Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPERAK−Apresiasi Bahasa dan Sastera Milik Bersama amat bertepatan dengan program bersama-sama masyarakat Orang Asli yang diadakan di Batalion 18, Pasukan Gerak Am, Pengkalan Hulu, Perak, yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini. Program anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-62 Batalion 18.
Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah Pertandingan Eja dengan Betul, yang terbuka untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta peserta dewasa; Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak berumur enam tahun hingga sembilan tahun; dan Pertandingan Membaca Berita untuk pelajar sekolah rendah. Pada sebelah petang pula, Kuiz Apresiasi Bahasa dan Sastera yang terbuka untuk pelajar sekolah rendah dan menengah turut diadakan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, DSP Tuan Mohd Sail Hassan yang turut hadir ke program tersebut berharap program ini dapat diteruskan pada tahun hadapan. Menurut beliau, program ini wajar diangkat sebagai program tahunan bagi menyemarakkan aktiviti bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Orang Asli.