24 Januari 2022, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sama ada sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan atau bahasa negara, ketiga-tiga konsep yang diwakili oleh bahasa Melayu itu menunjukkan kesatuan yang bermatlamatkan kecintaan dan semangat nasionalisme yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Apatah lagi bahasa Melayu telah dijamin kedudukannya seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan dengan itu, setiap ahli Keluarga Malaysia perlu memahami dan menghayati maksud nasionalisme yang telah diperuntukkan melalui undang-undang tersebut.

Demikian harapan yang disuarakan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri pagi tadi. Beliau berkata demikian dalam usaha DBP menyemarakkan lagi promosi memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi topik perbincangan, iaitu “Bahasa Melayu Bahasa Negara”.

Tambahnya lagi, seluruh ahli Keluarga Malaysia diseru agar membina serta memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu dalam menjanakan impak dalam pelbagai sektor termasuklah dalam bidang ilmu dan ekonomi.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika bersiaran secara langsung pada pukul 8.00 pagi tadi.

Kerajaan melalui DBP akan terus mendinamikkan perkhidmatan dan penyampaian bagi memastikan bahasa Melayu terus berperanan dalam menyatukan seluruh Keluarga Malaysia. Selain itu, sifat menghormati serta bangga akan bahasa dan budaya kebangsaan juga perlulah ada dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia agar usaha mendaulatkan bahasa ini akan dapat direalisasikan.

Beliau juga menegaskan bahawa institusi Parlimen juga telah diberikan perhatian oleh DBP. Desakan rakyat yang semakin bimbang akan penggunaan bahasa yang kurang santun dan bahasa yang tidak tersusun yang berlaku dalam sidang dewan perlu diperbaiki dengan segera dan dengan cara ini pemimpin akan lebih dihormati dan diyakini. Kesedaran dalam kalangan para pemimpin juga penting agar pemupukan semangat dan cinta akan negara dalam kalangan rakyat dapat dilaksanakan.

Katanya lagi, DBP sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan menerbitkan pelbagai bahan sumber mengenai bahasa termasuklah seperti buku tatabahasa, kamus, istilah dan pelbagai lagi. Oleh itu, para pengguna mestilah menyedari akan hal ini dan menggunakan dengan sebaik-baiknya bahan yang telah dihasilkan dan diterbitkan dalam pelbagai medium oleh DBP. Sehubungan dengan itu, menjadi tanggungjawab kepada seluruh Keluarga Malaysia agar segala usaha yang dilakukan oleh DBP dapat mencapai matlamatnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.