27 Januari 2022, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pengasuhan digital (digital parenting) berupaya membantu ibu bapa dalam mendidik anak-anak pada hari ini khasnya melalui psikologi bahasa pada era teknologi yang semakin kompleks dan mencabar. Psikologi bahasa merupakan satu daripada elemen terpenting dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang benar-benar memahami dan menjadi tunjang aspirasi kerajaan khususnya daripada kesan pandemik COVID-19.

“Penggunaan alat peranti sememangnya digalakkan dan cara pengasuhan digital oleh Keluarga Malaysia dapat memberikan impak yang lebih berkesan kepada komunikasi, gaya berbahasa, adab sopan, keperluan maklumat dan sebagainya.”

Demikian antara pengisian menarik yang dikongsi oleh Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pengarah Hal Ehwal Bahagian Korporat, Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan), Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Beliau berkata demikian menerusi BERNAMA Radio, yang dikendalikan oleh penyampai, Shuhadah Armawan dan penerbit, Irfan Faruqi, yang memfokuskan tentang “Psikologi Bahasa Anak-anak Malaysia”.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ketika bersiaran secara langsung.

Anak-anak dalam Keluarga Malaysia ialah generasi muda yang mudah terdedah pada kepesatan komunikasi secara terbuka sehingga meminggirkan adab sopan serta tatasusila yang telah diajar dan diwarisi oleh generasi sebelumnya. Oleh itu, mereka mestilah sentiasa dipantau kerana sering dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya termasuklah latar geografi, gaya tersendiri, penggunaan istilah serta laras bahasa yang menambahkan kerencaman hal ini yang turut memberikan kesan pro dan kontra kepada mereka dan juga seluruh Keluarga Malaysia khususnya dalam komunikasi demokratik.

Menurut beliau, psikologi bahasa mengkhususkan pemikiran seseorang atau kelompok manusia yang menghasilkan bahasa daripada komunikasi. Pada hari ini, komunikasi melalui media sosial menjadi medan utama bagi generasi muda mengekspresikan diri serta pemikiran mereka. Ada segelintir daripada mereka yang tidak mempedulikan adab sopan khususnya dalam berbahasa dan hal ini perlu diberikan perhatian oleh Keluarga Malaysia.

Tambahnya lagi, keterbukaan dalam berkomunikasi boleh menyumbang kepada jaringan maklumat palsu dan isu yang berunsurkan fitnah. Sekiranya perkara ini tidak dikawal boleh mengakibatkan kesan yang lebih buruk, iaitu menjejaskan perpaduan negara yang telah terbina.

Pendedahan amalan membaca dalam kalangan anak-anak Keluarga Malaysia juga antara faktor yang dilihat boleh membantu perkembangan komunikasi dan kesantunan berbahasa mereka sama ada melalui bahan bacaan di internet ataupun bahan bacaan bercetak. Kesemua ini boleh mempengaruhi bahasa mereka. Contohnya, bahan bacaan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seperti majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa boleh membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berbahasa golongan muda ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!