Oleh Kho Thong Eng
21 Februari 2022, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adverba ialah satu unsur dalam subgolongan kata prafrasa dan pascafrasa, iaitu sebahagian daripada kata tugas dalam bahasa Melayu. Istilah ini berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu adverb. Dalam bahasa Inggeris, adverb menghuraikan kata kerja, kata adjektif dan kata adverb yang lain. Dalam bahasa Melayu pula, kata adverba sebagai kata keterangan menghuraikan Frasa Kerja (FK), Frasa Adjektif (FA) dan Frasa Sendi Nama (FS).

Konsep adverba dalam bahasa Melayu belum dikupas secara tuntas dan sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana adverba bukan sahaja meliputi adverba jati, malah melibatkan golongan kata lain yang berfungsi sebagai adverba.

Adverba jati merupakan kata yang hanya menghuraikan Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama. Dalam bahasa Melayu, adverba sedemikian berkaitan dengan kekerapan atau cara melakukan sesuatu hal. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia sering ke bandar.

1b.  Kadang-kadang dia ke bandar

1c.  Kadangkala dia ke bandar.

1d.  Jarang-jarang dia berani.

1e.  Dia sentiasa sihat.

1f.   Dia selalu prihatin.

1g.   Dia nyaris-nyaris jatuh.

1h.   Mereka saling membantu.

1i.   Kerap dia bermuhasabah.

Dalam kelompok ayat 1 di atas, terdapat contoh adverba jati seperti sering, kadang-kadang, kadangkala, jarang-jarang, sentiasa, selalu, nyaris-nyaris, saling dan kerap. Kata-kata adverba jati itu hanya berfungsi untuk menghuraikan contoh kata kerja (jatuh, membantu, bermuhasabah), contoh kata adjektif (sihat, prihatin, berani) dan contoh frasa sendi nama (ke bandar). Ertinya, adverba jati ialah adverba dari segi golongan kata dan fungsinya.

Selain kata adverba jati, terdapat juga golongan kata yang lain yang dapat berfungsi sebagai adverba. Contohnya ialah kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Esok ialah hari cuti.

2b.  Pertandingan esok pasti hebat.

2c.  Dia ke Kangar esok.

 

3a.  Angin kencang menumbangkan pokok.

3b.  Angin bertiup kencang.

 

4a.  Dia bersendirian di rumah.

4b.  Dia duduk bersendirian.

Dalam ayat 2a, kata “esok” ialah frasa atau kata nama yang menjadi subjek ayat. Dalam ayat 2b, kata “esok” ialah penerang (KN) kepada inti frasa nama “pertandingan”. Dalam ayat 2c,  kata nama “esok” berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan frasa sendi nama “ke Kangar”.

Dalam ayat 3a, kata “kencang” ialah kata adjektif (penerang) yang menghuraikan inti frasa nama “angin”. Dalam ayat 3b, kata adjektif “kencang”  berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja “bertiup”.

Dalam ayat 4a, kata “bersendirian” ialah kata kerja yang berfungsi sebagai predikat utama ayat. Dalam ayat 4b pula, kata kerja “bersendirian” berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata kerja “duduk”.

Kata nama yang berkaitan dengan masa sering berfungsi sebagai adverba. Contohnya adalah seperti yang berikut:

 

esok                lusa                 tulat                 semalam

tadi                  kelmarin         kini                  dahulu

sekarang        kelak               nanti               kemudian     

Kata yang berkaitan dengan cara melakukan sesuatu hal dan sering berfungsi sebagai adverba adalah seperti yang berikut:

serentak         sekali gus      begitu             begini

demikian        langsung

 

5a.  Hal demikian adalah salah.                (penerang)

5b.  Jangan bertindak demikian.               (adverba)

 

6a.  Tindakan serentak itu berjaya.           (adjektif)

6b.  Mereka sampai serentak.                    (adverba)

 

7a.  Kesan langsungnya jelas.                   (adjektif)

7b.  Dia terlibat secara langsung.             (adverba)

Sesetengah adverba boleh berada di hadapan atau di belakang kata yang dihuraikannya. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia letih selalu.

5b.  Dia selalu letih.

 

6a.  Dia sentiasa berani.

6b.  Dia berani sentiasa.

 

7a.  Dia lambat datang.

7b.  Dia datang lambat.

Selain kata, ada juga frasa dan klausa yang dapat berfungsi seperti adverba. Hal sedemikian berkaitan (walaupun ada perbezaan) dengan adverbial dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia membaca buku tadi.

8b.  Dia membaca buku pada masa lapang.

8c.  Dia membaca buku apabila (dia) ada masa lapang.

Dalam ayat 8a, kata nama “tadi” berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan frasa kerja “membaca buku”. Dalam ayat 8b, frasa sendi nama “pada masa lapang” (kata sendi nama “pada” diikuti frasa nama “masa lapang”) menghuraikan frasa kerja “membaca buku”. Dalam ayat 8c, klausa keterangan waktu “apabila (dia) ada masa lapang” (kata hubung keterangan waktu “apabila” diikuti klausa “(dia) ada masa lapang”) juga menghuraikan frasa kerja “membaca buku”.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!