Oleh Mazlina Ahmad
18 Januari 2022, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terengganu − Untuk mengenali sesebuah negara, kita tidak dapat lari daripada mengenali dan mempelajari bahasa tempatan masyarakat tersebut. Bahasa Melayu umpamanya sebagai satu kursus bahasa yang ditawarkan di institusi luar negara seperti di Belanda, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, dan China, telah diterima baik sebagai satu bahasa ilmu yang dipelajari dan diselidiki. Pada hari ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing semakin berkembang di seluruh dunia. Keperluan untuk menguasai bahasa asing menyebabkan banyak universiti menawarkan kursus bahasa asing.

Di Jepun, terdapat sembilan buah universiti yang menawarkan Kursus Bahasa Melayu. Perkembangan positif ini memberikan satu petanda bahawa bahasa Melayu kini menjadi bahasa ilmu dan dikaji secara ilmiah oleh penyelidik dari luar negara. Sehingga kini, lebih 300 juta penduduk dunia bertutur dalam bahasa Melayu. Berpandukan faktor geopolitik, ekonomi, potensi, serta pelbagai faktor penyokong yang lain, sudah tiba masanya bahasa Melayu terus diperkasakan ke peringkat yang tertinggi, khususnya sebagai medium untuk melahirkan generasi yang berfikiran tinggi dalam ilmu penyelidikan bahasa.

Perkembangan pengajian bahasa Melayu di persada antarabangsa yang amat memberangsangkan ini sewajarnya dimanfaatkan oleh ahli akademik dan para penyelidik kerana mereka ialah golongan sarjana yang mempunyai tugas dan tanggungjawab utama untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi menerusi kerjasama penyelidikan dan penerbitan ilmiah.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dalam ucapan alu-aluannya menerusi Syarahan Darul Iman Siri 3, universiti merupakan sektor yang paling ampuh untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana institusi tersebut merupakan contoh terbaik yang mengumpulkan pelbagai kaum, agama dan budaya dalam perjuangan menuntut ilmu pengetahuan dalam pelbagai jurusan.

Selain itu, universiti juga selaku gedung ilmu perlu menghargai peranan besar bahasa Melayu dalam memberikan nilai ilmu kepada masyarakat dunia. Justeru, UMT sentiasa mendorong pelajar antarabangsa untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Hal ini sekali gus dapat membantu Malaysia dalam meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. Secara tidak langsung, hal tersebut menarik minat pelajar asing untuk mendekati budaya di Malaysia.

Sementara itu, menurut Prof. Madya Dr. Hiroki Nomoto pula, masa depan bahasa Melayu di Jepun dilihat masih berpotensi untuk berada dalam kelas yang tersendiri, iaitu konsisten untuk diterima dan dipelajari oleh pelajar Jepun walaupun jumlah pelajar yang mengambil bahasa Melayu di TUFS tidak begitu ramai.

Usaha yang berterusan dalam aspek kerjasama dan sokongan daripada institusi pendidikan tinggi di Malaysia amat diperlukan bagi mengembangkan bahasa Melayu di persada dunia.

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia, bahasa Melayu tidak boleh dilihat sebagai hak milik sesuatu kaum sahaja tetapi berkongsi rasa kebertanggungjawaban untuk memasyarakatkan bahasa Melayu. “Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.” Warga Malaysia perlu bertanggungjawab untuk bahasa dan bangsa dengan mengembangkan bahasa Melayu dalam ranah ilmiah di persada antarabangsa.

Demikianlah antara perbincangan menarik daripada pembicara jemputan, iaitu Prof. Madya Dr. Hiroki Nomoto dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), dalam program Syarahan Darul Iman 3, anjuran Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), UMT, dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, yang bertajuk “Bahasa Melayu dari Jendela Matahari Terbit” dan disiarkan secara langsung melalui Webex dan FB PPAL pada pukul 10.00 pagi tadi.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!