Oleh Harlym Yeo
22 Februari 2022, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Patani – Selain kata-kata Laksamana Hang Tuah yang kerap didengar, iaitu “Takkan Melayu hilang di dunia”, terdapat satu lagi kata-kata menarik, iaitu “Selagi orang Melayu bercakap bahasa Melayu”. Demikianlah antara ucapan oleh Aj. Hara Shintaro, Pensyarah Bahasa Melayu dari Jepun, dalam forum Bahasa Ibunda Teras Jati Diri Bangsa, anjuran Persatuan Penulis Patani (PPP) buat julung-julung kalinya, bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa semalam.

Tarikh 21 Februari telah ditetapkan dan diluluskan oleh UNESCO sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa atas dasar keyakinan mereka terhadap kepentingan kepelbagaian bahasa untuk masyarakat yang mampan. Dalam mandatnya, UNESCO berusaha untuk mengekalkan perbezaan budaya dan bahasa yang menggalakkan toleransi antara manusia. Hal ini demikian kerana kepelbagaian bahasa mula terancam dan semakin banyak bahasa yang hilang,” ulas Mahroso Doloh, selaku pengarah program dan moderator program.

Menurut Pengerusi PPP, Dr. Abdul Rahman Dewani al-Fathoni, sesuatu bangsa yang tidak memiliki kebudayaan bangsanya, maka keberadaan bangsa tersebut akan lenyap di permukaan bumi. Langkah seribu tidak akan tercapai kalau tidak dimulai dengan langkah pertama. Guru-guru di sekolah terutamanya yang membabitkan bahasa memainkan peranan yang penting untuk memberikan keyakinan kepada para pelajar tentang kekuatan diri dan bangsa Melayu Nusantara. Teras dan tugas pembinaan dan pembangunan bangsa harus disebarluaskan dalam masyarakat Patani sejak di bangku sekolah lagi.

Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘Bahasa jiwa bangsa’, yang dapat ditafsirkan bahawa sesuatu bangsa tidak akan kuat sekiranya bahasanya lemah atau bangsa itu tidak mempunyai bahasanya sendiri sebagai jati diri bangsa. Oleh itu, dalam usaha melahirkan bangsa Melayu Patani yang memiliki identiti kebangsaan, satu cara daripadanya adalah dengan memperkasakan dan melestarikan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

“Namun begitu, fakta yang berlaku dalam masyarakat Melayu Patani pada hari ini amat mengecewakan. Tidak sedikit dalam kalangan masyarakat yang tidak gemar berbahasa Melayu kerana ketidakcekapan mereka sendiri, malah ada juga yang beranggapan bahawa bahasa Melayu bahasa kampung, tidak maju, dan akan berasa malu apabila berbahasa Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar. Andaian ini sudah tentu merupakan tanggapan yang sangat mengelirukan dan perlu diperbetulkan,” jelas Dr. Rahman.

Dr. Abdul Rahman Dewani al-Fathoni ketika bersiaran secara langsung.

Ekoran daripada hakikat demikian, maka PPP mengambil inisiatif dengan mengadakan forum tersebut bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat Melayu Patani agar mengingati keagungan dan kepentingan bahasa Melayu di bumi Patani bagi menentukan identiti negara. Forum yang diadakan secara dalam talian melalui Google Meet itu menampilkan tiga orang pakar bahasa Melayu sebagai ahli panel, iaitu Dr. Abdul Rahman Dewani dari Patani, Aj. Hara Shintaro dari Jepun dan Dr. Heru Kurniawan dari Indonesia.

Dr. Rahman mengutarakan ideanya yang berjudul “Sejarah dan Kepentingan Bahasa Melayu Jawi untuk Bangsa Melayu Patani”. Beliau menekankan fungsi bahasa sebagai tali komunikasi yang berkesan dan usaha melestarikan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dengan mengimbau sejarah perkembangan bahasa Melayu Nusantara yang bermula daripada Kongres Bahasa Indonesia yang pertama kali diadakan di kota Solo, Indonesia pada tahun 1938.

Sementara itu, Aj. Hara membicarakan topik, iaitu “Bahasa Berwibawa adalah Cerminan Kemajuan Sebuah Bangsa” dengan menyeru agar penggunaan bahasa Melayu diperluaskan dan diperkembangkan dalam kalangan orang Melayu sendiri, baik dari segi pertuturan dalam kehidupan seharian mahupun penulisan dan pelajaran.

Dr. Heru pula mengutarakan topik “Salah Satu Faktor Indonesia Dapat Bersatu Disebabkan Memiliki Kekuatan Bahasa Permersatu”. Beliau berkongsi tiga konsep utama yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, melindungi bahasa ibunda. Kedua, mengutamakan bahasa rasmi. Ketiga, menguasai bahasa asing. Beliau turut menyifatkan bahasa ialah jendela kepada ilmu pengetahuan. Katanya, bahasa harus digunakan secara konsisten agar tidak lenyap begitu sahaja.

Selain itu, program forum tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan deklamasi puisi, pantun, seloka, dan lagu puisi. Persembahan seni disampaikan oleh pemuzik Budu Little dan pemuisi tempatan dari Patani. Antaranya termasuklah Zulfikri Ibahim, Mahroso Doloh dan Awwabin Hilmi. Tetamu istimewa yang mewakili Malaysia, iaitu Harlym Yeo, turut memeriahkan program dengan persembahan pantun bahasa dan sajaknya yang bertajuk “Simfoni Cinta”.

Menurut Timbalan Pengerusi PPP, Dr. Suraiya Chapakiya yang juga merupakan Pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu dan Teknologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan/Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam, Universiti Fatoni, Pattani, Thailand, forum tersebut turut menyerlahkan orang Melayu Patani supaya seiring dalam memartabatkan bahasa Melayu, meskipun terdapat kekangan cakna bahasa Melayu dalam masyarakat Patani.

“Saya sangat bersyukur kerana forum ini merupakan langkah pertama dalam PPP untuk membawa aktiviti yang menarik seperti ini, seterusnya menjadikannya aktiviti secara bulanan,” ujar Dr. Suraiya ketika diminta memberikan taklimat penutupan acara tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.