Oleh Nelawati Ngadul
23 Disember 2021, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Bahasa Melayu milik semua. Sehubungan dengan itu, penghasilan karya yang memaparkan kearifan tempatan dalam bahasa Melayu tidak sepatutnya dicantas oleh penerbit. Hal ini demikian kerana kearifan tempatan itulah yang mewarnai kepelbagaian dalam sastera kebangsaan. Demikian penerangan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, dari Universiti Malaysia Sabah, yang memulakan perbincangan dalam Bicara Bahasa dan Sastera Kebangsaan yang bertemakan “Bahasa dan Sastera Milik Bersama” Siri 2, yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.00 pagi tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Begitu juga halnya dengan penggunaan bahasa Melayu dalam persembahan Menora dalam kalangan masyarakat Siam yang membuktikan berlakunya kepelbagaian dalam sastera kebangsaan. Hal ini dikupas dan dikongsi oleh Dr. Phat a/l Awang Deng, dari Universiti Utara Malaysia. Walau bagaimanapun, menurutnya lagi, persembahan Menora kini semakin pupus apabila generasi muda tidak lagi mewarisi budaya ini.

Para panel ketika bersiaran secara langsung.

Apabila bahasa dan sastera dikatakan sebagai milik bersama, hal ini bermakna bahawa setiap lapisan masyarakat perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa. Penekanan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda juga perlu diberi perhatian.

Kenyataan itu turut dipersetujui oleh Dr. Selvajothy Ramalingam dari Yayasan Tamil Malaysia yang meyakini bahawa penekanan dalam aktiviti kebahasaan tanpa memilih bangsa akan meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, penglibatan pelbagai persatuan di seluruh negara juga perlu dilonjakkan. Menurut Encik Phun Teck Seng, Timbalan Presiden Majlis Bahasa Cina (MBC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu sentiasa mengadakan kerjasama dengan semua persatuan. Antaranya termasuklah mengadakan kerjasama dengan Majlis Bahasa Cina yang perlu dieratkan lagi bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina.

DBP perlu mengambil peluang dengan kesediaan persatuan yang ada untuk bekerjasama bagi memartabatkan bahasa Melayu. Penghasilan karya sastera dalam bahasa Melayu dan program membaca dalam kalangan pelajar Cina oleh MBC boleh membantu DBP menyebarluaskan bahasa Melayu.

Tambah Encik Jufitri Joha, iaitu Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) pula, MBM dianggotai oleh golongan muda yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, usaha untuk membina jati diri anak-anak muda ini perlu dititikberatkan untuk meningkatkan nilai bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.