14 Januari 2022, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur Bahasa Melayu kini dikatakan turut bergelut untuk kekal lestari dan iklim bahasa tersebut dilihat sama seperti bencana alam yang melanda negara pada hari ini. Adakah iklim bahasa kini diselubungi oleh mendung seolah-olah tidak menemukan sinar? Apakah kita bergelut untuk mempertahankan bahasa kebangsaan? Semua persoalan tersebut dirungkaikan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diundang khas dalam program Ruang Bicara yang berjudul “Iklim Bahasa − Mendung atau Masih Ada Sinar?”. Program yang bersiaran secara langsung menerusi Bernama TV pada pukul 9.00 malam tadi dikendalikan oleh juruhebah, Ziana Nasir.

Menurut Datuk Abang Sallehuddin, sejarah perjuangan bahasa kita melalui perjalanan yang panjang, ibarat iklim yang sentiasa berubah. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, iaitu sebelum bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan negara, pelbagai perjuangan dan halangan dilalui oleh masyarakat untuk memartabatkan bahasa Melayu. Para pejuang bahasa terdahulu sudah melihat betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara bangsa.

Tambah beliau lagi, DBP sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang cabaran untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Yang lebih membanggakan, DBP sentiasa mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia ke arah memartabatkan bahasa Melayu.

 

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP ketika bersiaran secara langsung.

Tambah Datuk Abang Sallehuddin, DBP telah mencapai kejayaan yang membanggakan apabila kini sistem ejaan sudah mantap, istilah dalam bahasa Melayu sudah banyak diadakan, buku khazanah ilmu dalam bahasa Melayu sudah banyak diterbitkan, begitu juga dengan sistem pendidikan di negara ini telah melahirkan banyak cendekiawan dan bijak pandai. Beliau juga berharap agar para bijak pandai ini dapat membantu DBP dalam usaha memandaikan bangsa Malaysia menggunakan bahasa Melayu. DBP berperanan untuk menyediakan pelbagai bahan bacaan ilmu untuk membantu melahirkan masyarakat yang pandai dan berilmu, iaitu antara tujuan dan matlamat penubuhan DBP itu sendiri.

Pihak media juga berperanan sebagai satu wadah penyampaian maklumat kepada masyarakat sejak dahulu lagi dilihat mampu mempengaruhi iklim bahasa kebangsaan. Hal ini dibuktikan apabila pihak media seperti BERNAMA sentiasa memberikan ruang dan dukungan untuk semua masyarakat memberikan pandangan, mengadakan kempen mencintai bahasa dan tidak ketinggalan juga dilihat sentiasa mengutamakan bahasa Melayu dalam penyampaian dan hebahan maklumat kepada masyarakat. Hal ini sebenarnya banyak membantu DBP dalam usaha untuk mengembangkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pada masa yang sama, Datuk Abang Sallehuddin turut menegaskan bahawa bencana bahasa seperti isu kerancuan bahasa yang terjadi dalam masyarakat pada hari ini berlaku disebabkan masyarakat tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik dan juga tidak menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris dengan baik. Akhirnya, untuk menyampaikan buah fikiran, maka masyarakat menggunakan pelbagai campuran bahasa yang menyebabkan berlakunya kerancuan bahasa.

Sekiranya penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul menjadi amalan masyarakat, maka akan rosaklah keindahan bahasa Melayu. Situasi penggunaan bahasa rasmi dan tidak rasmi mestilah jelas supaya generasi muda boleh berinteraksi menggunakan bahasa yang betul mengikut situasi. Keutamaan penggunaan bahasa rasmi ialah dalam situasi formal seperti di parlimen, urusan surat-menyurat dan dokumen rasmi.

Datuk Abang Sallehuddin turut menyatakan bahawa rakyat digalakkan menguasai pelbagai bahasa tetapi keutamaan dan penekanannya mestilah kepada bahasa kebangsaan. Beliau turut menambah, janganlah ada dalam kalangan masyarakat yang meminggirkan bahasa Melayu kerana terlalu ghairah untuk mempelajari bahasa asing. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.