Oleh Kho Thong Eng
4 Februari 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secara umumnya, masyarakat pada zaman dahulu terdedah pada pelbagai jenis haiwan, tanaman, alat pertukangan, jenis pakaian, masakan, adat resam, aktiviti sosial, kegiatan ekonomi, dan seumpamanya dalam kehidupan seharian mereka. Hal tersebut menawarkan variasi pengalaman hidup yang menjadi bahan renungan masyarakat. Dengan mata akal yang tajam dan jiwa yang sensitif, masyarakat zaman silam berupaya menyaring inti pati erti segala pengalaman hidup tersebut untuk membentuk Weltanschauung atau pandangan dunia masyarakat.

Pandangan dunia itu seterusnya diolah secara berseni dan kreatif oleh masyarakat untuk menghasilkan peribahasa yang pelbagai rupa. Dalam hal ini, yang menarik ialah meskipun masyarakat menghasilkan peribahasa berdasarkan pengalaman hidup yang berbeza-beza, ada kalanya peribahasa yang rencam itu menggambarkan celik akal pengertian hidup yang sama. Hal ini berlaku demikian mungkin disebabkan nilai dan sikap yang sama didukung bersama oleh masyarakat yang menetap di pelbagai lokasi dan melakukan kerja yang berbeza-beza pada zaman dahulu. Sila lihat contoh yang berikut:

1a. Air cucuran atap jatuhnya ke pelimbahan juga

1b. Air di tulang bumbungan turunnya ke cucuran atap

1c. Bapa borek anak rintik

1d. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya

1e. Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi

 

Semua peribahasa di atas menampilkan pelbagai fenomena hidup yang membawa maksud “anak menurut sifat ibu bapa”. Peribahasa 1a dan 1b berkaitan dengan bentuk rumah, peribahasa 1c berkaitan dengan rumah tangga, peribahasa 1d berkaitan dengan kerja pembuatan kuih, dan peribahasa 1e berkaitan dengan hal masakan. Jika direnungi, terdapat proses atau unsur turutan yang logik dalam hal yang diperkatakan, seperti yang berikut:

  • Air hujan akan turun dari cucuran atap ke pelimbahan atau dari tulang bumbungan ke cucuran atap mengikut daya tarikan graviti.
  • Anak akan meniru dan menurut sifat ibu bapa disebabkan hubungan yang rapat.
  • Bentuk kuih ditentukan oleh bentuk acuannya.
  • Kuah biasanya disimbah pada nasi.

 

Pengertian yang didukung oleh kelompok peribahasa bahasa Melayu tersebut juga diungkapkan oleh peribahasa Inggeris seperti kill two birds with one stone (membunuh dua ekor burung dengan seketul batu). Hal ini menepati pandangan masyarakat Inggeris bahawa great minds think alike, iaitu orang yang bijaksana mempunyai arus aliran fikir yang serupa.

Jika masyarakat zaman dahulu ingin menyatakan maksud “sekali melakukan pekerjaan dua tiga maksud tercapai, mereka mungkin melafazkan peribahasa yang berikut:

2a. Sambil menyelam minum air

2b. Sambil berdendang biduk hilir.

2c. Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau

2d. Belayar sambil memapan

2e. Seperti serampang dua mata

2f.  Sambil berdiang, nasi masak

 

Peribahasa 2a, 2b, 2c dan 2d berkaitan dengan aktiviti di air, iaitu menyelam, belayar atau berkayuh. Peribahasa 2e berkaitan dengan alat atau senjata “serampang”, manakala peribahasa 2f berkaitan dengan kerja di dapur.

Bagi menggambarkan sikap orang yang tidak tetap pendirian dan mudah dipengaruhi oleh orang lain, terdapat kelompok peribahasa yang seerti, seperti yang berikut:

3a. Ke mana angin yang deras, ke situ condongnya

3b. Bagai pimping di lereng

3g. Fahamnya bagai getah cair

3h. Kuning oleh kunyit, hitam oleh arang

3c. Bagai pancang digoncang arus

3d. Baling-baling di atas bukit

3e. Hati bagai baling-baling

3f.  Seperti panji-panji, ditiup angin berkibar-kibaran

 

Bagi menekankan pentingnya kita menjalankan sesuatu hal hingga berjaya, terdapat kelompok peribahasa yang berikut:

4a. Alang-alang berminyak biar licin

4b. Alang-alang mandi biar basah

4c. Alang-alang berdakwat biar hitam

4d. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan

4e. Genggam bara api biar sampai menjadi arang

4f. Berjalan sampai ke batas, belayar sampai ke pulau

 

Bagi menyindir orang yang suka mencerca orang lain sedangkan diri sendiri pun ada kelemahan, dihasilkan sejumlah peribahasa seperti yang berikut:

5a. Bintang di langit dapat dibilang tetapi tak sedar di mukanya arang

5b. Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak

5c. Pacak mencerca biduk orang, biduk sendiri tak terkayuh

5d. Mengata dulang paku serpih, mengata orang awak (aku) yang lebih

5e. Jaras dikatakan raga jarang

 

Jika seseorang orang terlalu ingin mengajar orang lain, sedangkan orang lain lebih pandai atau lebih hebat daripadanya, dihasilkan peribahasa seperti yang berikut:

6a. Itik diajar berenang

6b. Tak usah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai

6c. Mengajar orang tua makan dadih

6d. Orang tua diajar makan pisang

6e. Mengunyahkan orang bergigi

6f. Jangan diajar orang tua makan kerak

 

Kebanyakan peribahasa bahasa Melayu mengingatkan kita agar sentiasa berwaspada agar hidup kita selamat di dunia akhirat. Sila lihat contoh yang berikut:

Nasib manusia tidak menentu

  • Air pun ada pasang surut
  • Bukit jadi paya, paya jadi bukit
  • Tuah ayam boleh dilihat, tuah manusia siapa tahu?
  • Lubuk jadi pantai, pantai jadi lubuk
  • Disangka panas sampai petang, kiranya hujan tengah hari

 

Sifat penyabar dapat mengelakkan pertelingkahan

  • Air dingin juga yang dapat memadami api
  • Batu pun empuk, jangan hati manusia
  • Batu yang keras air pelekuknya, hati yang keras lidah pelembutnya

 

Setiap perbuatan ada akibatnya

  • Bermain air basah, bermain api letup, bermain pisau luka
  • Siapa makan nangka, maka kena getahnya
  • Terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah emas padahannya

 

Usaha kita tidak akan terus berjaya

  • Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba
  • Hujan tak sekali jatuh, simpai tak sekali erat

 

Kesilapan yang tidak dapat dibetulkan lagi

  • Belukar sudah menjadi rimba
  • Nasi sudah menjadi bubur
  • Telah busuk maka dipeda

 

Berhati-hati dengan orang yang bermulut manis

  • Buah yang manis berulat di dalamnya
  • Ibarat burung, mulut manis jangan dipakai
  • Semanis-manis gula, ada pasir di dalamnya
  • Dalam madu berisi hempedu
  • Di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!