21 Disember 2021, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Artikel ini merupakan suatu upaya kecil dalam memahami kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tanah air sendiri. Artikel ini tidak mengemukakan data, gambar rajah atau angka untuk memperkukuh hujah atau pandangan. Ini bukan perbahasan mencari pemenang dan siapa yang tewas. Siapa benar, siapa salah.

Penulis berharap pada penghujung artikel ini nanti, setiap mata yang membacanya mampu memercikkan nyalaan api perjuangan yang malap. Malap di muara kemerdekaan. Mengapakah penulis mengatakannya sebagai “penghujung”?

Muara merdeka ialah satu perlambangan. Muara ialah satu daerah atau lembangan di peringkat akhir sesebuah sungai. Muara ialah satu pertemuan antara air laut dengan air sungai. Pertembungan antara arus ombak laut dengan aliran sungai yang mengalir. Bahkan air pasang surut laut juga akan mempengaruhi kadar kandungan air sungai.

Muara akan membawa fikiran dan khayalan kita pada realiti tentang rupa wajah bahasa kita pada hari ini. Alirannya lesu kerana membawa bebanan yang sangat berat dan pasrah bertembung dengan ombak laut yang datang.

Ketika melihat muara, itulah keadaan merdeka kita pada hari ini. Lesu, tidak bermaya dan pasrah pada sebarang kemungkinan. Kita terus setia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang kini lebih dikenali sebagai hari kebangsaan saban tahun. Hari kebangsaan menjadi satu ritual nasional untuk diperingati dan diraikan melalui acara yang pelbagai. Namun begitu, yang lebih penting yang perlu dihayati ialah soal pengisian merdeka yang benar-benar memberikan makna besar dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam artikel ini, segala fikrah yang dilontarkan adalah daripada himpunan cebisan perjuangan “bahasa jiwa bangsa” sepanjang perjalanan pembinaan negara bangsa − bukan semata-mata dari kotak fikiran penulis sahaja. Penulis hanya mengatur bicara yang lepas dan menyusunnya kembali sebagai sebuah karangan untuk dikongsi bersama.

Masyarakat dan Bahasa

Malik Benabi, seorang pemikir dari Algeria, menyebut tentang masyarakat yang bertamadun. Terdapat dua jenis masyarakat sejarah. Pertama, masyarakat sejarah yang lahir daripada tindak balas kepada cabaran yang timbul dalam suasana tabii sehingga mewujudkan sebuah masyarakat baharu. Jenis kedua ialah masyarakat yang lahir daripada kesan tuntutan sesuatu idealogi.

Masyarakat Malaysia bolehlah dianggap sebagai masyarakat yang lahir daripada perubahan demografi dan geografi kemanusiaan. Yang paling ketara terutamanya semasa era penjajahan Inggeris pada kurun ke-19 apabila berlakunya kemasukan buruh asing bagi memenuhi keperluan ekonomi Inggeris.

Masyarakat Malaysia tidak dibentuk oleh mana-mana idealogi seperti Amerika Syarikat atau Soviet Union. Masyarakatnya terbentuk melalui proses asimilasi dan akodomasi dalam masyarakat secara berperingkat.

Meskipun tanah air kita sudah mempunyai pengalaman sejarah dengan masyarakat luar sejak ratusan tahun, namun dalam era penjajahan Inggeris memiliki signifikan kuat dalam proses pembentukan sebuah rupa bentuk masyarakat majmuk yang ada pada hari ini.

Pada peringkat awal Inggeris di tanah air kita, para pegawai dan kakitangan mereka belajar bahasa Melayu dan cuba menguasai budaya dan bahasa tempatan. Bahkan mereka menulis buku-buku mengenai kesusasteraan Melayu dan menyusun kamus seperti yang dilakukan oleh Wilkinson, R. O. Winsted, Frank Swettenham dan lain-lain. Bahkan sepanjang di bawah pentadbiran Inggeris, mereka berusaha menguasai dan memugarkan kedaulatan bahasa Melayu itu sendiri.

Melalui penerokaan dan penguasaan bahasa Melayu, para pegawai Inggeris sebenarnya telah memahami psikologi dan sosiologi masyarakat tempatan yang mereka jajah. Mereka menguasai bahasa Melayu tetapi akar keinggerisannya terus kekal dalam pemikiran mereka. Inilah kualiti masyarakat yang bertamadun Barat. Mereka maju, menguasai dan membina sistem untuk bekas jajahannya menggunakannya beratus-ratus tahun selepas mereka meninggalkan tanah bekas jajahan mereka.

Sebelum Inggeris meninggalkan tanah air kita, mereka telah mempersiap satu perlembagaan yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa yang baru merdeka. Lalu, dari aspek bahasa telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan tersebut tidak menghalang mana-mana bahasa lain digunakan atau diajar.

Kini sudah enam dekad lebih kita merdeka. Harus untuk apakah lagi kita persalahkan penjajah? Sebagai sebuah masyarakat merdeka, bahasanya juga harus merdeka. Merdeka dalam erti kata, kita menggunakan bahasa sendiri bukan setakat dalam urusan rasmi tetapi dalam berkomunikasi, bahkan dalam berdiplomasi.

Masyarakat yang lemah, yang hilang jati diri akan menggunakan bahasa lain (bahasa asing) yang berdaya maju bagi menyandarkan harapan untuk turut maju bersama. Hujah menggunakan bahasa maju seperti bahasa Inggeris untuk maju sudah terbukti suatu dongengan. Hujah itu lebih bersandarkan kepada faktor ekonomi dan material sahaja.

Dalam hal ini, umumnya mengakui akan keperluan untuk masyarakat menguasai pelbagai bahasa dalam memperoleh sumber ilmu pengetahuan. Bahkan hal inilah kualiti yang pernah ditunjukkan oleh Laksamana Hang Tuah, yang menguasai 12 bahasa. Di Melaka pada zaman keagungannya, terdapat lebih 80 bahasa digunakan di kota tersebut. Sebagai kota metropolitan ketika itu, penguasaan bahasa asing adalah perlu. Namun di sebalik itu, bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca ketika itu.

Dalam perbincangan ini, penulis menggunakan istilah “masyarakat” dan bukannya istilah “rakyat”. Kedua-dua istilah ini walaupun pada zahirnya sama, iaitu merujuk sekumpulan manusia tetapi dari segi politiknya, masyarakat membawa nilai tanggungjawab sosial. Atau istilah lain yang hampir persamaan penggunaannya ialah warganegara, iaitu sebagai ahli kepada sesebuah negara yang memiliki hak dan tanggungjawab dalam membina sesebuah negara.

Istilah rakyat pula lebih kepada sebuah kelompok manusia yang pasif dalam kerangka feudal. Rakyat mempunyai kesetiaan yang bukan sekadar pada sistem politik, bahkan dalam sistem kehidupan sosial yang wujud. Rakyat tidak akan bangkit melawan sistem yang melingkari kehidupan mereka.

Sistem sosial yang ada pada hari ini ialah suatu proses neo kolonialisme yang menjadikan negara atau masyarakat sebagai pengguna sistem. Masyarakat kita tidak untuk menghasilkan atau mencipta idea yang boleh digunakan oleh masyarakat luar. Sebaliknya kita kekal menjadi masyarakat pengguna sistem yang dicipta oleh kapitalis melalui proses globalisasi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi