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.