Oleh Ismail Dahaman
22 Februari 2022, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemerkasaan tatabahasa bahasa Melayu wajib dipergiat, antaranya dengan cara terus-menerus membedah kesalahan bentuk atau ayat dan frasa lalu membetulkannya. Artikel ini sekadar menyentuh aspek kesalahan umum dalam penggunaan frasa sendi nama yang sangat kerap dilakukan oleh pengamal media dan pemantapannya.

Terasa sakit telinga, pedih mata dan sakit kepala setiap kali kita menonton TV. Kenapa? Ada-ada sahaja kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang dipaparkan dalam rancangan secara langsung, rakaman, berita dan hiburan. Sekilas pandang, kesilapan bahasa yang kecil-kecil yang disebabkan oleh ketidakprihatinan (yang seharusnya tidak berlaku) boleh kita anggap sebagai kes terpencil yang harus dimaafkan. Namun begitu, kesilapan bahasa yang berlaku berulang-ulang kali didapati membentuk suatu pola kesalahan yang membahayakan yang akan merosakkan sistem bahasa Melayu standard dalam pendidikan dan penggunaan umum secara jangka panjang.

Sejenis kesalahan bahasa yang berpola yang kerap kali berlaku melalui siaran TV ialah ketidaktentuan penggunaan “frasa sendi nama” yang berfungsi dalam “frasa keterangan hal” bagi kedua-dua jenis ayat transitif dan tak transitif. Frasa sendi nama yang kerap digunakan itu termasuklah tentang, mengenai, darihal, perihal, terhadap, dengan, fasal dan atas.

Selain itu, terdapat frasa sendi nama dalam bentuk gabungan dengan kata dengan, iaitu berkenaan dengan, bersabit dengan, berkaitan dengan, berhubung dengan, berhubungan dengan, sehubungan dengan dan bersangkutan dengan serta beberapa lagi yang seumpamanya.

Jom kita ulang kaji tentang aturan penggunaan frasa sendi nama keterangan hal yang betul dengan menggunakan jalan yang mudah, yakni dengan memaparkan contoh ayat yang mengandungi frasa sendi nama yang berbeza.

(1) BETUL: Jawatankuasa itu sedang berbincang tentang bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(2) BETUL: Jawatankuasa itu sedang membincangkan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(3) SALAH: Jawatankuasa itu sedang membincangkan tentang bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

Dalam ayat (1) yang betul bentuknya, kata kerja tak transitif berbincang disusuli oleh kata sendi nama tentang yang terletak di depan kata nama bantuan sebagai objek dalam frasa keterangan hal “tentang bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin”. Dalam kes ini, kata kerja tak transitif yang berkenaan adalah berupa, biasanya, kata yang bermaksud “berkata atau bercakap tentang sesuatu” seperti “bermesyuarat, bercerita, berdebat, bertengkar, bersyarah, berwacana”, dan termasuk “berfikir”.

Dalam kes yang lain, kata sendi nama keterangan hal boleh hadir selepas pelbagai jenis kata kerja tak transitif. Rumus bagi aturan ini ialah “kata kerja tak transitif + kata sendi nama + kata nama sebagai objek”. Dengan rumus ini, kita dapat membentuk frasa lain YANG BETUL bentuknya seperti dalam ayat contoh yang berikut:

(4) Jawatankuasa itu sudah bermesyuarat mengenai cadangan untuk mengadakan konsert amal.

(5) Pelajar-pelajar itu bercerita perihal kehidupan zaman muda guru mereka.

(6) Menteri tersebut bercakap darihal projek mega itu pada satu sidang media pada hari Ahad yang lalu.

(7) Banyak pengikut yang tidak bersetuju dengan pandangan pemimpin mereka itu.

(8) Kumpulan kiri tersebut sentiasa berbantah terhadap cadangan perjanjian damai itu.

(9) Keluarga asnaf tersebut berterima kasih atas keprihatinan pihak wakil rakyat di kawasan itu.

Dalam ayat (2) yang juga betul bentuknya, kata kerja transitif membincangkan disusuli oleh kata nama bantuan sebagai objek tepat dalam frasa keterangan hal “bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin”. Sebagai kata kerja transitif aktif (yang ditandai oleh apitan meN-…-kan atau meN-…i atau meN-), kata membincangkan disusuli oleh kata nama objek tepat bantuan secara langsung tanpa didahului oleh apa-apa unsur kata sendi nama. Rumus bagi aturan ini ialah “kata kerja transitif + kata nama sebagai objek tepat”. Dengan rumus ini, kita dapat membentuk frasa nama lain YANG BETUL bentuknya seperti dalam ayat contoh yang berikut:

(10) Jawatankuasa yang bermesyuarat itu sudah membincangkan cadangan untuk mengadakan konsert amal.

(11) Pelajar-pelajar itu ingin mengetahui kehidupan zaman muda guru mereka.

(12) Menteri tersebut menjelaskan hal projek mega itu pada satu sidang media pada hari Ahad.

(13) Banyak pengikut yang tidak menyetujui pandangan pemimpin mereka itu.

(14) Kumpulan kiri tersebut sentiasa membantahi cadangan perjanjian damai itu.

Dalam ayat transitif aktif, kata sendi nama yang berfungsi sebagai frasa keterangan hal sama sekali tidak boleh disisipkan di antara kata kerja transitif aktif dengan kata nama sebagai objek. Diperturunkan beberapa ayat contoh YANG SALAH bentuknya, iaitu:

(15) *Jawatankuasa yang bermesyuarat itu sudah membincangkan tentang cadangan untuk mengadakan konsert amal.

(16) *Pelajar-pelajar itu ingin mengetahui darihal kehidupan zaman muda guru mereka.

(17) *Menteri tersebut menjelaskan mengenai hal projek mega itu pada satu sidang media pada hari Ahad yang lalu.

(18) *Banyak pengikut yang tidak menyetujui dengan pandangan pemimpin mereka itu.

(19) *Kumpulan kiri tersebut sentiasa membantahi terhadap cadangan perjanjian damai itu.

(20) *Penglipur lara itu sedang mengisahkan perihal hikayat Si Miskin kepada para peserta bengkel sastera tradisional tersebut.

(21) *Penduduk-penduduk kampung tersebut sangat menghargai atas keprihatinan pihak wakil rakyat di kawasan mereka.

(22) *Rancangan itu membicarakan fasal permasalahan penggunaan bahasa dalam kalangan generasi muda.

Sudah kita sebutkan tentang wujudnya frasa sendi nama dalam bentuk gabungan dengan kata dengan, iaitu berkenaan dengan, bersabit dengan, berkaitan dengan, berhubungan dengan, sehubungan dengan dan bersangkutan dengan serta beberapa lagi yang seumpamanya. Frasa sendi nama majmuk ini berfungsi yang sama dengan kata sendi nama seperti tentang, mengenai, darihal, perihal, terhadap dan atas (seperti yang telah dijelaskan), yakni di pangkal frasa keterangan hal dalam ayat, atau terletak dalam frasa keterangan relatif.

Kesalahan penggunaan frasa sendi nama majmuk ini paling ketara melalui siaran media penyiaran atau elektronik (TV atau radio). Apakah yang berlaku? Pihak TV atau radio mengambil tindakan dan membuat peraturan mereka sendiri yang bercanggah dengan aturan sistem tatabahasa standard yang sudah mantap, yakni menggugurkan kata sendi nama dengan dan menggunakan kata yang pertama sahaja. Contoh: frasa “berhubungan dengan perkara itu” disingkatkan menjadi bentuk yang salah *”berhubungan perkara itu” dan “berkenaan dengan perkara itu’ menjadi *‘berkenaan perkara itu”.

Jom kita ulang kaji tentang aturan penggunaan frasa sendi nama majmuk yang berfungsi dalam frasa keterangan hal atau keterangan relatif yang betul. Sekali lagi, kita gunakan jalan yang mudah, yakni dengan memaparkan ayat contoh yang mengandungi frasa sendi nama majmuk yang berbeza.

(23) BETUL: Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang berhubungan dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(24) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang berkenaan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

Dalam ayat (23), kata berhubungan dalam frasa berhubungan dengan ialah bentuk terbitan daripada gabungan awalan beR- dengan hubungan. Dalam bentuk ini, awalan beR- merujuk maksud “mempunyai” atau “ada” atau “sama”. Oleh itu, berhubungan membawa makna “mempunyai hubungan(nya)” atau “ada hubungan(nya)” atau “sama hubungan(nya)”. Jadi, apabila disebut berhubungan dengan, maka maksudnya menjadi “mempunyai atau ada atau sama hubungan(nya) dengan sesuatu (yang lain)”. Dengan itu, ayat (23) boleh ditulis semula menjadi ayat (25) yang berikut:

(25) BETUL: Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang mempunyai (atau ada) hubungan(nya) dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

Seandainya kata dengan digugurkan, maka ayat (25) menjadi tidak gramatis dan taksa maksudnya seperti yang berikut:

(26) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang mempunyai (atau ada) hubungan(nya) bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

Frasa sendi majmuk berhubungan dengan menjadi salah kalau digantikan dengan *berhubung dengan kerana yang kedua ini membawa maksud “berkomunikasi atau bercakap/menulis dengan”. Frasa bersangkutan dengan pula tidak boleh digantikan dengan *bersangkut dengan yang bererti “bergantung, berpaut, berpegang dengan”. Lihat bentuk ayat contoh yang SALAH:

(27) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang berhubung dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(28) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang bersangkut dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

Malahan, dalam kes sehubungan dengan, amat jelas maksud “sama hubungan(nya) dengan sesuatu (yang lain)” kerana awalan se- merujuk maksud “sama” atau “serupa”. Dalam hal ini, kesalahan bentuk bukan sahaja berlaku kerana tiadanya perkataan dengan tetapi juga kerana kata sehubungan ditukar menjadi *sehubung, tanpa akhiran -an. Awalan se- tidak pernah bergabung dengan kata kerja “hubung” tetapi hanya dengan kata nama “hubungan”. Lihat ayat contoh yang berikut:

(29) BETUL: Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubungan dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(30) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubungan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(31) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubung dengan bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

(32) SALAH: *Jawatankuasa itu berbincang tentang perkara yang sehubung bantuan kepada mangsa banjir kilat kelmarin.

Aturan pembentukan kata dan maksud yang sama jugalah yang berlaku bagi frasa sendi nama majmuk berkenaan dengan, bersabit dengan (bukan bersabitan dengan), berkaitan dengan, dan bersangkutan dengan seperti dalam ayat contoh yang BETUL yang berikut:

(33) Kerajaan sangat-sangat prihatin terhadap penyelesaian masalah yang berkenaan dengan kos sara hidup dalam kalangan pelbagai komuniti rakyat kita.

(34) Peguam pihak tertuduh itu akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang bersabit dengan kes tuntutan ganti rugi anak guamannya.

(35) Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk merancang tindakan yang berkaitan dengan masalah kebanjiran pendatang tanpa izin tersebut.

(36) Perkara kelemahan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu tidak bersangkutan langsung dengan kelemahan mereka dalam bidang ilmu matematik, sains atau teknologi.

Kesimpulannya, frasa sendi nama majmuk yang sudah mantap dalam urusan pendidikan dan penggunaan umum ialah berkenaan dengan, bersabit dengan, berkaitan dengan, berhubungan dengan, sehubungan dengan dan bersangkutan dengan. Janganlah gugurkan perkataan dengan dengan alasan yang tidak munasabah, yakni kononnya untuk menjimatkan masa siaran atau ruang dalam tulisan. Gunakanlah frasa sendi nama majmuk itu dengan cara yang betul untuk terus memelihara kepersisan tatabahasa bahasa Melayu standard yang sudah mantap semenjak dahulu lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.