Oleh E Pian Pro Poul
20 Januari 2022, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani − Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah Darul Aman (MPSPK), menganjurkan dengan jayanya Program Bimbingan Pemantapan Tatabahasa dan Penulisan Dokumen Rasmi untuk kakitangan MPSPK. Program ini bertujuan untuk menyegarkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan MPSPK, yang secara langsung terlibat dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, yakni kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.

Selain itu, pelaksanaan program ini juga adalah untuk mempertajam kebolehan berbahasa kakitangan MPSPK dalam penulisan dokumen rasmi bahasa Melayu. Program bimbingan pada kali ini menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd. Januri Aiyub dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), Sungai Petani, Kedah, sebagai pembimbing.

Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Mohd. Januri Aiyub.

Sementara itu, Puan Norazuwa Pissal, Ketua Bahagian Sumber Manusia, MPSPK, menegaskan bahawa amatlah penting bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan  digunakan dengan baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi agensi kerajaan seperti MPSPK. Beliau sendiri amat menggalakkan kakitangannya menulis dokumen rasmi dengan menggunakan istilah bahasa Melayu yang betul walaupun istilah tersebut merupakan istilah dalam bidang teknikal.

Sehubungan dengan itu juga, menurut Encik Mohd. Januri, pelaksanaan program bimbingan seperti ini seharusnya diadakan dari semasa ke semasa supaya dapat mengingatkan mereka yang lupa dan menyedarkan mereka yang leka bahawa bahasa kebangsaan itu hak kita bersama dan perlu dijaga serta diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Semua orang perlu ada perasaan cinta dan sayang akan bahasa kebangsaan.

Usaha untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi dan papan tanda di PBT seluruh negara bukan terletak di bahu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata. Tugas ini perlu digalas dan dipikul oleh semua pihak, termasuklah kesungguhan pihak PBT sementelah kuasa penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa PBT. Sekiranya kita waswas tentang penggunaan sesuatu kata atau istilah, rujuklah kamus dalam talian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), DBP yang berada di hujung jari.

Para peserta termasuk kakitangan daripada cawangan MPSPK tekun mengikuti program yang berlangsung.

Program yang diadakan selama dua hari, iaitu pada 19 Januari 2022 dan 20 Januari 2022 di Dewan Bankuet, Aras 6, Wisma MPSPK ini disertai oleh 110 orang peserta, termasuklah kakitangan daripada cawangan MPSPK. Selain itu, Puan Roshasliza Sulaiman dari Unit Bahasa, DBPWU, turut memberikan taklimat tentang PRPM kepada para peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.