Oleh Kho Thong Eng
16 Februari 2022, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sendi nama ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata nama atau frasa nama dengan kata atau frasa lain dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut;

  1. Hadiah untuk Ali sudah saya beli.
  2. Hadiah ini untuk

Dalam ayat 1, sendi nama untuk terletak di hadapan kata nama Ali untuk menghasilkan frasa sendi nama untuk Ali yang menjadi penerang kepada inti hadiah dalam frasa nama hadiah untuk Ali yang menjadi subjek ayat. Dengan itu, ayat 1 mempunyai struktur ayat Frasa Nama (FN) + Frasa Kerja (FK).

Dalam ayat 2 pula, sendi nama untuk terletak di hadapan kata nama Ali untuk menghasilkan frasa sendi nama untuk Ali yang menjadi predikat ayat. Dengan itu, ayat 2 mempunyai pola ayat Frasa Nama (FN) + Frasa Sendi Nama (FS).

Selain sendi nama untuk, terdapat juga sendi nama yang lain dalam bahasa Melayu.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Perundingan antara pihak yang berkepentingan sudah selesai.
  2. Perhubungan kita dengan mereka sudah terputus.
  3. Bantuan daripada badan kebajikan itu kepada golongan yang miskin sudah dihentikan.
  4. Perjalanan dari kaki gunung ke puncaknya agak sukar.
  5. Pelantikannya sebagai ketua pada bulan depan akan mendatangkan perubahan.
  6. Mereka mengadakan perbincangan hingga (sampai) larut malam.
  7. Rumah di lereng bukit itu sudah tumbang.
  8. Persediaan sejak (semenjak) seminggu yang lalu membolehkan program itu berjalan dengan lancar.
  9. Sanjungan bagi kaum guru memanglah wajar.
  10. Perdebatan tentang isu itu belum tamat.
  11. Pertikaian dalam hal ini berlarutan.
  12. Perjuangan demi negara harus diteruskan.
  13. Penghormatan terhadap golongan tua harus kita pelihara.
  14. Kasih sayangnya akan anaknya bagai (seperti, laksana, umpama, bak) laut yang tidak bertepi.
  15. Pergaulan dengan rakan yang berperangai negatif merugikan kita.

Dalam kelompok ayat 3 hingga 17 di atas, terdapat pelbagai sendi nama yang terapit di antara dua frasa nama. Sebagai contoh, dalam ayat 3, sendi nama antara terapit di antara kata nama perundingan dengan frasa nama pihak yang berkepentingan.  Walau bagaimanapun, kata sendi nama juga boleh didahului oleh golongan kata yang lain.

Kata sendi nama akan dan dengan boleh diletakkan di antara kata adjektif perasaan (emotif)  dengan frasa nama sebagai pengantar objek. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia sayang akan adiknya.
  2. Dia rindu dengan keluarganya.

Dalam ayat 18, kehadiran sendi nama akan membolehkan kata adjektif emotif sayang dihubungkan dengan kata nama adiknya. Dalam ayat 19, sendi nama dengan menghubungkan kata adjektif emotif rindu dengan kata nama keluarganya. Tanpa kehadiran sendi nama akan dan dengan, imbuhan yang sesuai harus ditambah pada kata adjektif tersebut untuk menjadikannya sebagai kata kerja terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia menyayangi adiknya.
  2. Dia merindui keluarganya.

Kata sendi nama oleh berperanan dalam ayat pasif. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Pokok itu ditebang pembalak.
  2. Pokok itu ditebang oleh pembalak.
  3. Dia terlanggar kereta itu.
  4. Dia terlanggar oleh kereta itu.
  5. Batu itu terangkat olehnya.
  6. *Batu itu terangkatnya.

Dalam ayat 23, kata sendi nama oleh merupakan unsur opsyenal dalam pembentukan ayat pasif jati. Walau bagaimanapun, penggunaan oleh dalam ayat 25 adalah wajib untuk menjadikannya ayat pasif, berbanding dengan ayat 24 yang merupakan ayat aktif. Malahan, tanpa kata sendi nama oleh, ayat 27 menjadi tidak logik maksudnya.

Ada kalanya, kata sendi nama menjadi unsur frasa sendi nama yang menjadi frasa keterangan kepada kata kerja, kata adjektif atau frasa sendi nama dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia belajar dengan rakannya.
  2. Dia cantik pada suatu masa dahulu.
  3. Dia di Taiping sejak minggu lepas.

Dalam ayat 28, sendi nama dengan mendahului frasa sendi nama dengan rakannya yang menjadi frasa keterangan atau frasa adverba kepada kata kerja belajar. Dalam ayat 29, sendi nama pada mendahului frasa sendi nama pada suatu masa dahulu yang menjadi frasa keterangan atau frasa adverba kepada kata adjektif cantik. Dalam ayat 30, sendi nama sejak mendahului frasa sendi nama sejak minggu lepas yang menjadi frasa keterangan atau frasa adverba kepada frasa sendi nama di Taiping.

Ada juga kata dalam bahasa Melayu yang menyerupai kata sendi nama tetapi sebenarnya merupakan golongan atau subgolongan kata yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia akan bercuti esok.
  2. Dia sudah sampai.
  3. Dia belajar hingga faham.
  4. Dia duduk di antara Fatimah dengan Munah.
  5. Wang saya di dalam saku.
  6. Sungai itu dalam.
  7. Dia menghiris timun dengan menggunakan pisau.

Dalam ayat 31, kata akan ialah kata bantu aspek. Dalam ayat 32, kata sampai ialah kata kerja. Dalam ayat 33, kata hingga ialah kata hubung pancangan keterangan perhinggaan. Dalam ayat 34, kata antara ialah kata arah. Dalam ayat 35, kata dalam ialah kata arah, tetapi dalam ayat 36, kata dalam ialah kata adjektif. Dalam ayat 37 pula, kata dengan ialah kata hubung pancangan keterangan cara.

Kata sendi nama boleh didahului oleh kata bantu aspek atau ragam. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia akan ke Tokyo esok.
  2. Dia mahu ke kampung esok.

Dalam ayat 38, kata sendi nama ke didahului oleh oleh kata bantu aspek akan. Dalam ayat 39 pula, kata sendi nama ke didahului oleh kata bantu ragam mahu.

Kata sendi nama oleh boleh bergandingan dengan kata nama sebab dalam ayat tunggal dan kekal sebagai sendi nama. Walau bagaimanapun, kata tersebut boleh menjadi kata hubung pancangan keterangan musabab jika digandingkan dengan kata nama sebab dalam ayat majmuk. Dalam hal ini, penggunaan frasa sendi nama oleh sebab dalam ayat majmuk adalah sama seperti kata hubung kerana.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia cedera oleh (sebab) senjata sendiri.
  2. Dia cedera oleh sebab jatuh.
  3. Dia cedera kerana jatuh.

Ada kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia bercakap mengenai hal itu.
  2. Dia bercakap tentang hal itu.
  3. Menerusi perbincangan, mereka semakin memahami isu tersebut.
  4. Melalui perbincangan, mereka semakin memahami isu tersebut.
  5. Dengan perbincangan, mereka semakin memahami isu tersebut.

Dalam ayat 43, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang dalam ayat 44. Dalam ayat 45 dan 46, kata menerusi dan melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan dalam ayat 47.

Satu hal yang menarik ialah kata tanya bagaimana yang ditambah awalan se- dapat juga berfungsi sebagai sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

48a.  Dia menerima pendidikan sebagaimana yang dikehendaki.

48b.  Dia menerima pendidikan sebagaimana (hal) yang dikehendaki.

48c.  Dia menerima pendidikan seperti yang dikehendaki.

 

49a.  Mereka bertindak sebagaimana yang telah dirancang.

49b.  Mereka bertindak sebagaimana (hal) yang telah dirancang.

49c.  Mereka bertindak seperti yang telah dirancang.

Dalam kelompok ayat 48 dan 49 di atas, kata tanya bagaimana yang ditambah awalan se- dapat berfungsi seperti sendi nama seperti.

Ada juga pengguna bahasa Melayu yang tersilap menggunakan sendi nama tertentu. Satu contohnya ialah penggunaan dua kata sendi nama secara berturutan. Hal tersebut dianggap sebagai lewah. Sila lihat contoh yang berikut:

501a.  *Sila baca maklumat seperti di bawah.

50b.  Sila baca maklumat seperti butiran di bawah.

50c.  Sila baca maklumat di bawah.

 

51a.  *Dia belajar hingga ke larut malam.

51b.  Dia belajar hingga larut malam.

 

52a.  *Sejak dari hari itu, dia sudah sedar.

52b.  Sejak / Dari hari itu, dia sudah sedar.

 

53a.  *Demi untuk negara, kita harus berjuang.

53b.  Demi / Untuk negara, kita harus berjuang.

 

54a.  *Selain daripada Hasan, tiada yang sanggup menolongnya.

54b.  Selain Hasan, tiada yang sanggup menolongnya.

Ada juga pengguna bahasa Melayu yang menggunakan sendi nama yang kurang sesuai dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

55a.  *Dia belajar di waktu pagi.

55b.  Dia belajar pada waktu pagi.

 

56a.  *Dia berpegang kepada kebenaran.

56b.  Dia berpegang pada kebenaran.

 

57a.  *Dia bergantung kepada bantuan daripada rakannya.

57b.  Dia bergantung pada bantuan daripada rakannya.

Ada pengguna bahasa Melayu yang tersilap dalam hal penggunaan sendi nama kerana sendi nama yang berkenaan tidak mendahului kata nama atau frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:

58a.  *Hal seperti berikut harus dielakkan.

58b.  Hal seperti yang berikut harus dielakkan.

Sendi nama yang sama tidak perlu diulang dalam ayat, kecuali sendi nama ke. Sila lihat contoh yang berikut:

59a.  Ada pelancong yang datang dari dalam dan luar negara.

59b.  Buku saya ada pada John atau Peter.

59c.  *Dia bukan ke Seremban tetapi Kuala Lumpur.

59d.  Dia bukan ke Seremban tetapi ke Kuala Lumpur.

Penggunaan kata tertentu dengan sendi nama dari dan ke harus bersifat seimbang. Sila lihat contoh yang berikut:

60a.  *Dia menjenguk ibu bapanya dari semasa ke masa.

60b.  *Dia menjenguk ibu bapanya dari masa ke semasa.

60c.  Dia menjenguk ibu bapanya dari semasa ke semasa.

60d.  Dia menjenguk ibu bapanya dari masa ke masa.

Dalam kelompok ayat 60, penggunaan kata semasa atau masa harus seimbang, agar kegramatisan ayatnya tidak terjejas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.