7 Februari 2022, 07:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan memulakan bicaranya dalam slot Hebahan Warna Pagi yang bersiaran secara langsung menerusi radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Radio IKIM), dengan menyentuh tajuk perbincangan “Bahasa Sendi Tamadun Bangsa”. Menurut beliau, tajuk perbincangan tersebut merupakan tema bagi Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2000-2004, yang juga digunakan sebagai tajuk lagu bersempena dengan sambutan tersebut.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika bersiaran secara langsung.

Semasa penubuhan negara suatu ketika dahulu, konsep kerakyatan dan kewarganegaraan diberi secara jus soli termasuklah kepada orang bukan Melayu. Jadi, sebagai timbal baliknya, para pemimpin kaum bukan Melayu menerima beberapa peruntukan yang berkaitan dengan asas kemelayuan sebagai tonggak kenegaraan termasuklah kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak sah kaum lain. Proses ini bukanlah satu diskriminasi tetapi merupakan proses pembinaan negara yang berteraskan perpaduan dan asas sejarah negara kita.

Kontrak sosial dan sejarah pembentukan negara ini perlu difahami oleh masyarakat termasuklah hal yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan ini merupakan antara satu daripada teras dalam sejarah pembentukan negara ini dan dimasukkan dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Setiap orang baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam perlu berpegang pada fahaman bahasa yang merupakan alat terpenting dalam pembinaan sebuah tamadun. Ahli-ahli falsafah tamadun Yunani atau Greek Lama seperti Plato, Aristotle dan lain-lain lagi sangat mementingkan bahasa. Bahkan istilah gramatikos, iaitu tatabahasa telah wujud dalam tamadun tersebut sejak 500 Sebelum Masihi. Bukan itu sahaja, kajian puisi juga telah dijalankan dalam tamadun tersebut.

Manusia merupakan makhluk terbaik yang merujuk akal dan bahasa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin membangun dan mengembangkan tamadun. Nabi Adam AS sebagai manusia pertama juga dikurniai ilmu dan kemahiran bahasa. Wahyu Allah SWT yang mengandungi segala hukum juga diutuskan melalui bahasa. Imam al-Ghazali menyatakan bahasa itu merupakan ilmu permulaan yang penting kerana tanpa menguasainya pengembangan ilmu tidak akan berlaku. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya bahasa sebagai asas pembinaan jati diri dan asas pembangunan tamadun.

Dalam tamadun Melayu, bahasa Melayu digunakan sebagai tonggak tamadun. Buktinya, pendeta besar Buddha dari China, I-Tsing, dalam catatannya menulis bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa pemerintahan di Alam Melayu. Kedatangan Islam pula mengukuhkan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam segala ruang lingkup kehidupan seperti akidah, syariah, sirah, undang-undang dan lain-lain. Bahasa Melayu juga digunakan secara meluas dalam hubungan diplomasi. Buktinya, terdapat ribuan warkah dan perjanjian perdagangan antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing seperti British dan Belanda yang menggunakan bahasa Melayu yang bertulisan Jawi.

Tamadun lain juga sangat menjaga kedudukan bahasa masing-masing. Kebanyakan tamadun yang membangun pada masa dahulu memindahkan segala ilmu daripada bahasa lain kepada bahasa mereka. Hal ini demikian kerana mereka menyedari bahawa segala ilmu hanya dapat disampaikan secara berkesan melalui penggunaan bahasa bangsa mereka sendiri. Tambah beliau, kita perlu mengenal pasti kekuatan bangsa dan tamadun lain untuk dimanfaatkan bagi mengangkat tamadun kita melalui penterjemahan.

Penubuhan DBP setahun sebelum kemerdekaan mempunyai makna yang simbolik sebagai persiapan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang ampuh dan mampu menjadi bahasa tamadun negara. Tambah beliau lagi, penerbitan digital merupakan antara usaha penting oleh DBP yang berteraskan cita-cita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa tonggak tamadun negara dan juga bahasa utama dunia. Bahasa Melayu mempunyai nilainya yang tersendiri kerana bahasa ini juga telah diajar di negara lain seperti di China, Jepun, Korea, Jerman dan lain-lain.

Sebelum mengakhiri bicaranya, beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu jangan dianggap sebagai bahasa milik kaum Melayu semata-mata tetapi milik semua orang yang memiliki kewarganegaraan Malaysia. Menurut beliau, sebagai sektor ketiga yang berpengaruh dalam pembangunan tamadun, sektor penyiaran juga mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun. “Bahasa kita tanggungjawab kita.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.