29 Januari 2022, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa terhasil daripada akal dan pemikiran yang merupakan kuasa dalam menjanakan segala urusan dan pentadbiran manusia. Selain itu, bahasa bukan sahaja sebagai alat komunikasi, bahkan sebagai lambang identiti sesuatu bangsa. Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan dalam kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi serta dinamiknya cabaran dunia pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjayakan program bual bicara yang bertajuk “Kuasa Bahasa”, menerusi slot Soal Rakyat, Saluran TV3 Media Prima. Slot ini menampilkan YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Perjuangan lidah rakyat serta api dari suatu zaman menjadi ungkapan yang cukup bermakna serta kerap meniti di bibir Ketua Pengarah DBP itu yang mahukan generasi pada hari ini memahami dan menghayati usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilakukan dengan semangat serta matlamat yang jelas untuk membijaksanakan masyarakat.

Menurutnya lagi, bahasa Melayu juga mestilah difahami konteks penggunaannya sebagai bahasa rasmi negara oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum yang disatukan dengan semangat perpaduan melalui bahasa kebangsaan. Perkara yang amat penting difahami oleh segenap lapisan masyarakat negara ini atau kini disebut sebagai Keluarga Malaysia ialah bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsinya dan peranannya sebagai kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika bersiaran secara langsung.

Beliau turut menjelaskan tentang fungsi penubuhan DBP dan masyarakat digalakkan untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Sewajarnya tidak timbul lagi keraguan serta memandang ringan akan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor khususnya sektor awam.

Pentadbir sektor awam perlu menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi termasuklah penggunaannya dalam mesyuarat, surat-menyurat jabatan, minit mesyuarat serta laporan dan penyediaan pelbagai dokumen yang berkaitan dengan urusan kerajaan yang seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh. Keberkesanan bahasa Melayu dalam konteks rasmi sektor awam akan menjadi contoh kepada sektor lain di negara ini.

Bagi tujuan tersebut serta peruntukan yang ada pada DBP, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melaksanakan penggunaan bahasa kebangsaan di papan tanda perniagaan serta di papan iklan juga termeterai. Undang-undang yang berkuat kuasa di bawah PBT membolehkan mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam akan dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam sektor ekonomi pula telah membuktikan pengaruh besar dengan penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam strategi pemasaran dan pengiklanan produk yang dihasilkan. Walaupun DBP berdepan dengan pelbagai kerencaman penggunaan bahasa kebangsaan melalui sektor ini, masih belum terlambat untuk melihat bahasa Melayu terus diperkasakan. Bahasa Melayu bukan sahaja sebagai alat komunikasi dalam sektor ekonomi, bahkan dapat meningkatkan jualan dan produktiviti.

Selain itu, kerjasama sektor awam dan sektor swasta dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan juga mampu memberikan kuasa kepada bahasa kebangsaan negara ini setanding dengan bahasa dunia yang lainnya. Negara-negara dunia yang mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka dilihat boleh menjadi contoh kepada Malaysia bahawa bahasa kebangsaan negara ini berupaya menonjolkan citra negara Malaysia.

Beliau turut menggesa agar para ilmuwan serta pakar bidang ilmu melaksanakan terjemahan buku serta hasil penulisan dalam bahasa Melayu agar dapat disebarluaskan kepada seluruh masyarakat. DBP akan merealisasikan penerbitan ini kerana buku yang berkaitan dengan ilmu khusus oleh pakar bidang ini amat diperlukan oleh masyarakat.

Kerancuan bahasa kebangsaan dalam masyarakat wujud kerana terhakisnya rasa bangga dalam diri setiap rakyat Malaysia. Tentang sikap anak-anak muda dalam penggunaan bahasa kebangsaan, saya melihat situasi ini bersifat sementara dan masih banyak anak muda yang menghormati bahasa kebangsaan. Yang dibimbangkan adalah tentang penggunaan bahasa yang tidak konsisten akan mempengaruhi kanak-kanak dan remaja dalam penulisan mereka khususnya dalam peperiksaan.

Melalui media sosial DBP pula, beliau turut memuji keprihatinan golongan muda serta pengikut yang meraikan perkongsian pantun, peribahasa dan simpulan bahasa serta lain-lain. Media sosial DBP menjadi lebih interaktif kerana peranan golongan muda yang menghargai serta menghormati bahasa kebangsaan. Generasi mudalah yang akan mewarisi perjuangan mendaulatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Tambahnya lagi, pelbagai pihak turut menjayakan usaha pemartabatan bahasa kebangsaan yang antaranya termasuklah pelbagai media, ahli politik dan Raja-raja Melayu khususnya dalam kegiatan menjanakan intelektual institusi diraja di negara ini.

Pelibatan institusi diraja turut membuktikan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh KPM melalui DBP seperti program wacana bersama-sama DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Syah (Sultan Perak), DYMM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail dan YAM Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (Tengku Temenggung Kelantan).

Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, DBP juga akan memfokuskan penerbitan digital khususnya e-pub, PDF dan penerbitan yang berbentuk interaktif. Portal Jendela DBP yang merupakan pelantar penerbitan digital DBP ialah satu daripada pencapaian DBP yang terpenting kini bagi memenuhi keperluan maklumat dan trend media digital masa kini dan masa hadapan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.