Oleh Azizi Ahmad
20 Januari 2022, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adalah terlalu awal bagi Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, untuk menyatakan bahawa COVID-19 kini menjadi endemik di Malaysia pada akhir Oktober 2021 ketika angka kematian kes COVID-19 masih tinggi walaupun pada kadar vaksinasi yang tinggi. (Lim Kit Siang, 11 September 2021).

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin juga mengatakan bahawa “semua pihak harus memainkan peranan bersama dengan menjadikan praktik mematuhi SOP normal, apalagi ketika wabak COVID-19 diumumkan sebagai endemik kemudiannya”. (BERNAMA, 05/09/2021)

Sekiranya anda mengingati kisah penularan wabak SARS pada awal tahun 2000-an atau sedang membuat persiapan menentang virus COVID-19 sekarang, maka anda pasti pernah mendengar tentang perkataan epidemik dan pandemik. Dengan setiap penularan wabak biologi (outbreak, iaitu peningkatan mendadak dalam kejadian penyakit atau keadaan perubatan di tempat atau populasi tertentu/penularan), kita menemui kata-kata ini digunakan lebih kerap dan sering tidak tepat.

Mengapakah kita mudah terkeliru dengan istilah-istilah ini? Kedua-dua perkataan itu mengandungi sisipan kata “-demik” dan digunakan untuk penularan atau letusan wabak penyakit tetapi tidak sama. Kesamaan ini menyebabkan banyak orang menggunakan kedua-dua perkataan tersebut secara bergantian atau secara tidak betul. Walau bagaimanapun, perbezaan utamanya adalah mengenai skala.

Oleh itu, ayuh terokai kedua-dua perkataan itu. Untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut mengenai pengistilahan koronavirus, seseorang itu bolehlah merujuk glosari bagi semua perkara tentang COVID-19 di https://covid-19.moh.gov.my/.

Contohnya, terdapat penjelasan mengenai alat untuk membantu pernafasan seseorang (respirator) dan alat untuk menyegarkan udara (ventilator), kuarantin (quarantine) dan pengasingan (isolation).

Untuk maklumat kecemasan kesihatan, keselamatan, dan perubatan atau kemas kini mengenai wabak koronavirus, silalah kunjungi Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).

Apakah Epidemik?

Epidemik ialah penyakit yang “menyerang kebanyakan orang pada masa yang sama dan merebak daripada seorang kepada seorang lain di kawasan di mana penyakit ini tidak menular secara kekal.” Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa wabak itu berlaku di peringkat wilayah atau komuniti.

Menurut Kamus Dewan, epidemik bermakna keadaan sesuatu penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama ataupun wabak.

Epidemik biasanya digunakan sebagai kata nama, yang bermaksud “penyebaran penyakit sementara”. Contohnya, “Bandar ini dapat menghentikan wabak selesema sebelum merebak ke seluruh negeri”.

Secara metaforanya, epidemik ialah “penyebaran cepat atau peningkatan dalam kejadian sesuatu”, biasanya dengan konotasi negatif atau humor. Epidemik gentrifikasi mempengaruhi masyarakat berpendapatan rendah atau penampilan hipster yang memberikan jalan kepada wabak fesyen 1990-an.

Kata “-demik” untuk epidemik dan pandemik berasal daripada perkataan dêmos (Yunani), yang bermaksud “orang-orang dari suatu daerah”. Orang Inggeris telah menguna pakai perkataan “demos” itu untuk perkataan “demokrasi”.

Apakah Pandemik?

Penyakit pandemik pula ialah wabak yang telah tersebar di wilayah yang luas, iaitu lazim di seluruh negara, benua atau seluruh dunia. Pandemik juga digunakan sebagai kata nama, yang bermaksud “penyakit pandemik”. WHO secara lebih khusus mendefinisikan pandemik sebagai “penyebaran penyakit baharu di seluruh dunia”.

Pada 11 Mac 2020, WHO secara rasminya menyatakan bahawa wabak COVID-19 sebagai wabak akibat penyebaran dan keparahan penyakit global. Walaupun pandemik dapat digunakan untuk penyakit yang telah tersebar ke seluruh negara atau daratan besar lainnya, kata ini umumnya ditujukan untuk penyakit yang telah tersebar di seluruh benua atau seluruh dunia. Contohnya, “Setelah mendokumentasikan kes di semua benua kecuali di Antartika, para saintis menyatakan bahawa penyakit ini sebagai wabak pandemik”.

Sebagai kata sifat atau adjektif, pandemik juga dapat bererti “umum” dan “universal atau menyeluruh” juga sering dengan konotasi negatif. Namun begitu, pandemik tampaknya yang paling sering digunakan dalam konteks epidemiologi, yang berkaitan dengan penyakit berjangkit.

Pandemik juga diserap ke dalam bahasa Inggeris melalui bahasa Latin, iaitu pada tahun 1600-an. Seperti epidemik, pandemik juga berasal daripada perkataan pándēmos (Yunani), “awam atau umum.” Seperti epidemik, pandemik pada asalnya digunakan untuk penyakit apabila orang Inggeris menggunakannya dalam bahasa mereka.

Apakah Endemik?

Endemik ialah kata sifat (adjektif) yang bermaksud “semula jadi, berasal dari, terbatas, atau tersebar luas di tempat atau populasi manusia”. Endemik mungkin yang paling sering digunakan untuk menggambarkan penyakit yang lazim di atau terbatas pada lokasi, wilayah atau populasi tertentu.

Contohnya, penyakit malaria dikatakan sebagai endemik di kawasan tropika. Dalam konteks ini, endemik juga dapat digunakan sebagai kata nama. Penyakit endemik boleh disebut sebagai endemik.

Apabila digunakan untuk menggambarkan spesies tumbuhan atau haiwan yang hanya terdapat di tempat tertentu, endemik memiliki erti yang sama dengan maksud asli atau peribumi. Hal yang sama juga dapat diterapkan pada ciri manusia, tempat, atau situasi. Contohnya,”Korupsi rasuah adalah endemik dalam organisasi itu ketika saya bekerja di sana”.

Rekod pertama endemik dalam bahasa Inggeris berasal dari pertengahan tahun 1600-an, yang berasal daripada bahasa Yunani éndēm (os). Awalan “en” bermaksud “masuk atau dalam” dan berakar daripada bahasa Yunani dēm (os) yang bermaksud “orang”. Oleh itu, makna asas endemik ialah “dalam orang tertentu” (atau “dalam kawasan tertentu”).

Bagaimanakah cara untuk menggunakan istilah epidemik, pandemik dan endemik?

Memang mudah untuk kita menjadi keliru lagi mengelirukan mengenai perkataan tersebut. Pertama, perkataan itu mempunyai ciri “-demik”, yang menjadikannya sukar untuk mengeluarkan perkataan mana yang harus digunakan dan dalam situasi yang mana satu.

Namun begitu, inilah peraturan praktikal yang berguna untuk menggunakan awalan dua perkataan ini, iaitu “epi-” dan “pan-“. Awalan “epi-” ialah daripada bahasa Yunani dan bermaksud “apabila, atas, dekat, pada,” sementara “pan-” juga awalan Yunani, yang bermaksud “semua”.

Mengetahui akan hal ini, cuba fikirkan tentang epidemik sebagai permulaan sesuatu, iaitu sama ada penyakit atau kecenderungan yang merebak dengan cepat di dalam komuniti atau wilayah, sedangkan pandemik ialah penyakit yang menjadi wabak apabila menjangkau lebih banyak orang, terutama di seluruh benua atau seluruh dunia.

Sekiranya sesuatu itu merebak seperti api, perkara itu ialah epidemik. Sekiranya sesuatu telah merebak seperti api liar dan pada saat ini secara besar-besaran dalam jangkauan dan kesannya itu ialah pandemik.

Sekiranya jangkauannya di seluruh dunia, maka pandemik dapat menyebabkan penyakit menjadi endemik (sebagai tentangan daripada sebahagian besarnya dibendung atau dibasmi melalui penggunaan vaksin, misalnya). Untuk memudahkan lagi pemahaman, yang berikut ialah contoh lain dalam ayat, iaitu “Semua sekolah di bandar ini terpaksa ditutup untuk mengelak penularan epidemik campak”.

Walaupun tidak diketahui dengan tepat di mana penyakit ini pertama kali muncul, pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 dianggarkan telah menjangkiti sepertiga manusia di seluruh dunia. Polio ialah endemik di beberapa buah negara yang mana penyebarannya belum dapat dibendung.

Apakah perbezaan epidemik, pandemik, dan penularan?

Orang ramai bukan sahaja menyebut COVID-19 sebagai endemik dan pandemik tetapi mereka juga menyebutnya sebagai wabak penularan. Wabak penularan merupakan “penularan atau kejadian tiba-tiba” atau “letusan.” Ketika merujuk penyakit yang menular, wabak penularan secara khusus ialah peningkatan kes secara tiba-tiba, terutama ketika penyakit itu hanya atau sejauh ini mempengaruhi kawasan yang agak lokal.

Hal ini menjadikan wabak penularan penyakit hampir sama dengan epidemik. Dalam pertuturan dan penulisan seharian, secara umumnya orang ramai dapat merujuk  penyebaran utama penyakit berjangkit sebagai wabak penularan untuk wabak koronavirus. Akan tetapi, dalam komunikasi rasmi, perubatan dan ilmiah, adalah penting untuk tidak mengelirukan epidemik tempatan (seperti penyakit yang hanya menyerang bandar) dengan pandemik kerana hal ini menunjukkan bahawa wabaknya merebak ke seluruh dunia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!