22 Februari 2022, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bahasa ibunda ialah bahasa yang sangat penting kepada sesuatu bangsa ataupun kaum. Hal ini demikian kerana bahasa ini digunakan mereka untuk mengungkapkan serta melontarkan pemikiran tentang sesuatu perkara atau meladeni tamadun mereka. Sehubungan dengan itu, menurut Prof. Dr. Abdul Rasid Jamian (Profesor dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris), bahasa ibunda ialah bahasa yang diwarisi dan dipelajari pada peringkat awal yang dikuasai oleh individu, yang kemudiannya menggunakannya dalam berinteraksi atau berkomunikasi dan menyampaikan buah fikiran melalui perbualan dalam ahli keluarga mahupun dalam lingkungan sesebuah keluarga.

Hal ini perlulah difahami oleh masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sebagai contoh, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda kaum Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan berdasarkan sejarah yang telah membuktikan bahasa ini sebagai bahasa perhubungan yang penting sejak dahulu lagi. Sebagai bahasa lingua franca, bahasa Melayu telah berjaya dalam fungsinya sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi umum dan masyarakat antarabangsa ketika itu dan kekal hingga hari ini.

Menurut beliau lagi, bahasa ibunda diibaratkan sebagai entiti untuk saling melengkapi elemen Keluarga Malaysia. Bahasa ibunda turut mempunyai peranannya yang sangat penting dalam menentukan ikatan sesuatu bangsa kepada budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki oleh sesuatu bangsa. Dalam konteks ini, bahasa Melayu berupaya mencetuskan jalinan kasih sayang antara kaum, kebersamaan dan keamanan yang berlangsung dalam bahasa ibunda yang lainnya dalam negara ini.

Bahasa ibunda juga mestilah menjadi bahasa yang diwarisi dan sebagai bahasa ilmu serta bahasa pengantar di institusi pendidikan. Bahasa ibunda mempunyai nilai murni dan berfungsi sebagai pembangun jati diri negara dan menampilkan citra perpaduan dalam kalangan rakyat secara keseluruhannya. Rakyat yang bersatu padu ini pula akan merangsang kemajuan negaranya dan aktiviti ekonomi akan menjadi lebih giat berlandaskan nilai ekonomi.

Prof. Dr. Abdul Rasid Jamian ketika bersiaran secara langsung.

Tambah beliau, bahasa ibunda tetap berdepan dengan cabaran dalam era kini seperti cabaran globalisasi. Faktor ini boleh menjejaskan bahasa ibunda mana-mana bangsa sekalipun. Perlu disedari bahawa bahasa Inggeris telah menguasai semua bidang ilmu yang lain dan pastinya penguasaan terhadap bahasa Inggeris menjadi keutamaan oleh mana-mana kaum. Oleh itu, usaha perlu dilakukan oleh semua pihak agar melazimkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang untuk menjadikan bahasa ini sebagai  bahasa yang penting.

Katanya lagi, tanggapan sesetengah pihak yang memandang rendah terhadap bahasa Melayu juga menjadikan usaha menerapkan bahasa ibunda ini sebagai bahasa negara dan bahasa yang penting menemukan onak duri yang tidak berkesudahan. Kestabilan emosi menjadi tunjang penting kepada kesopanan dan peradaban sesuatu bahasa dan hal ini sudah tentu akan memberikan citra kepada bangsa atau sesebuah negara.

Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, beliau juga memaklumkan bahawa kesantunan bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian dan tutur kata yang berhemah berupaya melahirkan generasi yang kuat jati diri. Hal ini pastinya dapat mengekalkan serta melestarikan warisan budaya sesuatu bangsa. Masyarakat juga perlu bersifat rasional dan pragmatik kepada bahasa ibunda masing-masing untuk memastikan bahasa ini dapat dilestarikan dan bahasa Melayu pula dapat didaulatkan citranya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara yang berupaya digunakan dalam pelbagai bidang. Semoga sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa ini akan mencelikkan masyarakat bahawa bahasa ibunda dapat melahirkan citra jati diri sesuatu bangsa.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada Prof. Dr. Abdul Rasid Jamian yang bertajuk “Bahasa Ibunda Pendukung Warisan Budaya” menerusi Slot Jendela Fikir di Bernama Radio, yang dikendalikan oleh penyampai Raifa Zulkifli, bersempena dengan sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa semalam yang dianjurkan oleh UNESCO. Sambutan ini diadakan pada setiap tahun oleh negara ahli UNESCO sejak tahun 1999 untuk memupuk kepelbagaian bahasa dan budaya yang terdapat di seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.