20 Disember 2021, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Penganjuran Debat Diraja antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 meneruskan acara tradisinya pada setiap tahun bagi melahirkan mahasiswa yang memahami naratif pelbagai isu rakyat. Acara yang berprestij ini terbukti sebagai gelanggang dan kaedah terbaik bagi memperkasakan kemahiran berucap dan memperkukuh kualiti dalam kalangan mahasiswa.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, “Arena debat merupakan platform dan wadah yaang bermanfaat untuk melahirkan mahasiswa yang matang fikrah pemikiran dan murni siasah. Bahkan merekalah pewaris yang menjadi harapan negara dan berperanan sebagai penimbal suara bagi menepis ideologi luar yang tidak selari dengan kebiasaan masyarakat kita”. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Debat Diraja Antara IPT 2021.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad merasmikan Majlis Kemuncak Debat Diraja antara IPT 2021.

Pada majlis kemuncak tersebut, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul sebagai juara Kategori Bahasa Melayu bagi pertandingan perbahasan elit ala Parlimen Asia edisi ke-22 dengan membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM5000, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pula muncul sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai yang berjumlah RM3000, trofi, sijil penghargaan serta hadiah buku sumbangan DBP. Majlis debat ini dihoskan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dianjurkan secara bersama oleh Majlis Universiti Debat Malaysia (MADUM) dengan kerjasama DBP.

Nadratul Huda Ahmad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula muncul sebagai pendebat terbaik keseluruhan, manakala Muhammad Ilham Hafiz Azmi dari UIAM menjuarai kategori pendebat terbaik pada peringkat akhir. Mereka membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai sebanyak RM1000, sijil penghargaan dan hadiah buku sumbangan DBP.

Pertandingan pada kali ini disertai oleh 23 buah IPT serta dibahagikan kepada Kategori Bahasa Melayu dan Kategori Bahasa Inggeris dengan peringkat saringan telah diadakan secara dalam talian pada minggu lepas.

Yang turut hadir ialah YB Senator Dato’ Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor, UPNM, yang merangkap Pengerusi Debat Diraja Antara IPT 2021.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!