Oleh Awang Sariyan
16 Disember 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penggunaan bahasa rojak yang bererti bahasa campuran antara lebih satu bahasa dapat dinilai daripada dua sudut pandang. Penggunaannya dalam perhubungan tidak rasmi, seperti perbualan, kurang kesan buruknya kerana terbatas khalayaknya. Tetapi penggunaan bahasa rojak dalam urusan rasmi, apatah lagi disiarkan oleh media, meninggalkan kesan buruk yang berganda. Kebiasaan itu, lebih-lebih lagi jika digunakan oleh orang ternama, seperti pemimpin dan tokoh bidang tertentu, mendorong sebahagian anggota masyarakat mengikut tabiat itu. Lambat-laun bahasa rojak dianggap hal yang lumrah. Hal itu berbahaya bagi kemantapan sesuatu bahasa.

Ada anggapan salah bahawa bahasa Melayu sukar dikuasai sehingga masyarakat menggunakan bahasa rojak untuk lebih faham. Yang sukar ialah sikap sebahagian pengguna bahasa yang mungkin mengambil jalan pintas dan tidak berusaha mempelajari bahasa atau merujuk bahan yang sebahagiannya di hujung jari, kerana terdapat dalam Internet. Soal sukar atau mudah bahasa bergantung pada keperluan dan keadaan. Bagi keperluan dan suasana biasa, ragam bahasa basahan yang mudah boleh digunakan, tetapi untuk suasana rasmi dan keperluan ilmu, misalnya, diperlukan ragam bahasa rasmi. Pendeta Za’ba sejak tahun 1930-an telah menjelaskan adanya “bahasa cakap” dan “bahasa surat”.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam perhubungan yang tidak rasmi, bahasa rojak mungkin dianggap biasa oleh sesetengah orang. Kita tidak perlu terlalu risau kerana sifatnya sementara, tetapi apabila bahasa rojak digunakan dengan kerap dan meluas dalam perhubungan rasmi, kesannya buruk, kerana mungkin terbit dalam media cetak atau media elektronik dan mudah mempengaruhi masyarakat.

Penggunaan bahasa rojak secara leluasa dapat mengurangkan penghargaan kepada bahasa sendiri, terutama dalam pilihan kata dan ungkapan. Sebahagian pengguna bahasa rojak malah berasa bangga dengan berselang-seli menggunakan kata dan ungkapan dalam bahasa sendiri dan bahasa asing, supaya kelihatan terpelajar atau menguasai bahasa asing.

Tentang anggapan bahawa bahasa rojak berkaitan dengan keperluan menguasai bahasa Inggeris untuk mendalami ilmu, menguasai teknologi dan ekonomi, tidak ada keperluan seseorang berbahasa rojak. Bahasa Melayu yang baik dapat menjelaskan konsep dan huraian ilmu walaupun ada keperluan menggunakan istilah dan rangkai kata yang bersumberkan bahasa asing yang telah diubah suai menjadi istilah dan rangkai kata bahasa Melayu. Jika ada keperluan menggunakan sesetengah istilah atau rangkai kata dalam bahasa asing disebabkan belum ada padanannya dalam bahasa Melayu, hal itu dapat dilakukan dengan mencetaknya dalam bentuk miring sebagai tanda kata dan ungkapan asing. Hal itu bukan bahasa rojak tetapi peralihan kepada istilah dan rangkai kata yang disebut “peralihan kod” seperti petikan perkataan tokoh, petikan ayat al-Quran yang bukan bahasa rojak atau campur baur antara bahasa Melayu dengan bahasa lain secara tidak beraturan.

Masalah pengguna bahasa rojak berkaitan dengan masalah kejiwaan. Antaranya termasuklah kurang rasa hormat dan bangga akan bahasa sendiri kerana salah sangka tentang nilai bahasa. Saya pernah bertugas di Eropah dan di China dan saya dapati nilai mereka kepada bahasa sendiri sangat tinggi. Bahasa asing penting dipelajari tetapi bukan digunakan dengan cara “sekerat belut, sekerat ular” atau untuk memperagakan taraf sosial.

Kesan paling besar ialah merosotnya nilai bahasa Melayu tinggi, iaitu bahasa untuk ilmu, pemikiran, pentadbiran, undang-undang dan yang lain. Kelak yang lebih menonjol ialah bahasa Melayu basahan dan bahasa pasar. Bahasa basahan dan bahasa pasar ada tempatnya tetapi yang menampilkan peradaban atau tamadun ialah bahasa Melayu tinggi, sebagaimana bahasa Arab ada “fusha”, bahasa Inggeris ada “standard English” dan bahasa Mandarin ada “putonghua”.

Oleh itu, diperlukan usaha pemupukan bahasa secara berterusan melalui sektor pendidikan, media, pentadbiran dan sektor lain. Penggunaan bahasa rojak dapat diimbangi dengan usaha memperbanyak bahan ilmu, maklumat dan hiburan yang terkawal bahasanya, terutama melalui media elektronik seperti aplikasi, pelantar dan media sosial.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.