25 Januari 2022, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) merupakan portal yang telah dibina oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menepati kehendak pasaran bahasa yang memerlukan kamus serta istilah dalam bentuk digital kepada pengguna. PRPM ialah enjin carian bahasa terunggul negara dan bertaraf dunia yang mengandungi kamus, istilah, ensiklopedia, bahasa sukuan, puisi dan lain-lain untuk pengguna internet membuat rujukan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Enjin carian ini membolehkan pengguna mencari maklumat secara holistik yang merentasi semua pangkalan data DBP.

Kewujudan portal ini perlu disedari dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pengguna di seluruh negara agar penggunaan bahasa Melayu yang tepat menurut piawaian yang ditetapkan dapat direalisasikan. Penggunaan bahasa yang tidak santun, kasar dan sebagainya tidak akan wujud sekiranya pengguna bersungguh-sungguh dalam memupuk rasa cinta dan bertanggungjawab terhadap bahasa kebangsaan negara. Segala kemudahan yang berkaitan dengan capaian sumber mengenai bahasa telah pun dijayakan oleh DBP dan menjadi tanggungjawab rakyat pula untuk bersama-sama melestarikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan berkesan.

Demikianlah antara inti pati menarik yang dikongsi oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, menerusi tajuk “Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita” dalam slot Jendela Fikir. Program ini bersiaran secara langsung dari studio BERNAMA RADIO pada pagi tadi.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar semua pihak terus memberikan sokongan kepada DBP dan bahasa Melayu khasnya dengan memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh DBP ini. Dengan cara ini, pada masa akan datang bahasa Melayu yang menjadi bahasa perpaduan akan dapat menjadi bahasa Melayu tinggi apabila digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang ilmu. Penggubalan istilah oleh DBP juga berupaya memenuhi keperluan pelbagai bidang ilmu.

Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

Katanya lagi, DBP telah melantik banyak pakar bidang tertentu bagi menggubal istilah tertentu dalam bidang ilmu berdasarkan kepakaran mereka. Sesi mesyuarat, perbincangan, perbengkelan serta pengesahan istilah yang digubal turut diselaraskan oleh Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, sebelum diputuskan satu-satu istilah tersebut untuk digunakan oleh pengguna.

PRPM merupakan portal yang telah dibina oleh DBP bagi menepati kehendak pasaran bahasa yang memerlukan kamus serta istilah dalam bentuk digital yang dapat diakses oleh pengguna. Sejak dibina, PRPM yang merupakan enjin carian bahasa terunggul negara dan bertaraf dunia ini mengandungi kamus, istilah, ensiklopedia, bahasa sukuan, puisi dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Enjin carian ini membolehkan pengguna mencari maklumat secara holistik yang merentasi semua pangkalan data DBP.

Penggubalan istilah pelbagai bidang ilmu sentiasa berlangsung di DBP kerana keperluan yang pesat dalam bidang ini. Namun begitu, segala usaha DBP ini tidak akan dapat memberikan impak yang bagus sekiranya masih ada banyak pihak yang tidak mengetahui mengenainya dan cara merujuknya dengan betul. Dengan adanya PRPM, kini semua kerja menghasilkan penulisan serta penyelidikan menjadi lebih pantas dan mudah.

Begitu juga halnya dengan korpus DBP. Melalui korpus DBP, pengguna turut dapat merujuk himpunan makalah dan sebagainya mengenai sesuatu isu atau kumpulan bahan untuk kajian. Kedua-dua contoh portal ini boleh dilayari oleh pengguna melalui prpm.dbp.gov.my dan http://sbmb.dbp.gov.my/korpusdbp.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.