Oleh Mohamad Shaidan
30 Disember 2021, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Telah berlaku momokan dalam masyarakat umum di Malaysia bahawa, “Harapkan pegar, pegar makan padi” merupakan peribahasa yang betul – bukannya, “Harapkan pagar, pagar makan padi.” Momokan daripada sejumlah orang yang berpendirian demikian kerana mereka beranggapan bahawa telah berlaku kesilapan dalam tulisan Jawi semasa menulis perkataan “pegar”. Yang sepatutnya ditulis ialah huruf (ي) yang mewakili huruf “e” bukannya huruf (ا) yang mewakili huruf “a” dalam tulisan Rumi. Maka, pada tanggapan mereka, kesilapan yang berlaku selama ratusan tahun dalam masyarakat Melayu tradisional hingga terbawa dalam masyarakat Melayu moden itu harus dibetulkan. Maka, mereka membetulkannya.

Lebih menarik lagi kerana ada juga yang berhujah bahawa “pagar” merupakan objek atau benda mati yang dibuat untuk membatasi kawasan rumah, kebun, sawah dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk menyatakan perenggan tanahnya, mengelakkan daripada haiwan peliharaan seperti lembu, kambing dan ayam memakan tumbuh-tumbuhan yang ditanam atau menghalang haiwan liar seperti babi daripada merosakkannya. Sebagai benda mati, maka pagar tidak boleh memakan padi. Yang boleh memakan padi ialah “pegar” (sejenis ayam atau burung dengan ciri fizikalnya memiliki ekor yang lebih panjang).

Kesilapan ejaan pada tulisan Jawi dan hujah yang berdasarkan logik bahasa dengan ertinya yang selapis itu sebagai alat komunikasi dalam urusan kehidupan sehari-hari telah berupaya mempengaruhi sejumlah orang untuk menerimanya sebagai munasabah. Justeru, sejumlah orang dalam masyarakat moden lebih yakin menyebut dan menulis, “Harapkan pegar, pegar makan padi” daripada menggunakan, “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Bertolak daripada keyakinan itulah mereka menyebarkan, “Harapkan pegar, pegar makan padi” kepada masyarakat. Dengan demikian, ada kemungkinan penyebarannya akan lebih meluas lagi pada masa hadapan.

Dengan melupakan seketika kemungkinan itu, kita melihat mereka yang menyebarkannya dalam sebutan dan dalam tulisan agak kurang akrab dengan perumpamaan dan peribahasa. Perkenalan mereka dengan kedua-duanya berlaku secara samar-samar – kurang memesrai, menghayati dan memahaminya. Dalam suasana perasaan dan fikiran itulah mereka menitikberatkan diksi, mahu menggunakan “pegar” bagi menggantikan “pagar” dengan alasan yang artifisial. Keghairahan ini membangunkan tembok penghalang dalam minda mereka daripada melihat sifat-sifat peribahasa sebagai susunan kata yang pendek dan kekal menjadi percakapan orang Melayu semenjak beberapa lama disebabkan oleh sedap dan bijak kata-katanya, luas dan benar tujuannya – menjadi sebut-sebutan sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Tergolong dalam sifat-sifat peribahasa yang dinyatakan itu ialah perumpamaan, bidalan, pepatah dan perbilangan dengan setiap satunya mempunyai sifatnya yang tersendiri  (Safian Hussain et.al, 1988: 247).

“Harapkan pagar-pagar makan padi” ialah peribahasa yang tergolong dalam jenis perumpamaan yang tidak menyebutkan kata pembandingnya. Perumpamaan lain dalam jenis ini termasuklah “Tidak lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia”, “Hilang kemarau setahun oleh hujan sehari”, “Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat”, “Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa”, “Ular berlingkar di gulungan tikar”, “Ada gula ada semut” dan “Mati semut kerana gula”.  Perumpamaan yang menyebutkan kata pembandingnya, iaitu “macam”, “ibarat” “seperti”, “umpama”, “bagai” dan “laksana” termasuklah “Macam anjing dengan kucing”, “Ibarat gunting makan di hujung”, “Seperti lebah, mulut membawa madu, ekor membawa sengat”, “Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri”, “Bagai anjing dengan bayang ” dan “Laksana bunga dedap, merah ada berbau tidak”.

Sama ada perumpamaan itu tidak menyebutkan kata pembandingnya mahupun menyebutkannya, semua perumpamaan terdiri daripada bahasa kiasan – sesuatu perkara dikiaskan kepada perkara lain dengan tujuan untuk memisalkan dan menerangkan maksud. Dengan ini, perumpamaan dalam susunan katanya yang pendek mengandungi makna dua lapis (Safian Hussain et.al, 1988: 250). Lapis pertamanya menyatakan sesuatu perkara secara zahir atau secara tersurat. Pada lapis ini, susunan katanya yang pendek mungkin kelihatan janggal, malah kehilangan makna. Pada lapis keduanya, maknanya berlainan daripada makna pada lapis yang pertama. Makna sebenar yang hendak disampaikan atau makna tersiratnya berada dalam lapisan ini. Dengan ini, perumpamaan yang tergolong sebagai peribahasa dan berasal daripada puisi lisan mempunyai persamaan dengan pernyataan Riffaterre (1978:1) bahawa puisi menyatakan sesuatu perkara dan memaksudkan perkara lain.

“Harapkan pagar, pagar makan padi” memiliki sifat yang dinyatakan itu. Susunan katanya yang pendek kelihatan janggal bunyinya, malah hampir tidak dapat diberi makna dalam pengertian yang selapis. Janggal kerana orang moden makin jauh daripada perumpamaan tradisional dan jauh daripada unsur-unsur bahasa puisi. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat menerima “pagar makan padi” sebagai pernyataan yang dapat diterima oleh akal yang rasional. Rasionalnya ialah “pegar makan padi”. Pertimbangan ini mengurangkan kesedaran mereka bahawa “pagar makan padi” merupakan kiasan yang bersifat personifikasi. “Pagar” sebagai objek mati telah diberi tindak tanduk atau perlakuan manusia. Maka, “pagar” dalam perumpamaan, “Harapkan pagar, pagar makan padi” merupakan kiasan kepada seseorang bagi menerangkan bahawa seseorang yang benar-benar dipercayai telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga sesuatu daripada dirosakkan oleh orang lain. Ironisnya kerana orang yang dipercayai dan dipertanggungjawabkan itulah yang merosakkannya.

Makna pada lapis kedua pada perumpamaan, “Harapkan pagar, pagar makan padi” itu dapat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu tindakan yang bersifat ironis – bertentangan antara harapan yang diberikan kepadanya dengan realiti yang diperlihatkannya. Makna bukan sahaja bersifat ironis tetapi dapat diperluaskan lagi dengan kebenarannya yang sentiasa relevan dalam sepanjang sejarah hidup manusia Melayu dan manusia secara umumnya. Maka, “Harapkan pagar, pagar makan padi”  bersifat universal – “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Susunan kata yang pendek dan padat pada perumpamaan, “Harapkan pagar, pagar makan padi” merupakan komposisi yang mempertimbangkan kedudukan kata yang dipilih, unsur bunyi yang menimbulkan keindahan sebagai dasar estetikanya dan maknanya. Komposisi ini mengisyaratkan bahawa perumpamaan ini terhasil daripada penelitian yang cermat dan tajam daripada orang yang bijaksana pada zaman tradisional. Alam sekeliling yang menjadi latar kehidupan mereka dengan flora dan faunanya dengan sifat dan tabiatnya sering juga dilihatnya mempunyai persamaan dengan sifat dan tabiat manusia. Oleh sebab itulah sifat dan tabiat flora dan fauna di Alam Melayu sering dijadikan perumpamaan atau kiasan. Tujuannya adalah untuk memberikan petua, nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama manusia (Abdullah Hussain, 1997: xi).

Siratan makna pada perumpamaan, “Harapkan pagar, pagar makan padi” dan makna pada perumpamaan lain juga tidak berubah – sejak perumpamaan dicipta dan makna disirat. Tidak berubah atau maknanya tekal pada sesuatu perumpamaan itu kerana masyarakat secara konvensinya telah bersepakat menerimanya. Dengan makna yang telah disepakati itu, perumpamaan turut menjadi alat komunikasi puitis dalam kalangan masyarakat. Sekiranya makna berubah-ubah, masyarakat akan menjadi keliru dan komunikasi tidak dapat berjalan lancar. Bermacam-macam perkara yang tidak diingini akan berlaku dalam kalangan masyarakat jika makna yang disepakati itu diubah, sekali gus mengeruhkan keharmonian hidup bermasyarakat.

Perumpamaan ialah peribahasa yang berteraskan perbandingan atau kiasan yang mengandungi dua lapis makna. Maka, bahasa yang bersifat perbandingan tetapi bererti selapis, tidak dapat dinamakan sebagai perumpamaan. “Seperti wajah Yus, wajah perempuan itu” merupakan perbandingan tetapi bukan kiasan. Kelas kata yang dibandingkan itu terdiri daripada kelas kata yang sama, iaitu manusia. Maknanya juga selapis kerana ertinya sebagaimana yang telah disuratkan.

“Harapkan pegar, pegar makan padi” merupakan momokan yang tidak menggambarkan pengungkapan daripada orang bijak pada zaman silam, tidak menjadi percakapan dan sebut-sebutan anggota masyarakat sebagai bandingan untuk tujuan teladan dan pengajaran. Mana mungkin mereka yang arif tentang ternakan yang memakan padi  akan mengharapkan ayam menjaga padi. Sudah tentu ayam akan memakan padi kerana padi memang makanannya. Demikian juga mana mungkin orang yang dikenal pasti sifat dan tabiat buruknya yang suka merosakkan sesuatu akan diberikan kepercayaan dan tanggungjawab supaya menjaga sesuatu itu agar tidak rosak. Tentu sahaja orang itu akan merosakkannya. Oleh itu, tidak terdapat nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib, tatasusila dalam pergaulan dan hubungan sesama manusia pada “Harapkan pegar,pegar makan padi”.

Sesiapa sahaja bebas untuk mengangkat “pegar” bukannya “pagar” dengan alasan kesilapan ejaan huruf berlaku dalam tulisan Jawi. Orang boleh terus berhujah bahawa pagar tidak dapat memakan padi. Yang dapat memakan padi ialah “pegar”. Namun begitu, sekiranya seseorang itu hendak membicarakan “Harapkan pegar, pegar makan padi” sebagai perumpamaan atau peribahasa, maka sifat khas perumpamaan dan sifat umum pada peribahasa  harus dibicarakan terlebih dahulu dan menemukan cirinya pada “Harapkan pegar, pegar makan padi.” Menggolongkannya sebagai perumpamaan secara khususnya dan peribahasa secara umumnya dengan dua hujah tersebut bukan sahaja menafikan kegeniusan masyarakat Melayu tradisional, tetapi memancarkan gambaran sebaliknya tentang penegak “Harapkan pegar, pegar makan padi”.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi