Oleh Kho Thong Eng
27 Januari 2022, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penguasaan kosa kata sesuatu bahasa mendatangkan banyak manfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya penguasaan kosa kata yang mantap, seseorang akan dapat memahami maklumat yang diujarkan atau yang dibaca dan menyampaikan maksudnya dengan jelas. Dalam hal ini, jika dia turut menguasai tatabahasa, dia akan dapat mencapai tahap penguasaan bahasa yang tinggi.

Bagi seseorang calon peperiksaan, penguasaan kosa kata yang luas dan bervariasi membolehkannya menjawab soalan peperiksaan dan menghasilkan karangan yang berkualiti. Selain itu, penguasaan kosa kata yang luas akan membolehkan seseorang murid mengenal sastera dan budaya Melayu di luar ruang lingkup bilik darjah dan sukatan pelajaran Bahasa Melayu. Dengan hal sedemikian, barulah murid tersebut dapat dikatakan sebagai pengguna bahasa Melayu yang cekap dan hebat.

Disebabkan hal sedemikian, guru bahasa Melayu perlu membantu para murid memperkasakan pengetahuan kosa katanya sedikit demi sedikit. Hal ini dikatakan demikian kerana usaha untuk menghafal semua kata yang sukar dan berguna sekali gus mungkin terlalu sukar sehingga hal sedemikian mungkin mematikan semangat murid untuk terus berusaha. Oleh hal yang demikian, pemantapan kosa kata eloklah dilakukan secara ansur maju secara konsisten sepanjang tempoh persekolahan seseorang murid.

Satu cara untuk menambah kosa kata murid adalah melalui permainan singkat dalam aktiviti pengajaran−pembelajaran (pemudahcaraan) harian. Meskipun masa yang terluang sekadar beberapa minit, guru masih dapat menyelitkan satu dua permainan kosa kata untuk meningkatkan dan mengukuhkan ingatan para murid.

Permainan pertama berkaitan dengan proses penggantian. Dal hal ini, guru boleh menggantikan huruf atau imbuhan dalam kata atau kata dalam frasa, dan kemudiannya meminta murid menjelaskan maksudnya. Sekiranya tiada jawapan yang tepat, guru boleh memberikan maksud kata dan contoh ayat untuk memantapkan pemahaman para murid. Sila lihat contoh yang berikut:

Jenis Subjenis Kata Asal Contoh Gantian
Huruf Konsonan awal liat siat, niat, giat
seram peram, jeram, geram
Konsonan tengah jelawat jerawat
menggulung menggunung
Vokal mengindahkan mengendahkan
melancong melancung
cocok cucuk
tempoh tempuh
Imbuhan Awalan mengaji mengkaji, menggaji
berjual menjual
melanggar terlanggar
Apitan perpisahan pemisahan
perlakuan kelakuan
pedalaman pendalaman
menghadiahi menghadiahkan
Frasa kata warga kota warga emas
ibu kota ibu pertiwi

Permainan seterusnya melibatkan kata nama dengan penjodoh bilangan. Dalam hal ini, guru boleh mengemukakan penjodoh bilangan dan meminta murid memberikan kata nama yang berpadanan, atau sebaliknya. Sebagai contoh, gandingan penjodoh bilangan dengan kata nama adalah seperti yang berikut:

Bil. Penjodoh Bilangan Kata Nama
1. pucuk pistol, surat
2. tongkol jagung
3. kaki payung, cendawan
4. papan petai, mercun

Bagi kata ganda pula, guru boleh mencuba pelbagai pendekatan. Bagi kata ganda berentak, guru boleh menyatakan kata dasar dan meminta murid memberikan gandingannya. Seterusnya, murid boleh diajak berbincang tentang maksud kata ganda berentak yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:

Bil. Dasar Gandaan
1. porak- -peranda
2. compang- -camping
3. kucar- -kacir
4. lintang- -pukang

Bagi kata ganda lain, guru boleh memberikan kata gandanya, kemudiannya meminta murid menyatakan maksudnya dan seterusnya membina ayat dengannya. Contoh kata ganda tersebut adalah seperti yang berikut:

riang-riang api-api kuda-kuda siapa-siapa
siang-siang bangun-bangun kalau-kalau tiba-tiba

Guru boleh juga menyatakan kata umum (kata hipernim atau superordinat) dan meminta murid menyatakan kata khusus (hiponim) yang berkaitan. Sila lihat contoh yang berikut:

 

Kata umum:    memotong

Kata khusus:   menebas, menebang, mengerat, memangkas, mengelar, menakik, membelah, menghiris, melapah, mencencang,  memarang, menetak

 

Kata umum:   memasak

Kata khusus: menanak, menjerang, memais, memanggang, membakar, merebus, menumis, menggoreng, menggoreng kilas, mengukus, menyalai, menstu, merendidih

 

Kata umum:   membawa

Kata khusus: mendukung, memikul, mengandar, menjinjing, membimbit, menggendong, mengendong, mengelek, menjunjung

 

Kata umum:  bunga

Kata khusus: seri pagi, bunga raya, kekwa, teratai, kenanga, mawar, bunga kertas, cempaka, melur, orkid

 

Kata umum:  hidupan akuatik

Kata khusus: ubur-ubur, kerapu, udang gara, kuda laut, ketam bunga, belangkas, belacak, temakul, buaya, belanak, temenung, pisang-pisang, cencaru

 

Guru boleh juga meminta murid menyatakan maksud kumpulan kata yang bentuknya hampir serupa. Sila lihat contoh yang berikut:

menempa – menempah

bangsa – bangsal

peka – leka

guruh – gemuruh

resmi – rasmi

seluruh – seloroh

intensif – insentif – inisiatif

eksklusif – eksekutif

integriti – integrasi

inspirasi – aspirasi

efisien – efektif

kritis – kreatif

telus – tulus

 

Guru boleh menyatakan sesuatu akronim dan meminta murid-murid menyatakan kata yang dipendekkan dan dicantum untuk menghasilkannya. Sila lihat contoh yang berikut:

hakis               – habis + kikis

pawagam       – panggung + wayang + gambar

kugiran           – kumpulan + gitar + rancak

purata             – pukul + rata

tekal                – tetap + kekal

berdikari         – berdiri + di + atas + kaki + sendiri

asbut              – asap + kabut

 

Untuk menguji sama ada murid mengetahui istilah terkini, guru boleh menyebut istilah dalam bahasa Inggeris dan meminta murid menterjemahkannya. Sila lihat contoh yang berikut:

tampered glass                     – kaca yang dibaja

shatter-proof glass               – kaca kalis berderai

booby trap                             – jerangkap samar

road show                              – jerayawara

influencer                               – pempengaruh

killfie                                       – swafoto maut

dashboard                             – papan pemuka

profiteering                            – pencatutan harga

child grooming                      – pengantunan kanak-kanak

sexual assault                       – amang seksual

 

Selain aktiviti yang tersenarai di atas, guru boleh juga menguji murid dari segi pengetahuan mereka tentang homofon, homograf, homonim, antonim, sinonim, kolokasi, polisemi, kata berimbuhan, kata majmuk, dan sebagainya.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.