Oleh Kho Thong Eng
28 Disember 2021, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa ialah fenomena budaya dan sosial yang berkembang seiring dengan peralihan masa dan kemajuan sesuatu masyarakat. Oleh itu, bahasa Melayu turut berubah dan berkembang selaras dengan perubahan kontemporari. Hal sedemikian berlaku untuk menjadikan bahasa Melayu sentiasa relevan dan berupaya mengungkapkan pelbagai fenomena dalam segala ranah kehidupan.

          Satu perkembangan menarik yang kita saksikan ialah bentuk kata dasar kata terbitan yang merupakan frasa yang dianggotai oleh kata bantu ragam boleh. Hal ini dapat menghasilkan pelbagai istilah terkini. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Kebolehpercayaan (reliability) ujian itu diragui.

1b.  Kajian kebolehlaksanaan (feasibility) projek telah dijalankan.

1c.  Kebolehjangkitan (infectilibity) virus itu sedang dikaji.

1d.  Kebolehpalsuan (possibility of being forged) wang harus dielakkan.

1e.  Kebolehdapatan (availability) maklumat kajian memang penting.

1f.   Kebolehlarasan (adjustibility) mesin itu merupakan kelebihannya.

1g.  Kebolehpasaran (employability) siswazah amat penting.

Ada juga kata terbitan yang dihasilkan dengan kata dasar yang terdiri daripada frasa yang dianggotai oleh kata nafi tidak. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Mereka membantah ketidakadilan (injustice) yang berlaku.

2b.  Berlaku ketidakakuran (non-compilance) dalam pengurusan akaun

syarikat itu.

Imbuhan teR- juga digunakan untuk menghasikan pelbagai istilah. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Kita harus menggunakan air terawat (treated water).

3b.  Makanan terproses (processed food) kurang baik untuk kesihatan.

3c.  Mereka terkesan (impacted) oleh wabak COVID-19.

Untuk mengungkapkan pelbagai perkara yang baharu, ada kalanya istilah baharu dicipta dengan menggunakan proses penggandaan separa pada kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Berlaku pendarahan pada rerambut (capillaries) darahnya.

4b.  Jejari (spokes) roda itu berkarat.

5a.  Bebenang (threads) pada skru itu sudah haus.

5b.  Sesekat (valve) pada tayar kereta itu sudah rosak.

6a.  Pepijat (bugs) pada komputer harus kita hapuskan.

6b. Dua tetingkap (windows) kelihatan pada skrin komputernya.

7a.  Dia membeli papan kekunci (keyboard) yang baharu.

7b.  Dia meletakkan kameranya di atas kekuda (stand).

Dalam kelompok ayat 4, kata dasar diulang dengan bunyi vokal [a] pada suku kata pertamanya dilemahkan bunyinya untuk menjadi e pepet dalam gandaannya. Dalam kelompok ayat 5, vokal e pepet pada suku kata pertama kata dasar dikekalkan dalam gandaannya. Dalam kelompok ayat 6, bunyi vokal [i] pada suku kata pertama kata dasar berubah menjadi bunyi e pepet dalam gandaannya. Dalam kelompok ayat 7 pula, bunyi [i] pada suku kata pertama kata dasar berubah menjadi e pepet dalam gandaannya.

Penggunaan mekanisme kata ganda separa untuk menukarkan kata umum dalam penggunaan biasa kepada kata istilah khusus dalam bidang tertentu amat prolifik, dan contoh istilah sedemikian bertambah dari semasa ke semasa.

Satu lagi mekanisme untuk menghasilkan istilah ialah pembentukan akronim. Akronim merupakan rangkaian dua kata atau lebih yang mungkin telah dipenggal sebahagian kata dasarnya sebelum digabungkan untuk menjadi perkataan yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana akronim mempunyai vokal pembunyi yang membolehkannya disebut sebagai kata yang utuh. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Asbut (smog) menjejaskan kesihatan penduduk bandar.

8b.  Pemindahan debunga (pollens) membolehkan tumbuhan bertambah

banyak.

8c.  Tanah di tebing sungai itu terhakis (eroded).

8d.  Markah purata (average) ujiannya ialah 68.

8e.  Jentolak (bulldozer) digunakan untuk menarah bukit itu.

Dalam ayat 8a, kata asbut ialah cantuman penggalan kata asap dan kabut. Dalam ayat 8b, kata debunga terbit daripada kata debu dan bunga. Dalam ayat 8c, kata hakis terbit daripada kata dasar habis dan kikis. Dalam ayat 8d, kata purata terbit daripada kata dasar pukul dan rata. Dalam ayat 8e pula, kata jentolak terbit daripada kata dasar jentera dan tolak.

Ada juga kata atau istiah baharu yang terhasil daripada terjemahan konsep baharu yang dibawa masuk bersama budaya asing ke negara kita. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Dia melakukan fikir ujar (thinking aloud) untuk mencambahkan idea

baharu.

9b.  Tayar gerak kempis (run-flat tyre) itu masih berfungsi walaupun sudah

pancit.

9c.  Realiti maya (virtual reality) dan realiti tertambah (augmented reality)

merupakan perkembangan baharu.

9d.  Nama bintang filem itu diabadikan di Balai Kemasyhuran (Hall of Fame).

9e.  Kumpulan rentan (vulnerable groups) harus kita bantu.

Sesungguhnya istilah baharu yang dipinjam atau dipinjam terjemah daripada bahasa asing akan sentiasa bertambah dan terus membanjiri segala bidang ilmu pengkhususan. Hal ini menjadi ciri laras bahasa (register) yang tersendiri.

Perubahan bahasa pada peringkat kata memang amat rancak dan dinamik, berbanding dengan perubahan dalam bidang sintaksis. Walau bagaimanapun, gaya bahasa yang lama juga mengalami sedikit banyak perubahan jika timbul keperluan. Sebagai contoh, sekarang kita kurang menggunakan ayat yang berbelit-belit panjang dengan bentuk seperti pun…-lah dan kata pangkal ayat yang lama seperti syahadan, kalakian dan sebermula. Sebaliknya, kita hanya menggunakan ayat majmuk yang panjang dan kompleks untuk mengungkapkan ilmu yang tinggi atau menjelaskan konsep yang rumit.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!