16 Februari 2022, 13:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Terdapat banyak takrifan tentang peribahasa daripada para cendekiawan dan diungkapkan oleh pakar bahasa dan sastera. Peribahasa merupakan kata-kata ringkas dan mengandungi maksud yang mendalam. Melaluinya, orang yang mendengarnya akan dapat memahami apa-apa yang dimaksudkan tanpa memerlukan penjelasan yang panjang, iaitu cukup sekadar beberapa patah perkataan.

Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan dengan peribahasa Melayu, khususnya penggunaan haiwan dan kaitannya dengan orang Melayu, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyiarkan Rancangan Bicara Karyawan: “Haiwan dalam Peribahasa Melayu” yang menampilkan Puan Wan Norasyikin Wan Ismail, iaitu Perancang Bahasa dari Bahagian Penyelidikan Bahasa. Beliau memberikan kupasan yang menarik mengenai hasil penulisannya itu yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi.

Puan Wan Norasyikin Wan Ismail ketika bersiaran secara langsung.

Menurut beliau, orang Melayu menggunakan haiwan untuk menjelaskan sesuatu perkara kerana kehidupan orang Melayu sangat dekat dengan haiwan. Selain diternak sebagai sumber makanan, haiwan ternakan seperti ayam, itik, kerbau dan lembu juga menjadi sumber ekonomi. Hasil pengamatan terhadap haiwan tersebut telah dijadikan perbandingan atau perlambangan masyarakat terdahulu untuk mereka menegur atau mendidik masyarakat. Hasilnya, penggunaan ungkapan haiwan memudahkan kefahaman masyarakat.

Pemerhatian dan kajian secara mendalam tentang habitat haiwan dilakukan sebelum terciptanya sesuatu peribahasa yang akhirnya mengaitkannya dengan perangai dan kelakuan manusia. Sebagai contoh, peribahasa “Bagai melepaskan anjing yang tersepit” merujuk situasi anjing yang berada dalam keadaan terdesak, iaitu apabila dilepaskan daripada kesusahan, maka ia akan lari atau menggigit orang yang membantunya pula. Perbandingan dengan manusia pula adalah apabila seseorang itu sudah senang, ada yang tidak mengenang budi terhadap orang yang membantunya ketika susah dahulu.

Tambahnya lagi, buku Haiwan dalam Peribahasa Melayu yang ditulisnya merupakan himpunan haiwan-haiwan yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Terdapat 80 spesies haiwan yang sering digunakan dalam peribahasa Melayu, termasuklah 35 jenis ikan, 37 jenis unggas dan burung, ayam, itik dan sebagainya. Haiwan-haiwan ini bukan sahaja hidup di darat malah di dalam air, di dalam tanah dan juga terbang di udara. Jumlahnya sangat banyak dan adalah rugi jika tidak dijadikan sebuah buku dan diterbitkan sebagai panduan dan rujukan kepada pelajar, guru, dan masyarakat.

Menurut Puan Wan Norasyikin, untuk mengumpul peribahasa yang berkaitan dengan haiwan ini bukanlah mudah. Beliau mengambil masa yang agak lama, iaitu lebih dari dua tahun untuk mengumpul dan membuat kajian berkaitan dengan habitat haiwan-haiwan yang digunakan sebagai ungkapan dalam peribahasa.

Pengumpulan bahan tersebut berdasarkan hasil bacaannya daripada sumber artikel, majalah dan sebagainya. Selain Malaysia, beliau turut memperoleh data tersebut daripada pelbagai koleksi buku peribahasa dari Alam Melayu yang lain seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Saya juga mencari data berkenaan di pangkalan data ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga pangkalan data korpus DBP dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) serta Kamus Dewan. Saya perlu merujuk leksikal haiwan tersebut sama ada ia wujud atau tidak dan juga menemu bual orang-orang yang pakar tentang peribahasa haiwan ini. Hasilnya, sejumlah data dapat dikumpulkan dan dapat diterbitkan menjadi sebuah buku.

Menurutnya lagi, terdapat banyak peribahasa yang sudah diadakan dalam kamus atau korpus namun jarang-jarang digunakan oleh generasi sekarang. Oleh itu, antara tujuan buku ini diterbitkan juga adalah untuk mengembalikan semula haiwan-haiwan yang jarang-jarang dijumpai sekarang ini. Sebagai contoh, peribahasa “Diam-diam lepu” menggunakan nama ikan lepu, iaitu sejenis ikan laut. Contoh yang lain ialah “ikan gemi” dan “ikan belukang”. Katanya lagi, banyak juga orang Melayu yang mencipta peribahasa berdasarkan ikan air tawar dan bukannya ikan tasik atau ikan sungai.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.