10 Februari 2022, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sebuah wacana yang bertajuk “Linguistik dalam Kehidupan” telah disiarkan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pukul 10.00 pagi tadi. Program ini merupakan anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, yang secara khusus membicarakan tentang bidang linguistik secara spesifik. Felo Tamu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin merupakan pembicara yang dijemput dalam wacana ini manakala Felo Penyeldik ATMA, UKM, Dr. Junaini Kasdan pula bertindak selaku moderator.

Menurut Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin, linguistik tidak sama dengan bahasa kerana linguistik merupakan ilmu yang membedah apa-apa juga bahasa secara saintifik. Linguistik mempunyai pelbagai peringkat dan bentuk, iaitu teras, aplikasi, mikro, makro dan multidisiplin. Dalam ilmu teras linguistik, terdapat lima elemen yang perlu diketahui, iaitu fonetik, fonologi, marfologi, sintaksis dan semantik. Antara kelima-lima elemen tersebut, semantik merupakan elemen terpenting dalam bidang linguistik.

Lingustik dalam kehidupan kita terbahagi kepada dua, iaitu teras dan aplikasi. Dalam teras, perbincangan akan melibatkan tatabahasa dan teoritis kerana setiap bahasa mempunyai sistemnya yang tersendiri. Aplikasi pula berkaitan dengan kehidupan seharian yang terbahagi kepada aspek semantik dan pragmatik atau yang keduanya pakej linguistik.

Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin dan Dr. Junaini Kasdan semasa bersiaran secara langsung.

Tambah beliau, aspek semantik dan pragmatik pula terdiri daripada makna bukan lisan dan metafora. Penggunaan aspek ini perlu disesuaikan dengan golongan yang ingin berkomunikasi kerana pemahaman seorang kanak-kanak berbeza daripada seorang dewasa dan begitulah juga sebaliknya.

Untuk memahami maksud dan makna dalam metafora yang ada dalam peribahasa pula, simpulan bahasa dan pantun memerlukan seseorang itu untuk mengasah mindanya. Kegagalan mentafsirkan makna metafora itulah yang membuatkan serangkap pantun pernah menjadi polemik di negara. Pakej linguistik pula berkaitan dengan aspek leksikografi atau perkamusan. Dalam perkamusan dan peristilahan pula memerlukan individu itu mengetahui tentang fonetik, fonologi, morfologi dan semantik selain peluasan makna. Peluasan makna sangat penting kerana evolusi bahasa sentiasa berlaku.

Menurut beliau lagi, penggunaan bahasa yang betul sangat penting untuk pemahaman dan keyakinan masyarakat. Dalam kes COVID-19, pada mulanya istilah yang digunakan hanyalah menggunakan bahasa Inggeris. Namun begitu, setelah kes menular dalam kalangan komuniti, Kementerian Kesihatan Malaysia mula menggunakan bahasa Melayu bagi menggantikan istilah bahasa Inggeris tersebut dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa bahayanya wabak ini. Bahkan dialek yang merupakan salah satu daripada unsur linguistik digunakan dalam usaha menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan vaksinasi di negara ini.

Pandemik yang berlaku di negara kita menyebabkan ada beberapa perkataan yang mengalami peluasan makna. Antaranya termasuklah perkataan “kayangan”. Jika mengikut ilmu semantik dan perkamusan, “kayangan” telah meluas maknanya dan bukan hanya tertakluk kepada golongan istana semata-mata bahkan merujuk orang yang banyak wang dan yang banyak kuasa. Bendera putih pula dikibarkan oleh orang yang terdesak memerlukan bantuan semasa pandemik.

Menurut beliau lagi, semantik juga menekankan cara dan peraturan bagi yang ingin berkomunikasi. Seseorang itu perlu memastikan ujaran atau percakapannya ringkas, tepat dan padat bagi membolehkan pendengar memahami maklumat yang ingin disampaikan. Jika berlakunya percanggahan dalam ujaran akan menyebabkan kualiti penyampaian sesuatu maklumat itu diragui.

Tambah beliau, linguistik sebenarnya merupakan satu bidang yang boleh dimultidisiplinkan dengan pelbagai bidang lain seperti sejarah, perubatan, geografi, psikologi dan pelbagai lagi. Contohnya, dialek Negeri Sembilan di Kampung Lukut, Kota Tinggi yang menunjukkan bagaimana faktor sejarah, perantauan dan sosiobudaya menyebakan meluasnya dialek tersebut ke Johor.

Beliau turut menyatakan bahawa bahasa ialah alat komunikasi tetapi linguistik pula ialah ilmu yang membedah bahasa. Jika mengetahui tentang ilmu linguistik, seseorang itu boleh menjelaskan dan mentafsirkan bahasa dengan lebih bernas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.